Community

IPPT BERSAMA KOMUNITI MENERUSI PROGRAM TRANSLASI ILMU DAN KESEDARAN STEM MELALUI EID STEM OUTREACH(c)

Published : 11 June 2023

IPPT Bersama Komuniti
BALING, June 11 2023 -
Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) melalui program penyelidikan Emerging Infectious Disease (EID) dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) program ini mendapat inisiatif KPT Prihatin Komuniti Sejahtera ini telah melebarkan jangkauan penyebaran kesedaran sains dan teknologi berkaitan kesihatan ke daerah Baling, Kedah pada tanggal 11 Jun 2023 yang lalu. 

Program komuniti ini menerima penajaan daripada Malaysian Society for Molecular Biology and Biotechnology (MSMBB) telah diketuai oleh dua orang pensyarah kanan, Dr. Asmida Isa dari Jabatan Bioperubatan, dan Dr. Noorsuzana Mohd Shariff dari Jabatan Kesihatan Komuniti, IPPT. 



Program ini mensasarkan murid-murid dari empat buah sekolah rendah luar bandar di daerah Baling antaranya, Sekolah Kebangsaan Kampung Sera, Sekolah Kebangsaan Rambong Pulai, Sekolah Kebangsaan Teluk Teduri dan Sekolah Kebangsaan Pulai. 

Seterusnya, program komuniti yang telah di rasmikan dan menerima pengiktirafan daripada pihak Pejabat Pendidikan Daerah Baling ini telah berjaya melibatkan seramai 221 orang murid tahun 1 hingga tahun 6. 

Di sepanjang program berlangsung murid-murid telah didedahkan tentang virus dan penyakit-penyakit berjangkit yang umum ditemui dalam komuniti. 

Selain itu, bagi memupuk minat dalam bidang sains dan teknologi, khususnya kepada bidang biologi para murid turut di beri pendedahan terhadap cabang ilmu berkaitan bidang biologi molekul. 

Pelbagai aktiviti telah dijalankan antaranya ceramah virus dan DNA, eksperimen mengekstrak DNA, pameran poster penyakit berjangkit dan pertandingan mewarna. 

Lebih menarik lagi aktiviti-aktiviti ini turut melibatkan para pelajar pascasiswazah dari IPPT sebagai fasilitator program melalui persatuan pelajar IPPT (ASA) yang disertai para pelajar dari dalam dan luar negara. 

Di samping itu, turut dijayakan sesi pemeriksaan kesihatan, demonstrasi cucian tangan dan ceramah kesihatan mengenai kesihatan remaja oleh pasukan kesihatan daripada Pusat Perubatan Universiti Sains Malaysia Bertam (PPUSMB). 

Maklum balas yang diterima daripada pihak sekolah yang terlibat amat memberangsangkan dan diharapkan untuk diteruskan pada masa hadapan agar dapat dimanfaatkan komuniti-komuniti lain di sekitar utara Malaysia bagi mencapai sasaran universiti ke arah kelestarian translasi ilmu, kesejahteraan masyarakat dan memenuhi visi HEBAT agenda Universiti Sains Malaysia.

Teks asal: Dr. Noorsuzana Mohd Shariff/Suntingan: Mahirah Mahyidin

Scroll to Top