IPPT, BERTAM, October 8 2022 -
Unit Kanser Wanita (UNITA), Pusat Perubatan USM Bertam (PPUSMB) telah menerima beberapa jemputan kerjasama untuk mejayakan program promosi kesihatan sempena Oktober Bulan Kesedaran Kanser Payudara. UNITA telah bersama-sama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Bertam pada 8 Oktober 2022 melaksanakan beberapa aktiviti komuniti di perkarangan Mydin Bertam. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan adalah sesi senamrobik, pameran statik kesihatan, ceramah mengenai kanser payudara dan forum bersama “breast cancer survivor”. Ceramah tersebut disampaikan oleh Dr.Hasmah Hussin, Pakar Bedah Onkoplastik Payudara, PPUSMB mengenai Fakta dan Mitos Mengenai Kanser Payudara. Manakala sesi forum pula merupakan sesi perkongsian pengalaman pesakit kanser payudara yang telah berjaya melalui liku-liku sepanjang rawatan kanser payudara dan mereka telah melepasi lebih 5 tahun rawatan susulan kanser payudara.
Pada 13 Oktober 2022, UNITA pergi ke Kilang Paramit di Batu Kawan. Ini merupakan jemputan pertama kali daripada industri. Di kilang tersebut, pasukan UNITA membuat pameran mengenai penyakit kanser payudara, menekankan kepentingan pemeriksaan sendiri payudara (PSP) dan saringan mammogram. Pasukan UNITA mendekati staf-staf kilang secara individu bagi memberi penerangan dan menunjukkan demonstrasi PSP pada model payudara.
Pada 14 Oktober 2022, UNITA telah mengunjungi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Komtar bagi bersama-sama menjayakan program kesedaran kanser payudara. Ceramah mengenai Kesedaran Kanser Payudara disampaikan oleh Dr. Hasmah. Peserta-peserta program tersebut terdiri daripada staf-staf MBPP. Sambutan yang sangat menggalakkan apabila staf-staf MBPP sanggup menunggu giliran bagi mempraktikkan teknik yang betul bagi pemeriksaan sendiri payudara pada model payudara.
Penyertaan program terakhir UNITA pada bulan Oktober adalah pada15 Oktober 2022 iaitu Majlis High Tea sempena Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Payudara (Pink October 2022) anjuran Cancer Survivor Malaysia (CSM). Pasukan UNITA menerima jemputan untuk satu sesi ceramah mengenai kanser payudara dan mengambil peluang mengadakan pameran bagi memberi penekanan kepada PSP dan saringan mammogram.
Pada kali ini, UNITA mengambil konsep penekanan dan pemerkasaan pemeriksaan sendiri payudara (PSP) dan kepentingan saringan mammogram di kalangan wanita. Sambutan pada setiap program adalah sangat meggalakan. Walaupun UNITA terlibat dalam aktiviti secara berturutan, UNITA mendapat kerjasama yang sangat baik dengan penyertaan staf jururawat-jururawat yang bukan sahaja bertugas di UNITA tetapi juga daripada unit-unit lain. UNITA sangat menghargai kerjasama yang diberikan. UNITA merancang untuk terlibat lebih banyak aktiviti kesedaran dan saringan kanser payudara dengan pelbagai agensi kerajaan, industri dan pertubuhan komuniti pada tahun hadapan.