Pada 22 Jun
2023, Jabatan Toksikologi IPPT telah memenuhi undangan untuk menghadiri
Karnival STEM anjuran Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Sri Mutiara, Pulau Pinang.
Tujuan program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar SMK
(P) Sri Mutiara berkaitan bidang-bidang STEM, khususnya toksikologi. Selain itu, para pelajar juga
dapat menimba pengalaman melalui aktiviti-aktiviti berasaskan STEM bagi
menambah pengetahuan dan kemahiran mereka, disamping meningkatkan dan
menggalakkan minat pelajar terhadap bidang STEM. Program ini dijayakan oleh lima
orang pensyarah kanan dan tiga orang pelajar pasca siswazah IPPT yang bertindak
sebagai fasilitator. Seramai 51 orang pelajar tingkatan 4 dan 5 menyertai
program ini.
Sesi taklimat ringkas berkenaan toksikologi oleh Dr. Sharlina Mohamad
Program dimulakan dengan sesi taklimat ringkas berkenaan toksikologi oleh Dr. Sharlina Mohamad yang bertajuk Toksikologi dalam Kehidupan Harian. Program diteruskan dengan aktiviti di tiga buah stesen, dengan setiap stesen menyediakan aktiviti “hands on”, inkuiri dan penyelesaian masalah. Penekanan juga diberikan terhadap kemahiran berfikir dan penggunaan teknologi secara bijak, disamping kemahiran pentafsiran maklumat yang diperoleh untuk membuat rumusan.
Stesen pertama, iaitu pameran forensik, dibimbing oleh Dr. Mohd Yusmaidie Aziz bersama-sama Dr. Maisarah Nasution Waras dan Cik Balkees STN Hameed Sultan telah mengetengahkan kepentingan dan teknik-teknik penyiasatan dalam menyelesaikan kes jenayah. Stesen kedua, iaitu stesen pameran kimia analisis, para pelajar telah didedahkan tentang “aquatic micropollution” melalui teknik “ferro-fluid” di bawah bimbingan Prof. Madya Dr. Noorfatimah Yahaya bersama-sama Dr. Nurul Shahfiza Noor, En. Muhammad Ariffuddin Abd Hamid dan Puan Dyia Syaleyana Md Shukri. Manakala stesen ketiga iaitu pameran toksisiti yang dikelolakan oleh Dr. Siti Nazmin Saifuddin dan Dr. Sharlina Mohamad, para pelajar telah diperkenalkan tentang ujian-ujian berkaitan pengesanan toksisiti dalam kultur sel dan alatan-alatan makmal yang digunakan bagi tujuan ini.
Stesen 2: Pameran kimia analisis
Stesen 3: Pameran ujian toksisitiStesen
Sehubungan dengan itu, diharap aktiviti STEM yang telah dilaksanakan dapat membantu menggalakkan minat para pelajar terhadap STEM dan dapat mengintegrasikan pengetahuan, kemahiran dan nilai STEM dalam kehidupan seharian.
Terima kasih diucapkan kepada Pengetua SMK (P) Sri Mutiara, Puan Sithi Junaithal Banu Binti Mohamad Sultan dan juga guru pembimbing, Puan Rossliza Binti Yaacob atas jemputan ini.
Dari Kedah ke Pekan Sari,
Beli suasa di Kota Tinggi,
Selesai sudah tugas diberi,
Di lain masa bersua lagi.