Achievement

IPPT USM Dijenamakan Kepada Pusat Perubatan USM; Turut Jadi Akademi Braki Pertama Di Malaysia

Published : 07 April 2022

Perasmian Brakiterapi
BERTAM, April 22 2022 -

Teknologi yang lebih maju serta perancangan yang begitu teliti adalah kunci kepada Universiti Sains Malaysia untuk terus berada di hadapan.

Ia telah dibuktikan melalui sebuah pengumuman mengenai Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) USM di Bertam yang akan dijenamakan sebagai 'Pusat Perubatan USM' menjelang Jun ini. 


“Penjenamaan itu secara tidak langsung menjadikan pusat rujukan kanser itu setanding dengan hospital lain di negara ini.”

Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan turut berkata, ketika ini IPPT menjadi satu-satunya pusat rujukan kanser wilayah utara di bawah Kementerian Pengajian Tinggi yang menawarkan perkhidmatan rawatan kanser dan perubatan nuklear terapeutik serta diagnostik.

Tambah beliau, penjenamaan ini akan memberitahu orang ramai tentang adanya sebuah pusat perubatan yang berfungsi sebagai hospital di kawasan ini.

Selain itu, usaha yang sedang dilakukan ini telah mendapat sokongan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kelantan," katanya selepas Majlis Pelancaran Rasmi IPPT USM sebagai Pusat Latihan dan Penyelidikan Antarabangsa BrachyAcademy, minggu lalu.


Mengulas lanjut, Faisal Rafiq berkata, pihak USM juga perlu menaiktaraf fasiliti dan kemudahan yang terdapat di pusat perubatan itu supaya selari dengan usaha penjenamaan yang sedang dilakukan itu.

"Kita berharap akan memperolehi peruntukan daripada RMK (Rancangan Malaysia ke-12) dan menjelang 2024 atau 2025 kita boleh membuka pusat perubatan ini dengan perkhidmatan lengkap," katanya.

Sementara itu, Faisal Rafiq berkata, IPPT juga secara rasminya mendapat pengiktirafan sebagai Pusat Latihan dan Penyelidikan Antarabangsa BrachyAcademy di Malaysia.

"IPPT diberi mandat untuk menjadi akademi braki yang pertama di Malaysia, antara kesan hasil mandat tersebut, kita akan melatih doktor dalam bidang brakiterapi, serta lebih ramai pesakit yang akan datang ke sini, bukan sahaja dari Malaysia malah luar negara juga," katanya.

Ia menjadi satu-satunya institusi pendidikan di negara ini yang menerima pengiktirafan dunia apabila menawarkan perkhidmatan untuk rawatan kanser ginekologi, hati, kepala dan leher, prostat dan esofagus, dengan pengkhususan khas pada kanser hati primer dan sekunder.

Turut hadir, Pengarah IPPT, Dr Tunku Kamarol Zaman Tunku Zainal Abidin dan Pengurus Pemasaran Klinikal Brachytherapy Solutions Wilayah Asia Pacific, Ulrich Krumme.


Teks: Mohamed Hadri Iman Mohamed Hazli/Foto: Mohd Fairus Md. Isa                                                                                                                        

Scroll to Top