Collaboration

Kumpulan Perawatan Luka dan Enterostoma (WEST), Pusat Perubatan USM di Webinar Antarabangsa

Published : 03 March 2023

Baner Program
PUSAT PERUBATAN USM BERTAM, March 2 2023 -
Satu webinar antarabangsa bertajuk “Perawatan Luka Akut” telah dijalankan secara atas talian pagi ini. Webinar yang dihos oleh Sekolah Tinggi Kesihatan (STIKes) ARTA Kabanjahe, Sumatera Utara adalah anjuran bersama antara pihak STIKes ARTA Kabanjahe dengan Bahagian Penyelidikan dan Jaringan IPPT, Universiti Sains Malaysia.

Seramai lebih 180 peserta termasuk majoritinya mahasiswa dan mahasiswi serta tenaga pengajar dalam bidang kejururawatan STIKes ARTA Kabanjahe dan staf kejururawatan daripada Pusat Perubatan USM Bertam sendiri yang hadir untuk mengikuti dan menjayakan webinar yang berlangsung selama dua jam itu.


                                                                   

Webinar telah disampaikan oleh Pakar Bedah Am, Pusat Perubatan USM, Bertam (PPUSMB), Dr. Hasmah Hussin, juga merupakan Pensyarah Perubatan, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) dan Penasihat Kumpulan Perawatan Luka dan Enterostoma (WEST), PPUSMB. Selain beliau, dua penyampai lain adalah ahli WEST iaitu Encik Mohd Imran Azizan, Jururawat Berdaftar merupakan Terapis Bertauliah Perawatan Luka dan Enterostoma dan Puan Nur Farahidayah Husin, Jururawat Berdaftar yang juga terlatih dalam perawatan luka dan enterostoma.

Sedikit pengenalan, WEST telah ditubuhkan secara rasminya pada tahun 2021. Sebelum itu, pasukan ini telah bergerak sebagai pasukan stoma yang menguruskan perawatan stoma kepada pesakit. Sejurus tamatnya latihan dua jururawat di Hospital USM, pasukan ini telah dikembangkan fungsinya kepada perawatan luka.

Pada masa ini, pasukan WEST membuka perkhidmatannya di Klinik Pakar Perubatan, Pusat Perubatan USM Bertam dan telahpun menerima kes-kes perawatan luka dari pelbagai disiplin kepakaran seperti surgeri, ortopedik, onkologi dan juga kes-kes pesakit luar. WEST turut menerima kes-kes penjagaan stoma dan terlibat dalam memberi pendidikan kesihatan kepada pesakit mengenai penjagaan stoma.

USM mempunyai koloborasi dengan Sekolah Tinggi Kesihatan ARTA Kabanjahe sejak Disember tahun lalu melaui satu perjanjian latihan amali (internship) pelajar. Aktiviti ini akan membawa pelajar-pelajar mengenali dan memahami alam realiti pekerjaan dalam bidang kejururawatan dan melaui sumber kepakaran yang sedia ada di Pusat Perubatan USM, pelajar-pelajar akan berpeluang mendapat lebih pendedahan segi ilmu dan kemahiran yang terkini berkait kejururawatan melaui penempatan pelajar di sini.

Pasukan WEST berbesar hati atas kerjasama erat ini dan telah menerima jemputan sebagai penceramah untuk Webinar Internasional daripada Sekolah Tinggi Kesihatan (STIKes) ARTA Kabanjahe, Sumatera Utara, Indonesia ini dengan penuh dedikasi.




Scroll to Top