THE KAPOKASMARA EVENT & CONVENTION CENTRE, BANDAR PUTRA BERTAM , April 18 2025 -
BERTAM, 18 April 2025- Bagi meraikan kemenangan setelah sebulan berpuasa di bulan Ramadhan Al-Mubarak, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) dan Pusat Perubatan Universiti Sains Malaysia Bertam (PPUSMB) menganjurkan Majlis Apresiasi Staf bersempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama warga staf dan pelajar IPPT/PPUSMB.
Majlis Apresiasi Staf bersempena dengan Majlis Sambutan Hari Raya IPPT/PPUSMB yang diadakan di The Kapokasmara Event & Convention Centre, Bandar Putra Bertam adalah untuk meraikan staf serta sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan terhadap komitmen, dedikasi, dan usaha gigih yang telah ditunjukkan oleh semua staf dalam menjayakan visi dan misi IPPT/PPUSMB.
Majlis yang berlangsung sekitar jam 2.30 sehingga 5.00 petang telah berjaya memperlihatkan kerjasama antara semua jabatan IPPT/PPUSMB di mana turut melibatkan penglibatan semua warga staf dan pelajar di sini.
Kemuncak kepada majlis ini adalah semasa ketibaan tetamu kenamaan serta ucapan aluan oleh Pengarah IPPT & PPUSMB USM, Profesor Madya Dr. Bakiah Shaharuddin.
Dalam ucapannya, beliau menekankan betapa pentingnya semangat kerja berpasukan dan kerjasama dalam mencapai matlamat organisasi.
“Dengan adanya persefahaman dan sokongan antara satu sama lain, kita mampu mengatasi segala cabaran dan terus maju ke hadapan. Semoga sambutan pada tahun ini membawa kegembiraan dan mempereratkan lagi silaturahim antara kita semua”, katanya.
Majlis Penghargaan ini turut diserikan lagi dengan kehadiran Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, FASc.
Bertemakan ‘Silang Budaya’, Sambutan Majlis Apresiasi Staf bersempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama warga staf dan pelajar IPPT/PPUSMB hari ini, para tetamu juga turut disajikan dengan persembahan oleh staf dan pelajar sepanjang berlangsungnya majlis ini.
Selain daripada persembahan, turut diselitkan dalam majlis adalah sesi penyampaian Sijil Apresiasi Staf, Sijil Penghargaan untuk Staf ‘Zero MC & EL Tahun 2024’, Staf Popular (Kumpulan Pengurusan & Profesional- Akademik/Bukan Akademik & Kumpulan Pelaksana), Pelajar Popular serta penyampaian hadiah pakaian Raya paling sporting mengikut tema ‘Silang Budaya’ bagi kategori staf IPPT/PPUSMB.
Penganjuran majlis seperti ini secara tidak langsung dapat mewujudkan keharmonian dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia di samping dapat mempelajari pelbagai budaya bangsa Malaysia yang aman dan sentosa kepada semua golongan masyarakat khususnya masyarakat antarabangsa.
Melalui majlis ini juga dilihat dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara satu sama lain terutamanya antara barisan kepimpinan dan pengurusan universiti bersama warga staf, pesara dan pelajar Universiti Sains Malaysia.
Hadir sama adalah Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Profesor Dr. Azlan Amran; Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar@Mustapha; Pendaftar USM, Encik Mohd Azizudin Mohd Shariff; Penasihat undang-undang, Dr. Khairul Anuar Che Azmi; Mantan Pengarah IPPT, merangkap Naib Canselor Albukhary International University, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Abd Aziz Tajuddin; tetamu-tetamu yang diraikan, pegawai-pegawai Utama dan warga kerja IPPT/PPUSMB.
Teks disediakan oleh: Nur Aqilah Tajul Ashikin
Teks disunting oleh: Prof. Madya Ts. ChM. Dr. Nur Nadhirah Mohamad Zain & Puan Norjana Ismail
Foto: Norizan Ishak
Pusat Media & Perhubungan Awam
Institut Perubatan dan Pergigian Termaju
Universiti Sains Malaysia
18 April 2025