SEKOLAH KEBANGSAAN KAMPONG TOK BEDOR, TASEK GELUGOR, PULAU PINANG, May 8 2024 -
Pada 8 Mei 2024, Sekolah Kebangsaan Kampong To’ Bedor, Tasek Gelugor, Pulau Pinang, menjadi tuan rumah bagi "Program STEM Information Management - Eksplorasi Pembelajaran Masa Hadapan". Program anjuran bersama SK Kg To' Bedor, Perpustakaan IPPT, Universiti Sains Malaysia dengan kerjasama pelbagai pihak adalah bertujuan untuk meningkatkan literasi STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik) di kalangan pelajar sekolah, sejajar dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM 2013-2025).
Program ini dirasmikan oleh Yang Berusaha Profesor Madya Dr. Hasni Arsad, Timbalan Pengarah (Penyelidikan & Jaringan) yang mewakili Pengarah Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia.
Dalam ucapannya, Dr. Hasni menyatakan rasa syukur kepada Allah SWT atas kejayaan program ini, yang bertujuan untuk menciptakan suasana pembelajaran yang dinamik dan relevan. Beliau mengucapkan terima kasih kepada Sekolah Kebangsaan Kampong To’ Bedor, IPPT, serta pelbagai agensi maklumat atas inisiatif bersama dalam melaksanakan projek ini demi kepentingan murid-murid sekolah.
Pendidikan STEM, yang merupakan singkatan kepada Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik, memainkan peranan penting dalam meningkatkan daya saing dalam bidang sains dan teknologi. Dalam konteks Malaysia, pendidikan STEM disokong melalui aktiviti kurikulum dan kokurikulum dengan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan. Program ini juga berusaha menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) melalui pendidikan dan inovasi.
Program khidmat masyarakat ini melibatkan pelbagai aktiviti yang direka untuk menarik minat pelajar terhadap STEM dan membekalkan mereka dengan ilmu pengetahuan yang relevan. Aktiviti-aktiviti tersebut menghimpunkan pakar dan profesional dari pelbagai bidang STEM dari USM dan agensi maklumat lain. Tujuan utamanya adalah untuk menyokong pembelajaran sepanjang hayat yang dirancang oleh pihak sekolah dan menjadi pemangkin dalam membina pelajar yang berpotensi dan cemerlang dalam bidang STEM.
Dr. Hasni menekankan pentingnya program STEM seperti ini dalam perkembangan murid sekolah. Aktiviti STEM, yang merangkumi sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik, bukan sahaja menyediakan peluang pembelajaran yang mendalam tetapi juga membentuk kemahiran dan pemikiran kritis yang penting untuk masa depan. Melalui pengalaman langsung dengan aktiviti-aktiviti kreatif STEM, murid dapat memupuk minat dan kemahiran dalam bidang ini.
Beliau juga memuji usaha dan kerjasama pihak sekolah, pakar dari pelbagai bidang STEM, serta agensi maklumat seperti Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Pulau Pinang (PPAPP), Muzium & Galeri Tuanku Fauziah, dan PPUSMB, USM, yang menyokong program ini. Program ini telah menyumbang kepada peningkatan literasi STEM di sekolah dan mendukung Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) melalui pendidikan dan inovasi.
Dr. Hasni merakamkan ucapan tahniah kepada pihak sekolah dan semua yang terlibat, khususnya Perpustakaan IPPT yang diterajui oleh Puan Hasniza Amno selaku Pengerusi Program, kerana berjaya menganjurkan program ini. Beliau berharap agar program pemindahan ilmu seperti ini diteruskan lagi pada masa hadapan untuk membangunkan murid-murid yang celik ilmu dan bermaklumat.
Secara keseluruhannya, program ini menekankan kepentingan STEM dalam menyelesaikan masalah dunia sebenar dan mendorong inovasi. Ia menonjolkan sifat interdisiplin bidang STEM dan bagaimana ia memberi kesan kepada kehidupan seharian. Melalui program "STEM Information Management - Eksplorasi Pembelajaran Masa Hadapan", diharapkan dapat menjadi teras pembangunan kemahiran STEM dan kesedaran terhadap pembangunan berterusan dalam kalangan pelajar dan komuniti, seterusnya memberikan impak positif dalam memastikan kelestarian dalam jangka panjang.
Teks disediakan oleh:
Hasniza Amno1, Nurulhuda Abdul Jais2
1Perpustakaan IPPT, USM
2IT@AMDI, USM
SDG 4 - Ensure inclusive and equitable quality education and promote lifelong learning opportunities for all SDG 5 - Achieve gender equality and empower all women and girls SDG 9 - Build resilient infrastructure, promote inclusive and sustainable industrialization and foster innovation SDG 10 - Reduce inequality within and among countries SDG 17 - Strengthen the means of implementation and revitalize the Global Partnership for Sustainable Development