Achievement

Kini Genggam Ijazah Doktor Falsafah, Rai dan Kongsi Kejayaan Bersama

Published : 19 December 2022

Canselor USM DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail berangkat menyampaikan ijazah kepada Muhammad Latiffi Mahadzir
SAINS@BERTAM, December 19 2022 -
Pada Sidang Pertama Upacara Konvokesyen Ke-60, di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) Universiti Sains Malaysia (USM, pada sidang tersebut Canselor USM DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail berangkat menyampaikan ijazah kepada 478 orang graduan dari keseluruhan 7,320 orang yang menerima ijazah pada kali ini.

Meskipun pelbagai cabaran perlu dilalui sebelum mengecapi kejayaan, beliau telah memula berkhidmat di Pusat Islam Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia, Nibong Tebal, Pulau Pinang Dr. Muhammad Latiffi Mahadzir sangat mencintai ilmu dan gemar mencari ilmu dan beliau seterusnya meneruskan perkhidmatan beliau di Institut Perubatan Dan Pegigian Termaju (IPPT), USM, Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang.

Kini beliau berkhidmat di Pusat Islam Kampus Induk sebagai Pembantu Hal Ehwal Islam Kanan (KUP) untuk Universiti dan sementara itu, beliau juga turut aktif di dalam penulisan buku dan juga jurnal dan beliau baharu sahaja menyiapkan manuskrip yang keempat untuk diterbitkan. 

Seterusnya, beliau mendapatkan pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Ibrahim, Sungai Petani Kedah dan seterusnya melanjutkan persekolahan di peringkat menengah di Maktab Mahmud Alor Setar, Kedah. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran di peringkat Diploma Pengajian Syariah di Institut Pengajian Ilmu-Ilmu Islam, Kuala Lumpur serta mendapat keputusan yang cemerlang. 

Bagai pucuk dicita ulam mendatang, berkhidmat di Universiti Sains Malaysia, sebuah gedung ilmu tersohor di Utara Tanah Air merupakan suatu rezeki yang sangat diidam-idamkan. Manakan tidak, dapat menabur bakti dan berkhidmat di gedung ilmu adalah impian bagi seorang pencinta ilmu seperti beliau. 

Selain itu, kerana mencintai kepada ilmu yang sangat mendalam sebaik sahaja disahkan di dalam jawatan, beliau mula mohon untuk melanjutkan pengajian di Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh USM pada 2004 dan Alhamdulillah beliau diterima sebagai mahasiswa di dalam bidang Sains Kemasyarakatan, major Antropologi Sosiologi dan minor Sains Politik. 

Di sinilah beliau mula berazam untuk terus mencari ilmu dan belajar hingga ke peringkat Doktor Falsafah. Namun, disebabkan kekangan jabatan pada waktu itu yang kekurangan staf untuk melaksanakan pelbagai aktiviti serta program di Pusat Islam Kampus Kejuruteraan USM, beliau dengan rasa bertanggungjawab kepada jabatan dan Universiti yang telah memberi ruang untuk berkhidmat, beliau menangguhkan pengajian selama setahun. 

Pada tahun 2005, beliau mula mengorak langkah di dalam pengajian Ijazah Sarjana Muda tanpa lagi menoleh kebelakang hinggalah beliau berjaya menamatkan pengajiannya serta berjaya bergraduasi pada tahun 2009. 

Seterusnya, tanpa membuang masa beliau meneruskan dengan menyambung pengajian ke peringkat Sarjana pada tahun 2011 di dalam Mod Penyelidikan dalam bidang Tamadun dan tajuk kajian beliau mengenai Ibn Bajjah Dan Pandangannya Terhadap Al-Nafs yang mengkaji seorang tokoh di zaman keemasan Tamadun Andalusia dan pandangan tokoh tersebut mengenai kejiwaan. 

Pada tahun 2015, cabaran beliau sewaktu dalam pengajian dan penyelidikan beliau mendapat surat tawaran ke tempat bertugas baru di Institut Perubatan Dan Pegigian Termaju (IPPT), USM, Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang dan pada tahun 2016 dengan jayanya beliau berjaya bergraduasi Ijazah Sarjana Sastera dalam bidang Tamadun.

Melihat masa itu sebagai emas yang sangat bernilai, beliau tanpa membuang masa, terus menyambung pengajiannya ke peringkat Doktor Falsafah pada tahun 2017 di dalam mod penyelidikan Tokoh Pemikiran Islam. 

Demi memenuhi sebuah impian yang telah lama diidamkan sejak mula berkhidmat dengan Universiti ini lagi dan kali ini kajian dan penyelidikan beliau tertumpu kepada Kajian Perbandingan Konsep Tazkiyah Al-Nafs Menurut Ibn Arabi Dan Jamaludin Al-Rumi yang merupakan sebuah penyelidikan yang tertumpu kepada perbandingan bagi kedua-dua tokoh Islam yang hebat mengenai pandangan mereka ke atas konsep penyucian jiwa. 

Sambil menyesuaikan diri ditempat kerja yang baharu, beliau tidak meninggalkan penyelidikan, kajian dan pengajian dengan harapan yang melangit tinggi untuk menggenggam segulung Ph.D. Alhamdulillah kajian dan penulisan tesis beliau berjaya siapkan pada tahun 2020. 

Namun, takdir Allah SWT pada ketika itu, dunia dilanda Pandemik Covid-19. Negara berada di dalam perintah Kawalan Pergerakkan (PKP), ujian viva Ph.D beliau terpaksa ditunda dan akhirnya ditetapkan pada Jun 2021 dan pada ujian tersebut beliau berjaya dengan cemerlangnya. 



Akhirnya, pada tanggal 3 Disember 2022 adalah merupakan hari yang sangat bersejarah di dalam hidup beliau berjaya bergraduasi serta memenuhi cita-citanya untuk menggenggam segulung Ijazah Doktor Falsafah serta mempunyai kepakaran di dalam bidang Tamadun, Tokoh Pemikiran Islam serta Spiritual. 

Sebuah buku Akademik yang bakal diterbitkan oleh Penerbit Universiti bertajuk Prinsip Pendidikan Rabbani berdasarkan Kitab Ayyuhal Walad Imam al-Ghazali. Menulis bersama isterinya Rafidah Ramya serta kedua-dua penyelia Ph.D beliau iaitu Dr. Shaik Abdullah Hassan Mydin dan juga Dr. Mohd. Afifuddin Mohamad. 

Falsafah beliau adalah “Jika kita berada di dalam gedung makanan, adakah kita sanggup mati kelaparan sedangkan makanan berada di sekeliling kita”, begitu juga halnya dengan situasi dirinya yang berkhidmat di dalam gedung ilmu, apakah beliau mahu dirinya berada di dalam kegelapan kejahilan. Sedangkan ramai ilmuwan unggul berada di sekeliling kita. 

Memetik kata-kata Imam al- Syafi’e, “Jika kita merasa letih untuk menuntut ilmu, maka kita juga akan merasa perit selama-lamanya untuk berada di dalam kegelapan kejahilan dan oleh itu, jangan mudah malas untuk menuntut ilmu kerana Allah SWT pasti akan mengangkat darjat bagi orang yang berilmu dan berakhlak”. 

Tuntutlah ilmu ikhlas kerana Allah SWT semata-mata bukan sekadar mengejar jawatan dan pangkat. Hal ini kerana keredhaan Allah SWT itu lebih mahal serta tinggi nilainya berbanding kedudukan dan pangkat. 

Kita tidak akan kembali kepada Allah SWT dengan membawa pangkat dan jawatan. Sebaliknya kembali kita kepada Allah SWT dengan membawa amal soleh, akhlak mulia serta redha-Nya dan itulah insan yang bahagia di dunia bahkan di akhirat. 

Sebagai anak didik Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) Universiti Sains Malaysia, (dari Ijazah Sarjana Muda ke Ijazah Doktoran Falsafah), beliau sangat berbangga kerana menjadi produk PPPJJ USM sekaligus membuktikan bahawa siapa sahaja mampu belajar dan berjaya hingga ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah. 

Dalam pada itu, beliau juga sangat optimis serta bersyukur dan berterima kasih kepada Universiti Sains Malaysia yang telah memberikan peluang untuk beliau menuntut serta menimba ilmu di Universiti ini di samping turut menyumbang khidmat buat Universiti tercinta. Universiti Sains Malaysia tetap dihati. 

Akhir sekali, “Jika anda ingin sambung belajar, pilihlah Universiti Sains Malaysia yang merupakan salah sebuah Gedung Ilmu tersohor di Tanah Air ini” katanya.

Jika beliau mampu, anda juga mampu melakukannya. Ayuh, jangan buang masa. Daftar segera di Universiti Sains Malaysia sebagai siswa siswi. Kalau bukan sekarang bila lagi dan kalau bukan kita, siapa lagi.

Scroll to Top