
Antara peserta yang terlibat ketika program
SK Pinang Tunggal, Kepala Batas, 3 Oktober 2024 – Institut Perubatan dan Pergigian Temaju, USM telah bekerjasama dengan HADIS Children’s Therapy Center dan Sekolah Kebangsaan Pinang Tunggal bagi Program Terapi Cara Kerja dan Terapi Pertuturan yang dipengerusikan oleh Profesor Madya Ts. Dr Fatanah Mohamad Suhaimi. Program ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan, berkongsi pengalaman dan memberikan maklumat terkini mengenai terapi cara kerja dan terapi pertuturan kepada guru, ibu bapa, dan waris pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).
Sesi perkongsian yang bermanfaat telah disampaikan oleh Puan Mahfuzah Rosli dari Little Bloomers Speech Therapy Centre, Puan Aminah Ahmad Fozi dari HADIS Children's Therapy Centre. Perkongsian mengenai penyelidikan terapi dan keperluan teknologi bagi komuniti berkeperluan khas turut dikongsi oleh Prof. Madya Dr. Fatanah Mohamad Suhaimi, dan Ir. Dr. Syatirah Mat Zin.
Program turut diserikan dengan demonstrasi dan pelbagai aktiviti menarik dan melibatkan terapi cara kerja, terapi pertuturan, pemeriksaan kesihatan oral, dan teknologi berkaitan. Program ini turut menampilkan pakar pergigian kanak-kanak, Prof. Madya Dr. Siti Noor Fazliah Mohd Noor, yang turut berkongsi perspektif dalam pengurusan perkembangan kanak-kanak. Lebih daripada 100 pelajar terdiri daripada pelajar PPKI dan pelajar pra telah terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang disediakan.
Maklum balas yang sangat positif daripada peserta menunjukkan betapa pentingnya program ini dalam meningkatkan kesedaran dan pemahaman tentang terapi bagi kanak-kanak berkeperluan khas. Dengan semangat kerjasama dan komitmen kesemua pihak, program ini bukan sahaja memberikan pengetahuan tetapi juga dapat mengeratkan ikatan antara ibu bapa, guru, dan komuniti. Kami berharap program ini dapat menjadi pemangkin kepada inisiatif lain di masa hadapan, khususnya yang memberi manfaat kepada kanak-kanak berkeperluan khas.