MRSM KEPALA BATAS, PENANG, October 20 2023 -
Program MARA-STEMGREENTECH adalah program anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan diketuai oleh Dr. Nor Asniza Ishak, yang juga pensyarah dari Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP) USM. Objektif program ini adalah untuk memberi ilmu STEM dan Teknologi Hijau kepada guru-guru di MRSM Kepala Batas, Balik Pulau, dan Transkrian, dengan arapan mereka dapat meningkatkan pengetahuan, sikap, dan amalan mereka dalam konteks kelestarian alam sekitar. Program ini juga di bawah naungan Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, yang juga merupakan “Ikon MARA” yang mana beliau berhasrat agar program ini dapat memberi manfaat kepada para pendidik MRSM, dengan membantu mereka dalam memahami STEM dan teknologi hijau, serta memotivasi mereka untuk menyampaikan pengetahuan ini kepada para pelajar MRSM.
Program MARA-STEMGREENTECH telah berlangsung dari 5 Julai hingga 20 September 2023 dengan penglibatan seramai 35 orang pendidik dari tiga MRSM ini melalui 8 siri bengkel pemindahan ilmu. Program penutup telah diadakan pada 20 Oktober 2023 di MRSM Kepala Batas dan dirasmikan oleh Pengarah, Jaringan Masyarakat, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM, Dr. Ainul Mohsein Abdul Mohsin. Program ini juga turut dihadiri oleh pelajar-pelajar MRSM Kepala Batas dan wakil-wakil pelajar dari MRSM Balik Pulau dan MRSM Transkrian.
Dari kiri: Dr. Nor Asniza Ishak (Pengarah Program MARA-STEMGREENTECH),
Dr. Ainul Mohsein Abdul Mohsin (Pengarah, Jaringan Masyarakat, Bahagian
Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM) dan Pengetua MRSM Kepala
Batas
Sempena program penutup ini, pusat-pusat pengajian dijemput untuk membuka reruai di dewan MRSM Kepala Batas. Pusat-pusat pengajian yang terlibat adalah:
· Institut Perubatan dan Pergigian Termaju
· Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan
· Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa
· Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia
· Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan Dan Sumber Mineral
· Pusat Pengajian Sains Farmasi
· Pusat Pengajian Sains Kajihayat
· Pusat Pengajian Sains Komputer
· Pusat Pengajian Teknologi Industri
· Pusat Racun Negara
Wakil-wakil IPPT yang terlibat dalam pameran ini adalah Dr Ilie
Fadzilah Hashim, Dr Nawal Radhiah Abdul Rahman dan pelajar siswazah Anis
Fatini Shamsul Bahrain.
Pelbagai pameran dan aktiviti yang direka untuk menarik minat dan memberi maklumat kepada pelajar yang menghimpunkan pakar, penyelidik, dan pelajar siswazah dari pelbagai disiplin STEM dari USM. Pameran ini menekankan kepentingan STEM dalam menyelesaikan masalah dunia sebenar dan mendorong inovasi. Ia menonjolkan sifat interdisiplin bidang STEM dan bagaimana ia memberi kesan kepada kehidupan seharian. Para pelajar turut diperkenalkan dengan kemajuan teknologi terkini, termasuk realiti maya, dan dron. Mereka boleh berinteraksi dengan teknologi-teknologi ini dan belajar tentang aplikasi mereka dalam dunia sebenar. Apa yang lebih menarik, turut diadakan sesi bimbingan kerjaya dimana beberapa reruai ditumpukan kepada bimbingan kerjaya, dengan pakar dan profesional memberikan pandangan tentang peluang kerjaya dan laluan pendidikan dalam bidang STEM.
Ruang Pameran
IPPT adalah satu-satunya wakil dari bidang, sains kesihatan, perubatan dan pergigian. Walaupun IPPT hanya menerima pelajar siswazah, sambutan daripada pelajar adalah sangat positif. Rata-rata pelajar bertanyakan soalan mengenai kerjaya sebagai doktor perubatan dan pergigian serta laluan pendidikan yang perlu mereka lalui, masa dan cabaran. Pelajar juga bertanyakan jenis-jenis program siswazah yang ditawarkan selain ingin mengetahui lebih lanjut mengenai program perubatan darah dan perubatan nuklear.
Secara keseluruhannya, melalui aktiviti dan pameran ini, ia mempunyai potensi untuk membimbing pilihan kerjaya ramai pelajar dan dapat menanam minat yang lebih mendalam terhadap STEM. Adalah diharapkan pameran seperti ini perlu diluaskan jangkauannya kepada khalayak umum untuk menggalakkan pendidikan dan kesedaran STEM.
SDG 4 - Ensure inclusive and equitable quality education and promote lifelong learning opportunities for all
SDG 17 - Strengthen the means of implementation and revitalize the Global Partnership for Sustainable Development