Expert Column

COVID dan Kanak-kanak

Nur Arzuar Abdul Rahim, Asmida Isa, Husnaida Abdul Manan


Published : 20 December 2021

Penulis

Nur Arzuar Bin Abdul Rahim1, 1Asmida Isa1, Husnaida Abdul Manan@Sulong2
1Kluster Perubatan Regeneratif, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT)
2 Kluster Perubatan Integratif, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT)
 
Perlukah kita risau?

Covid dan kanak-kanak. Adakah kita perlu risau dengan keadaan ini? Sebenarnya, kita jarang mendengar liputan media mengenai Covid dan kanak-kanak secara meluas, salah satu sebabnya adalah kerana kes jangkitan Covid kurang berleluasa dan kurang teruk dalam kalangan kanak-kanak. Kadar kematian kes Covid dalam populasi kanak-kanak juga kurang berbanding populasi dewasa. Keadaan ini telah mengakibatkan banyak salah tanggapan tentang covid dan kanak-kanak. Pada awal wabak covid bermula, kita lihat trend, seolah-olah kanak-kanak kebal kepada virus Covid, kerana ia hanya menjangkiti orang dewasa. Namun sebaik sahaja ‘lock down’ selesai dan sekolah dibuka semula, kita dapat lihat kini, kanak-kanak bukan sahaja boleh membawa virus tersebut, malah boleh menyebarkannya juga. Ditambah lagi kemunculan ‘variant’ baru covid yang lebih ganas seiring dengan kadar peningkatan jangkitan Covid-19 dalam kalangan muda dan kanak-kanak. Persoalannya adakah kanak-kanak ini kebal terhadap virus covid 19? Jawapannya adalah tidak. Sebenarnya mereka tidak kebal terhadap virus covid dan inilah sebabnya pihak kerajaan telah menetapkan untuk menutup sekolah semasa tempoh ‘lock down’ pandemik covid. 

Simptom Jangkitan Covid Pada Kanak-kanak

Kebanyakan kes simptom kanak-kanak yang terkena jangkitan virus covid adalah serupa dengan simptom orang dewasa contohnya demam, batuk, sesak nafas, hidung tersumbat, hidung berair ,sakit tekak, loya, muntah, cirit-birit keletihan, sakit kepala, sakit badan (mialgia) atau kurang selera makan.Walau bagaimanapun, kajian telah mendapati, kanak-kanak kurang berkemungkinan untuk menunjukkan gejala simptom Covid yang tipikal. Contohnya dalam satu laporan kajian, ada menyatakan bahawa 73% daripada pesakit kanak-kanak mempunyai simptom demam batuk atau sesak nafas, berbanding 93% orang dewasa berumur antara 18 dan 64 tahun yang mempunyai simptom yang sama. Pada masa yang sama kebanyakan kanak-kanak yang dijangkiti virus Covid juga tidak mempunyai gejala ataupun hanya mempunyai gejala atau simptom yang ringan atau sederhana.

Dalam satu kajian di China yang melibatkan hampir 2,100 pesakit kanak-kanak di sana. Data kajian telah menunjukkan kira-kira 4% pesakit Covid kanak-kanak adalah asimtomatik (tidak mempunyai simptoms) , laporan x-ray dada biasa, mereka juga adalah normal. Manakala 51% pesakit pula mempunyai simptom ringan contohnya demam, batuk ,keletihan dan mialgia (sakit-sakit badan). 39% pula mempunyai simptom sederhana termasuklah, keradangan pada paru-paru atau `pneumonia’ yang boleh dilihat pada laporan x-ray dada biasa. 5% kes pula adalah pesakit kanak-kanak yang mengalami simptom yang teruk di mana mereka mengalami sesak nafas akibat kekurangan oksigen sehingga sampai ke tahap ‘sianosis’ iaitu warna bibir kebiruan atau keunguan pada muka kanak-kanak.Data kajian tersebut turut menyatakan, kurang daripada 1% daripada kes, adalah kritikal. Kumpulan pesakit Covid kanak-kanak ini mengalami ‘sindrom gangguan pernafasan akut’ atau ARDS , ‘shock’, atau kegagalan fungsi pernafasan,  jantung atau kegagalan buah pinggang.Terdapat gejala dan komplikasi Covid yang berlaku khusus untuk kanak-kanak yang diketahui setakat ini. Komplikasi ini di namakan sebagai ‘multi-sysmtem inflamatory syndrome’ (MSIC) atau pun dalam bahasa melayu mungkin kita panggil sebagai  ‘sindrom keradangan yang melibatkan pelbagai sistem’ . Keadaan ini berlaku apabila kanak-kanak yang dijangkiti virus covid mengalami keradangan dan demam yang berterusan dan mengakibatkan kegagalan fungsi organ, satu organ ataupun lebih dari satu organ,seperti kegagalan fungsi paru-paru, jantung atau buah pinggang. Ada juga laporan yang menunjukkan simptoms ini juga sama seperti penyakit ‘kawasaki’ contohnya demam dengan suhu yang tinggi, mata menjadi merah,bibir merah dan merekah, lidah merah macam straberi, ruam pada anggota badan dan bengkak pada kelenjar

Dalam satu kajian statistik yang dilakukan di Hospital Kanak-kanak di  Amerika (Washington DC) telah diadakan, penyelidik juga telah mendapati beberapa ‘patern’ atau pun trend yang menarik mengenai jangkitan covid dalam kalangan kanak-kanak mereka yang boleh kita belajar. Contohnya 

1) Bayi yang berumur kurang daripada 1 tahun dan kanak-kanak yang lebih besar, yang berumur 15 sehingga 25 tahun lebih berkemungkinan memerlukan kemasukan ke hospital. Data juga menunjukkan kanak-kanak lebih tua atau remaja ini berkemungkinan besar memerlukan rawatan kritikal

2) Kanak-kanak yang menghidapi Covid berkemungkinan juga telah mempunyai risiko masalah kesihatan lain seperti asma. Ini bukanlah bermaksud kanak-kanak yang menghidap asma mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk dimasukkan ke hospital atau menjadi ketahap kritikal akibat jangkitan covid. Namun kanak-kanak yang telahpun mengalami penyakit kronik lain contohnya, penyakit jantung, penyakit hematologi onkologi atau neurologi (saraf ) lebih berkemungkinan dimasukkan ke hospital  jika mereka dijangkiti virus covid kerana mereka lebih cenderung merebak ke tahap kritikal.

3) Satu-satunya gejala yang dilaporkan oleh kajian statistik (hospital di US)  yang menyebabkan kanak-kanak akan dimasukkan ke hospital akibat jangkitan covid berbanding, kanak-kanak yang boleh di rawat dirumah adalah , sesak nafas. Berbanding simptom minor lain seperti hidung berair, sakit tekak, batuk ,sakit kepala semua ini lebih kerap berlaku pada pesakit yang tidak memerlukan kemasukkan hospital.

4) 94% pesakit kanak-kanak yang dijangkiti dengan covid tidak mempunyai jangkitan lain ataupun (co-infection)  bersama dengan virus atau bakteria lain. Walau bagaimana pun 6% lagi yang mempunyai jangkitan lain (co-infections) biasanya adalah ‘Rhinovirus’ ataupun ‘enterovirus’.

Risiko Ibu mengandung 

Adakah ibu yang mengandung yang telah disahkan Covid positif boleh menjangkiti pula pada bayi dalam kandungan mereka?. Buat masa ini, kajian mendapati tiada bukti penularan langsung virus covid melalui darah daripada ibu mengandung yang positif Covid 19 kepada bayi yang dikandungnya. Penyebaran virus covid melalui susu ibu juga belum mempunyai bukti yang kukuh. Namun ibu yang positif virus covid masih boleh menjangkiti pada bayi mereka melalui titisan penafasan. Oleh itu adalah di syorkan untuk ibu yang disyaki atau disahkan dijangkiti virus covid untuk menjalani kuarantin secara fizikal dengan bayi sementara waktu. Jika mereka ingin menyusu atau bersentuhan kulit dengan bayi hendaklah memakai penutup muka dan mengamalkan kebersihan tangan.

Kriteria utk seorang kanak-kanak menjalani Ujian COVID ?

Kanak-kanak yang mempunyai gejala termasuk dalam mana-mana kumpulan berikut dicadangkan untuk menjalani ujian Covid. 

1) Kanak-kanak yang bersimptom dan mempunyai penyakit kronik yang berisiko seperti penyakit jantung kongenital, penyakit asma, keadaan sistem imun yang rendah contohnya bayi pramatang, kanak-kanak yang dijangkiti HIV, penyakit neuromuskular, penyakit berkaitan masalah saluran pernafasan yang tidak berfungsi dengan baik. 
2) Diketahui mempunyai hubungan fizikal kontak dengan pesakit yang telah disahkan covid dalam tempoh 14 hari 

Apa yang harus kita lakukan jika anak kita positif Covid?

Kanak-kanak yang telah disahkan positif Covid melalui ujian makmal tak semestinya wajib masuk hospital, malah kanak-kanak tersebut boleh diuruskan di rumah. Mereka tidak perlu kemasukkan di hospital jika mereka tidak mempunya simptoms (asimptomatik) atau mempunyai simptom yang  ringan sehingga sederhana. Ataupun mereka tiada penyakit kronik lain yang memerlukan pantauan rapi di hospital

Langkah-langkah yang perlu ibubapa atau penjaga lakukan untuk pantauan dirumah adalah seperti berikut:

1) Boleh pisahkan kanak-kanak yang positif Covid dengan ahli keluarga lain yang tidak mempunyai covid. Mereka boleh duduk di bilik berasingan dan ‘access’ bilik air yang juga berasingan. Keadaan ini membolehkan ibu bapa menghadkan ‘contact’ ataupun pelawat.

2) Menjauhkan ahli keluarga yang positif Covid daripada haiwan peliharaan dalam rumah. Elakkan berkongsi barangan rumah peribadi seperti cawan, pinggan-mangkuk perkakas, tuala bantal. Penjaga hendaklah mencuci barang-barang ini dengan air dan sabun selepas kanak-kanak tersebut menggunakannya.

3) Membersihkan semua objek dan permukaan yang selalu disentuh contonya termasuk meja, tombol pintu, tandas, telefon, papan kekunci tetikus ‘mouse’ pada komputer, tablet apa sahaja yang menggunakan semburan pembersih rumah atau kain lap mengikut arahan pada label.

4) Pastikan anda kenal tanda simptoms yang teruk atau tanda amaran seperti, sesak nafas atau kesukaran nafas, sakit dada, bibir atau muka biru atau keunguan . Ataupun tanda-tanda ‘shock’  seperti  kulit sejuk, atau jika kanak-kanak berasa sangat lesu. Semua kanak-kanak yang mempunyai simptom yang teruk atau kritikal akan memerlukan kemasukan ke hospital.

Langkah-langkah yang perlu dilakukan oleh ibubapa dan penjaga untuk mengelakkan kanak-kanak dijangkiti COVID-19?

1) Mencuci tangan dengan sabun dan air selama sekurang-kurangnya 20 saat. Menggunakan pembersih tangan ataupun “hand rub” dengan kandungan alkohol lebih daripada 60% juga berguna. Namun perlu diingat bahawa pembersih tangan harus berada di luar jangkauan kanak-kanak kecil kerana pengambilan atau tertelan cecair tangan sanitizer dengan kandungan alkohol yang tinggi boleh menyebabkan kanak-kanak sakit 

2) Amal kan ‘Social distancings’ atau penjarakkan sosial. Kanak-kanak berumur lebih dari dua tahun juga harus memakai penutup muka jika mereka perlu berjumpa dengan orang lain. 

3) Mengajar anak-anak anda untuk batuk dan bersin ke dalam tisu atau jika mereka tidak mempunyai tisu yang tersedia, menggunakan siku dalam, dengan cara itu mereka tidak menyebarkan kuman.

4) Membersihkan sepenuhnya dan membasmi kuman permukaan dan objek di rumah menggunakan pembersihan rumah jenis semburan dan lap kan nya

5) Jika boleh ajar anak anda untuk mengelak daripada menyentuh muka mereka terutamanya jika tangan mereka kotor atau telah menyentuh tanah.

Akhir sekali, sama-samalah kita menjaga diri dan keluarga masing-masing dari terkena jangkitan Covid. Kita sebagai orang dewasa dan ibu bapa kepada kanak-kanak haruslah menjadi contoh teladan yang baik kepada mereka, kerana mereka akan meniru perbuatan orang dewasa disekeliling mereka. Komunikasi yang baik juga amat perlu antara ibu bapa dan anak-anak untuk mereka memahami dan dapat menjalani tempoh yang mencabar ini.

Penulis Artikel
Nama penulis: 
                                                 
Dr Nur Arzuar Bin Abdul Rahim
Dr Asmida Isa
Dr Husnaida Abdul Manan@Sulong

Afiliasi:
Kluster Perubatan Regeneratif & Kluster Perubatan Integratif

PDF
Scroll to Top