
Kunjungan pensyarah IPPT ke Rumah Kelahiran Bung Hatta, Bukittinggi
Program International Multidisciplinary Service Community (IMSC) 2025 anjuran Asosiasi Dosen Pengabdian kepada Masyarakat Indonesia (ADPI) telah memberi peluang kepada sekumpulan pensyarah dari Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia untuk mengenali sejarah dan warisan Tanah Minang melalui siri lawatan ke Padang dan Bukittinggi, Sumatera Barat, Indonesia. Lawatan ini disertai oleh Dr. Nor Adlin Md Yusoff, Dr. Nurul Shahfiza Noor, Dr. Nik Nur Syazni Nik Mohamed Kamal, Dr. Sharlina Mohamad dan Dr. Nurhuda Mohamad Ansor. Aktiviti ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 4 dan SDG 17), kerana ia menyumbang kepada pendidikan nilai dan warisan budaya serta menjadi platform pertukaran ilmu antara institusi dan komuniti.
Photo By Nurhuda Mohamad Ansor
Salah satu koleksi bingkai gambar yang menghiasi ruang pameran di Rumah Kelahiran Bung Hatta
Antara lokasi utama yang dilawati ialah Rumah Kelahiran Bung Hatta di Bukittinggi, iaitu replika rumah asal tokoh penting kemerdekaan Indonesia, Bung Hatta. Rumah asal telah dirobohkan pada tahun 1960-an dan kini berfungsi sebagai pusat rujukan sejarah. Nama sebenar Bung Hatta ialah Mohammad Hatta dan dilahirkan pada 12 Ogos 1902. Beliau mendapat pendidikan awal di sekolah pendidikan Belanda dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi di Handels Hogeschool, Rotterdam (kini Erasmus University Rotterdam). Bung Hatta merupakan sahabat rapat Buya Hamka, dan kedua-duanya berjuang untuk kemerdekaan Indonesia melalui pendekatan yang berbeza; Bung Hatta melalui politik dan diplomasi, manakala Buya Hamka melalui jalan dakwah. Lawatan ini memberi peluang untuk memahami kepelbagaian perjuangan kermerdekaan serta menanam empati dan kefahaman rentas sempadan Nusantara.
Photo By Nurhuda Mohamad Ansor
Masjid Raya Sheikh Ahmad Khatib
Al-Minangkabawi menampilkan bumbung berbentuk tanduk kerbau yang
mencerminkan identiti budaya Minangkabau
Para pensyarah turut didedahkan kepada sejarah dan falsafah seni bina bumbung Minangkabau melalui lawatan ke Masjid Raya Sheikh Ahmad Khatib Al-Minangkabawi di bandar Padang. Keunikan bumbung Minangkabau terletak pada bentuknya yang menyerupai tanduk kerbau, yang menjadi simbol penting dalam budaya tempatan. Bentuk ini dikaitkan dengan legenda ‘adu kerbau’ antara kerajaan tempatan dan seorang putera dari tanah Jawa sebagai langkah penyelesaian konflik. Putera tersebut membawa seekor kerbau yang besar manakala rakyat tempatan pula hanya membawa seekor anak kerbau yang lapar tetapi dengan tanduk yang telah ditajamkan. Dalam pertandingan itu, anak kerbau yang kelaparan telah merodok tanduknya ke perut kerbau besar kerana ingin mencari puting susu untuk menghilangkan kelaparannya. Akhirnya, kerbau yang besar itu mati, sekaligus melambangkan kemenangan bijaksana tanpa kekerasan. Daripada kisah ini lahir nama "Minangkabau", hasil gabungan "minang" (menang) dan "kabau" (kerbau). Sejarah ini mengangkat rumah Minangkabau bukan sekadar struktur fizikal, tetapi lambang identiti dan kebijaksanaan tempatan yang wajar dilestarikan.
Photo By Nurhuda Mohamad Ansor
Kopi Tatungkuik, minuman tradisional Minang yang disajikan secara unik dan simbolik
Satu lagi pengalaman budaya bermakna ialah menikmati kopi Tatungkuik di Lapau Nasi Putuih Basambuang. Keunikan kopi ini terletak pada cara penyajiannya, iaitu gelas yang ditelungkup di atas piring kecil. Kaedah penyajian ini mempunyai makna tersendiri, iaitu posisi gelas yang terbalik berfungsi untuk menyaring hampas kopi serta membantu mengekalkan suhu panas agar kopi boleh dinikmati lebih lama, terutama dalam cuaca sejuk. Selain itu, kopi ini dihasilkan daripada campuran biji kopi dan beras pulut hitam. Kajian menunjukkan bahawa campuran ini meningkatkan kandungan flavonoid yang bertindak sebagai antioksidan. Pengalaman ini bukan sekadar berkaitan rasa, tetapi turut memberi kefahaman terhadap nilai tatasusila, kreativiti dan simbolik budaya masyarakat Minang.