Expert Column

Doktor Pergigian Haram (Bogus Dentist)

Saadiah Shahabudin
Published : 30 December 2021

Fake denture


Dr Sa’adiah Shahabudin
Kluster Sains Kraniofasial dan Biobahan, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, Universiti Sains Malaysia

Doktor pergigian haram adalah seseorang yang menjalankan rawatan pergigian tanpa mempunyai latarbelakang akademik tentang ilmu pergigian. Untuk menjadi seorang doktor gigi yang bertauliah, individu tersebut perlu menjalani sesi akademik dan latihan di universiti tempatan atau luar negara yang diiktiraf oleh Majlis Pergigian Malaysia.  Kegiatan pergigian secara haram menyalahi undang-undang di bawah Akta Pergigian 1971(Akta 51) dan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (PHFSA) 1998 (Seksyen 27) dan boleh dikenakan denda RM 300,000 atau/dan dipenjara tidak lebih dari 6 tahun. 

Masih terdapat ramai lagi doktor pergigian haram yang juga dikenali sebagai doktor gigi jalanan/quack dentist beroperasi. Mereka menjalankan kegiatan di pasar, tepi bangunan yang tersorok, kedai-kedai kopi, rumah persendirian, salon kecantikan dan juga rumah tumpangan (Gambarajah 1).

      
                                                                                      a     

b
                                                                                                                                                                                   
Gambarajah 1: Kegiatan pergigian haram di laksanakan di kedai kopi dan di tepi jalan  tanpa menggunakan pelitup muka dan sarung tangan a) sumber: Harian Metro, October 10, 2011, b) sumber: The Star, August 14, 2010. 
  
Mereka sering bertukar premis supaya tidak dijejaki penguatkuasa. Malah, di sesetengah bandar, kegiatan ini dijalankan di kawasan perumahan mewah yang mempunyai pengawal keselamatan untuk mengelakkan kecurigaan. Terdapat juga pendatang asing dari luar negara dengan menggunakan visa pelancong yang menjalankan kegiatan haram ini.Perkhidmatan dari rumah ke rumah, tiada  senarai menunggu dan harga yang murah telah mendorong ramai orang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan doktor pergigian haram tanpa memikirkan risiko, kebersihan dan keupayaan doktor pergigian haram tersebut. Malangnya ada juga segelintir yang tiada kesedaran tentang kewujudan doktor pergigian haram dan menganggap mereka itu memang berkelayakan menjalankan rawatan pergigian.

Antara rawatan yang dijalankan oleh doktor pergigian haram adalah cabutan, tampalan, dentur dan pendakap gigi. Persekitaran yang tidak bersih dan tiada proses pensterilan peralatan, menyebabkan pelanggan terdedah kepada penyakit berjangkit seperti HIV, Hepatitis B, Hepatitis C dan Tuberkulosis. Malah keadaan yang tidak kondusif ini juga membahayakan diri ‘doktor’ itu sendiri. Doktor pergigian haram ini tidak bertauliah untuk menjalankan rawatan, sering kali terjadi komplikasi seperti gigi patah semasa cabutan dan tampalan yang tidak berkualiti. Komplikasi ini sering mengakibatkan rawatan susulan menjadi rumit, kos rawatan meningkat dan kadangkala gigi tidak boleh diselamatkan. Kebanyakan doktor gigi haram ini mendapat ilmu dari laman sesawang ‘youtube’, media sosial, tutorial DIY dan pemerhatian semasa membantu doktor gigi memberikan rawatan.

Pendakap gigi telah menjadi fesyen dan ikutan dalam kalangan remaja dan bukan sebagai alat rawatan. Bagi mereka, pemakaian pendakap gigi melambangkan kemewahan dan status sosial. Warna dan hiasan yang menarik pada braces telah memikat hati remaja perempuan terutamanya. Braces yang dipasang tanpa mengikut cara yang betul akan menyebabkan berbagai komplikasi. Di antaranya adalah keracunan dari bahan braces itu sendiri, gigi tersasar, gigi menjadi longgar dan kerosakan pada gigi dan gusi yang sedia ada (Gambarajah 2). Oleh kerana tiada arahan penjagaan gigi selepas rawatan, ini boleh menyebabkan berlakunya karies gigi dan kebengkakan gusi semasa rawatan. 

     
a
  
     b 

Gambarajah 2: Komplikasi rawatan braces oleh doktor pergigian haram; a) kebengkakan gusi b) gigi tersasar 

Fake denture (Gambarajah 3) yang dibuat oleh tukang gigi jalanan amat berleluasa di negara dunia ketiga seperti Indonesia, Bangladesh, India, dan malangnya Malaysia juga terlibat dengan kegiatan ini.


Gambarajah 3: Fake denture (sumber-internet)

Pasar malam dan kaki lima sering dijadikan tempat beroperasi.   Mereka membuat gigi palsu dengan ilmu yang diturunkan secara turun temurun, tanpa menggunakan khidmat juruteknologi pergigian bertauliah. Mereka akan menyiapkan gigi palsu tersebut dalam beberapa jam sahaja. Hal ini telah menarik minat pelanggan tanpa berfikir panjang tentang risiko yang bakal dihadapi. Fake denture ini dipasang terus dalam mulut pelanggan dengan melekatkan denture tersebut kepada gusi dan gigi kekal yang ada dengan menggunakan bahan akrilik. Ini menyebabkan denture tidak boleh ditanggalkan untuk dibersihkan. Rawatan fake denture oleh tukang gigi jalanan ini bukan sahaja boleh menyebabkan jangkitan penyakit yang berjangkit seperti yang disebut sebelum ini malah, ruang-ruang di celah-celah denture tersebut menjadi sarang bagi pembiakan kuman dan kulat. Kuman ini seterusnya boleh memasuki saluran darah dan menyerang tisu jantung (infective endocarditis). Hal ini amat membahayakan pelanggan dan boleh membawa maut terutama mereka yang telah menjalani pembedahan jantung atau pemindahan injap jantung. Kesihatan mulut juga akan terjejas disebabkan makanan yang berkumpul di fake denture boleh menimbulkan berbagai masalah seperti gigi berlubang, kebengkakan gusi, mulut berbau dan kesakitan. 

Bagaimanakah kita boleh mengenali doktor pergigian haram ini? 

Selalunya doktor pergigian haram hanya menawarkan rawatan yang terhad seperti pendakap gigi, cabutan, tampalan vener dan pemutihan gigi. Harga rawatan selalunya jauh lebih murah dari klinik pergigian biasa. Oleh sebab premis yang digunakan sering berubah, promosi rawatan selalunya melalui buah mulut pelanggan, kad bisnes dan media sosial. Ada juga yang menggunakan selebriti tempatan untuk meningkatkan keyakinan pelanggan tentang perkhidmatan mereka. 

Tempat beroperasi selalunya di hotel, rumah atau salon. Peralatan yang digunakan dibeli secara online atau pembekal yang tidak berdaftar yang menjual peralatan pergigian yang tidak memenuhi piawaian dengan harga yang lebih murah kepada doktor pergigian haram. Peralatan yang digunakan adalah seperti forcep, pengetip kuku, bantal, katil dan peralatan yang berkarat; bukannya peralatan pergigian atau kerusi pergigian (Gambarajah 4).


Gambarajah 4: Pemasangan pendakap gigi di rumah tumpangan tanpa perkakasan yang sewajarnya (sumber: internet)

Pastikan klinik pergigian yang anda hadiri telah berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dan doktor yang merawat anda telah berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia dan mempunyai Sijil Pengamalan Tahunan yang terkini. Sijil-sijil pendaftaran tersebut mestilah dipamerkan dan anda berhak untuk bertanyakan tentang hal ini sekiranya perlu. Senarai doktor pergigian yang berdaftar juga boleh didapati di laman sesawang DPIMS (http://dpims.moh.gov.my). DPIMS adalah singkatan bagi Dental Practitioners’ Information Management System yang mana nama doktor gigi, status pendaftaran, tarikh pendaftaran, kelayakan dan tempat perkhidmatan boleh diakses.  

Sekiranya anda salah seorang mangsa doktor pergigian haram, pergilah berjumpa doktor yang bertauliah untuk pemeriksaan dan memastikan rawatan yang telah diterima dari doktor pergigian haram tidak mendatangkan kemudaratan. Kerapkali, doktor gigi terpaksa memberi rawatan baik pulih yang memakan masa yang lama dan melibatkan kos yang tinggi. Masyarakat perlu memainkan peranan dalam menangani kegiatan pengamal rawatan pergigian haram ini. Walaubagaimanapun, kegiatan ini sukar dibendung selagi tiada kesedaran dan masih terdapat permintaan dari masyarakat. Sebarang kegiatan haram ini perlu dilaporkan kepada  pihak berkuasa  atau bertanggungjawab iaitu  Cawangan Perundangan dan Penguatkuasaan (Telefon : 03-88834215 / 4212 / 4237, E-mel : ohd@moh.gov.my) atau, Majlis Pergigian Malaysia (Telefon : 03-88834217,E-mel : mdc@moh.gov.my) atau Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta, Bahagian Amalan Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (Telefon : 03-88831301, E-mel : ckaps@moh.gov.my).

AYUH! SAMA-SAMA KITA MEMBENTERAS KEGIATAN PERGIGIAN HARAM.
Penulis Artikel
Nama penulis: 
Dr Sa’adiah Shahabudin

Afiliasi:
Kluster Sains Kraniofasial dan Biobahan

Bidang kepakaran:
Kesihatan Pergigian Awam 

Scroll to Top