Collaboration

PPUSMB ANJURKAN SAMBUTAN HARI HOSPIS DAN PENJAGAAN PALIATIF SEDUNIA 2024 DAN MAJLIS PENANDATANGAN PLAK KERJASAMA PPUSMB DENGAN ORGANISASI LUAR BAGI PROGRAM “FELLOWSHIP IN PALLIATIVE CARE NURSING”

Published : 12 October 2024

WHPCD 2024
PADANG POLO, GEORGETOWN, PULAU PINANG, October 12 2024 -

GEORGETOWN, PULAU PINANG, 12 Oktober 2024 – Pusat Perubatan USM Bertam (PPUSMB) bersama-sama dengan penganjur utama majlis iaitu Persatuan Kerjasama Paliatif Pulau Pinang, Malaysian Hospice and Palliative Care Council (MHPCC), Hospital Pulau Pinang, dan juga beberapa pihak Pertubuhan Bukan Kerajaan hari ini telah menganjurkan Sambutan Hari Hospis & Penjagaan Paliatif Sedunia 2024 dan juga Majlis Penandatangan Plak Kerjasama PPUSMB dan Organisasi Luar bagi Program ‘Fellowship in Palliative Care Nursing (FPCN)’.

Photo By NORIZAN ISHAK
WHPCD 2024


Hari Hospis dan Penjagaan Paliatif Sedunia atau “World Hospice and Palliative Care Day” (WHPCD) merupakan hari untuk meraikan serta menyokong hospis dan penjagaan paliatif di seluruh dunia. Majlis peringkat nasional ini berlangsung di Padang Polo, Georgetown, Pulau Pinang  telah berjaya menghimpunkan ratusan peserta dari seluruh Malaysia bagi meraikan dan menyokong usaha memperkukuh perkhidmatan hospis dan penjagaan paliatif seiring dengan peranan utama mereka iaitu sebagai barisan hadapan dalam usaha mengurangkan penderitaan dan meningkatkan kualiti kehidupan pesakit serta ahli keluarga pesakit.

Photo By NORIZAN ISHAK
WHPCD 2024


Unit Paliatif PPUSMB telah menjadi penganjur bersama Sambutan Hari Hospis dan Penjagaan Paliatif Sedunia 2024 yang diketuai oleh Dr Siti Khairizan Rahim selaku mantan penyelaras Unit Paliatif PPUSMB, dibantu oleh Dr Siti Nooraini Mohamad Yusof selaku penyelaras baharu Unit Paliatif PPUSMB bersama-sama dengan ahli jawatankuasa program yang terdiri daripada pegawai perubatan, jururawat dan juga staf sokongan dari PPUSMB termasuk pembantu tadbir dan pemandu.
Bertemakan “Sepuluh Tahun Sejak Resolusi: Apakah Yang Sudah Kita Lakukan?”, sambutan Hari Penjagaan Hospis dan Paliatif Sedunia 2024 dimulakan dengan ucapan aluan oleh YBhg. Datuk Seri Dr. T. Devaraj, Penasihat majlis WHPCD 2024 dan seterusnya ucapan dari Dr. Richard Lim Boon Leong selaku Ketua Perkhidmatan Paliatif Kebangsaan.

Photo By NORIZAN ISHAK
WHPCD 2024


Kemuncak kepada majlis ini adalah semasa ucapan oleh YB Senator Dr. Lingeshwaran A/L Dato’ Seri Arunasalam merupakan Ahli Dewan Negara (Senator) mewakili Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang seterusnya merasmikan Sambutan Hari Hospis dan Penjagaan Paliatif Sedunia bagi tahun 2024.
Lingeshwaran dalam ucapannya berkata, dianggarkan seramai 240,000 pesakit memerlukan penjagaan paliatif menjelang tahun 2030 dan memerlukan kerjasama pelbagai pihak bagi meningkatkan akses perkhidmatan di seluruh negara.
Program diteruskan lagi dengan Majlis Penandatangan Plak Kerjasama bagi kursus pengajian ‘Fellowship in Palliative Care Nursing (FPCN)’  antara PPUSMB dan Organisasi Hospis di sekitar Pulau Pinang. Majlis ini adalah sebagai simbolik jalinan kerjasama antara PPUSMB dan Pusat Hospis yang terlibat. Program ini bakal bermula pada tahun 2025 dan mempunyai fasa pembelajaran secara atas talian selama dua bulan dan seterusnya fasa latihan sangkutan klinikal di Hospital serta Pusat Hospis di sekitar Pulau Pinang selama empat bulan.
Majlis Penandatangan ini disempurnakan oleh YBrs Profesor Madya Dr. Bakiah Shaharudin, Pengarah Pusat Perubatan USM Bertam dengan jalinan kerjasama oleh YBhg Dato’ Seri Dr. T Devaraj, Pengerusi Penang Hospice Society; YBrs The Venerable Lyan Shih, Pengasas dan Pengerusi Pure Lotus Hospice sertaYBrs Dr. Oo Loo Chan, Pengarah Perubatan Charis Hospice.
PPUSMB amat berbesar hati dapat menyediakan pilihan platform pendidikan lanjutan khusus kepada jururawat dan menghargai jalinan kerjasama dari Penang Hospice Society, Pure Lotus Hospice dan Charis Hospice dalam usaha memastikan pengalaman praktikal kejururawatan paliatif yang bermanfaat dan menyeluruh.
Penjagaan paliatif ini adalah selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Developmental Goal 3) untuk menggalakkan kesihatan mental dan kesejahteraan pesakit & penjaga dan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Developmental Goal 17) untuk perkongsian global melalui jaringan kerjasama sukarelawan dan pasukan paliatif dalam meringankan beban psikososial pesakit dan penjaga.Penjagaan sebegini memerlukan gabungan kemahiran pelbagai disiplin untuk menampung keperluan kompleks individu yang menghidap penyakit serius, termasuk keperluan keluarga dan penjaga bagi mengurangkan penderitaan mereka. Inisiatif yang dilakukan ini secara tidak langsung melambangkan nilai asas masyarakat penyayang dan prihatin.
WHPCD 2024 turut disajikan dengan pelbagai aktiviti yang menarik seperti pendedahan kepada perkhidmatan paliatif dan hospis, dari seluruh Malaysia, aktiviti sukaneka seperti pencarian harta karun, zumba, cabutan bertuah dan lain-lain.
PPUSMB juga telah berpeluang mempromosikan perkhidmatan penjagaan paliatif, aktiviti latihan sukarelawan serta memperkenalkan perkhidmatan onkologi dan brachytherapy kepada pelawat dan peserta program. Selain daripada itu, Pertubuhan Paliatif USM juga tidak ketinggalan membuka reruai untuk kutipan dana bagi pembinaan bangunan paliatif di USM Bertam.
Majlis ini rata-ratanya mendapat sambutan yang menggalakkan dan maklum balas yang sangat baik daripada pelbagai pihak khususnya Persatuan Kerjasama Paliatif Pulau Pinang, Malaysian Hospice and Palliative Care Council (MHPCC), Hospital Pulau Pinang dan juga beberapa pihak Pertubuhan Bukan Kerajaan. Jalinan kerjasama ini bakal diteruskan bagi mencapai Matlamat Pembangunan Mampan melalui SDG 3 iaitu menggalakkan kesihatan mental dan kesejahteraan pesakit serta penjaga dan SDG 17, perkongsian global melalui jaringan kerjasama sukarelawan dan pasukan paliatif dalam meringankan beban psikososial pesakit dan penjaga.

Teks : Nur Aqilah Tajul Ashikin
Disunting oleh: Dr. Siti Nooraini Mohamad Yusof & Dr. Siti Khairizan Rahim
Foto: Norizan Ishak
Pusat Media & Perhubungan Awam
Institut Perubatan dan Pergigian Termaju
Universiti Sains Malaysia
12 Oktober 2024


SDG 3 - Ensure healthy lives and promote well-being for all at all ages
SDG 17 - Strengthen the means of implementation and revitalize the Global Partnership for Sustainable Development
Scroll to Top