AMDI Story

FIESTA KEBUDAYAAN ANTARABANGSA PERINGKAT USM@BERTAM DISAMBUT MERIAH

Published : 24 October 2024

Fiesta Kebudayaan Antarabangsa ASA 2024
AMDI LEARNING SPACE (ALS), October 24 2024 -


AMDI Student Association (ASA) 2023/2024, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) hari ini telah berjaya menganjurkan Fiesta Kebudayaan Antarabangsa bersama warga staf dan pelajar IPPT.
Fiesta Kebudayaan Antarabangsa yang diadakan di AMDI Learning Space (ALS), Sains@Bertam telah berjaya menarik perhatian pelbagai lapisan masyarakat khususnya dalam kalangan warga USM untuk turut serta ke majlis tersebut.
Fiesta ini adalah kali kedua dianjurkan oleh ASA telah berjaya memperlihatkan kepelbagaian budaya dari pelbagai kaum di pelbagai negara seperti Afrika, Timur Tengah, Asia Timur dan Malaysia di mana turut melibatkan penglibatan semua warga staf dan pelajar di sini.

Photo By AMDI Student Association (ASA)
Fiesta Kebudayaan Antarabangsa ASA 2024


Bertemakan ‘Celebrate Diversity In Solidarity’, Fiesta Kebudayaan Antarabangsa ASA 2024, dianjurkan bertujuan untuk menghimpunkan pelbagai budaya untuk menggalakkan pertukaran budaya, keamanan dan persefahaman. Bukan itu sahaja, melalui acara ini juga secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan antara sesama pelajar dan staf IPPT di mana melalui fiesta ini mampu mewujudkan peluang yang sangat baik untuk perbualan dan interaksi bermakna merentas budaya sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 4), Pendidikan Berkualiti dan SDG10.2 yang memperkasa dan mempromosikan keterangkuman sosial untuk semua. Ini kerana, acara ini memperkasakan semua golongan khususnya para pelajar IPPT yang datang dari pelbagai negara untuk menerima kepelbagaian, tanpa mengira latar belakang sekaligus memupuk semangat keterangkuman dan saling menghormati antara satu sama lain.

Photo By AMDI Student Association (ASA)
Fiesta Kebudayaan Antarabangsa ASA 2024


Kemuncak kepada Fiesta Kebudayaan Antarabangsa ini adalah semasa ucapan aluan oleh Profesor Madya Dr. Bakiah Shaharuddin, menjalankan Fungsi Pengarah IPPT & PPUSMB yang seterusnya merasmikan ASA International Cultural Fiesta 2024.
Bakiah Shaharuddin dalam ucapannya berkata, acara yang dijalankan ini adalah untuk memupuk pertukaran budaya, menggalakkan keamanan dan memperdalam persefahaman antara satu sama lain.
“Bersama-sama, kita memperkasakan satu sama lain untuk menerima kepelbagaian kita dan memupuk persekitaran keterangkuman dan saling menghormati”, katanya.
Tambah Bakiah Shaharuddin, melalui Fiesta Kebudayaan Antarabangsa ini, para pelajar dapat memanfaatkan pengalaman ini sepenuhnya di samping membina persahabatan yang berkekalan dan berkembang sebagai komuniti global kerana setiap interaksi hari ini adalah satu langkah ke arah persefahaman dan perpaduan.

Photo By AMDI Student Association (ASA)
Fiesta Kebudayaan Antarabangsa ASA 2024


Para tetamu juga turut disajikan dengan persembahan silat yang dipimpin oleh Saudara Tarmizi, dan juga beberapa persembahan kebudayaan unik oleh setiap jabatan. Setiap jabatan telah dibahagikan kepada 6 wilayah berdasarkan kepada tempat asal para pelajar IPPT; Jabatan Kesihatan Komuniti mewakili wilayah Asia Selatan, Jabatan Sains Bioperubatan mewakili wilayah Asia Tenggara, Jabatan Pengimejan Bioperubatan mewakili wilayah Asia Timur, Jabatan Perubatan Klinikal mewakili wilayah Timur Tengah, Jabatan Toksikologi mewakili wilayah Afrika manakala Jabatan Sains Pergigian mewakili Malaysia. Lebih menarik lagi, program ini telah mendapat penajaan daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) YAPEIM (Official).
Selain daripada persembahan, pemilihan gerai, makanan dan pertunjukan fesyen budaya terbaik bertemakan setiap wilayah dan cabaran Tiktok juga diadakan. Kategori makanan terbaik telah dimenangi oleh Jabatan Pengimejan Bioperubatan, manakala Jabatan Sains Pergigian telah membolot kategori pertunjukan fesyen budaya terbaik dan juga gerai terbaik. Manakala, juara keseluruhan telah dimenangi oleh Jabatan Sains Bioperubatan. Hadir sama memeriahkan majlis adalah Dr. Ida Shazrina Ismail, Timbalan Pengarah (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Madya Dr. Hasni Arsad, Timbalan Pengarah (Penyelidikan & Jaringan), Dr. Asmida Isa, Penasihat ASA Sidang Akademik 2023/2024 dan ketua-ketua jabatan IPPT.




Teks disediakan oleh:  Nur Aqilah Tajul Ashikin
Teks disunting oleh: Dr. Asmida Isa
Pusat Media & Perhubungan Awam
Institut Perubatan dan Pergigian Termaju
Universiti Sains Malaysia
24 Oktober 2024


SDG 4 - Ensure inclusive and equitable quality education and promote lifelong learning opportunities for all
SDG 10 - Reduce inequality within and among countries
Scroll to Top