Majlis Perasmian Oleh Datuk Dr. Awang Adek
BERTAM, April 7 2022 -

Setiap perkenalan, pastinya diselit bersama sebuah pengalaman baru dan itulah yang ingin dilaksanakan oleh pihak Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) di dalam usaha memperkenalkan IPPT kepada masyarakat menerusi program “KARNIVAL IPPT, USM BERSAMA KOMUNITI DAN PELANCARAN WAKAF PUSAT KOMUNITI IPPT” yang lalu.

Pengarah IPPT, Profesor Dr. Tunku Kamarul Zaman Tunku Zainol Abidin, di dalam ucapan perasmiannya berkata masyarakat di negara ini perlu komited untuk menjadi nadi dan tunjang keharmonian hubungan antara kaum bagi memastikan nikmat perpaduan dapat dikecapi sehingga ke generasi akan datang.

“Saya percaya apabila berlaku integrasi kaum, ia mampu memupuk semangat perpaduan, keharmonian pelbagai kaum dan cintakan negara,” katanya.

Menurut beliau lagi, di hari yang mulia ini juga, marilah bersama-sama rehatkan minda anak-anak kita daripada gajet dan permainan video dengan melakukan aktiviti yang lebih sihat dan bermanfaat.

Turut hadir di dalam majlis perasmian Karnival IPPT, USM Bersama Komuniti dan Pelancaran Wakaf Pusat Komuniti IPPT ialah Yang Berbahagia Datuk Dr Awang Adik Hussien, Pengerusi Lembaga Gabenor (LGU) USM.


“Pusat Komuniti IPPT dibangunkan secara wakaf untuk manfaat waris dan tetamu yang berkeperluan menginap dan berehat dengan selesa, di samping dapat menyertai aktiviti-aktiviti yang dijalankan di Pusat Komuniti IPPT. Ia juga dilengkapi dengan kemudahan seperti taska, dewan seminar dan bilik pengurusan jenazah untuk kategori penyakit berjangkit.”

“Bersempena Minggu Kesedaran Kanser, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada IPPT USM kerana mengambil inisiatif dalam memberi kesedaran kepada orang ramai tentang penyakit kanser ini,” tambah beliau.

Selain itu, beliau menyeru orang ramai tanpa mengira latarbelakang dan agama untuk tampil mengambil peluang pada hari ini untuk bersama sama menyumbang kepada dana wakaf Pusat Komuniti IPPT ini.

Karnival ini bertujuan untuk mendekatkan IPPT USM kepada komuniti sekitar dan diharapkan ia akan memperluaskan perkhidmatan yang ditawarkan oleh IPPT USM untuk manfaat warga komuniti.

Karnival ini juga telah diserikan dengan adanya pelbagai acara menarik seperti pertandingan poster, pertandingan teka silang kata, pertandingan mewarna dan pelbagai aktiviti kanak-kanak, serta tidak ketinggalan aktiviti pemeriksaan kesihatan dan kempen derma darah.

Selain itu, tarikh 28 Mac 2022 bakal menyaksikan Pengisytiharan Akreditasi Pusat Latihan dan Penyelidikan Antarabangsa Brachyacademy di IPPT, hasil pengiktirafan sebuah badan antarabangsa yang berpangkalan di Belanda.

Akreditasi ini suatu kebanggaan dan pengiktirafan yang sangat tinggi kerana USM merupakan satu-satunya pusat brakiterapi yang menerima akreditasi ini di Malaysia di mana terdapat hanya tiga sahaja di seluruh Asia.

Turut hadir adalah Dato’ Seri Farizan Darus, Ahli Lembaga Gabenor (LGU) Universiti Sains Malaysia; Ustaz Mohammad Shukri Bin Osman, Pengarah Pusat Islam; dan Dr. Noor Khairiah A. Karim, Pengerusi Jawatankuasa Karnival IPPT, USM Bersama Komuniti.


Teks: Mohamed Hadri Iman Mohamed Hazli / Foto: Mohd Fairus Md. Isa  

Scroll to Top