Community

'Pek Kasih MLC' Pengikat Kasih Rakyat Malaysia

Published : 02 August 2021

Projek Pek Kasih MLC
ADL, June 1 2021 -

         KITA semua menyedari bahawa ramai yang terkesan ketika dunia sedang bergelut dengan pandemik Covid-19. Ada yang mengalami kesulitan dalam kehidupan dan tidak kurang juga yang kehilangan pekerjaan. Ramai yang mengadu bahawa sukar untuk bekerja ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan tiada wang untuk membeli makanan. Keluh kesah mereka menggamit simpati. Sebagai manusia, kita berempati iaitu meletakkan diri kita di tempat orang lain dan turut merasakan emosi sebagaimana yang mereka rasakan. Perit rasanya apabila anak-anak menangis kelaparan dan kita tidak berdaya kerana tiada wang untuk membeli makanan. Pertolongan amat didambakan. Apakah yang boleh kita lakukan untuk membantu mereka walaupun sedikit?

             Bertitik-tolak daripada persoalan itulah, tercetusnya satu idea oleh salah seorang ahli Medical Laboratory Club (MLC) iaitu staf di Makmal Diagnostik Termaju (ADL), Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT). Beliau mengutarakan ideanya kepada anggota kelab, maka Projek ‘Pek Kasih MLC’ pun dilancarkan. Ia bertujuan untuk membantu rakyat Malaysia yang terkesan dengan keadaan pandemik sekarang. Melalui aplikasi Facebook, keluarga yang memerlukan bantuan makanan dicari. Selain itu, ahli kelab juga mendapat maklumat daripada jiran-jiran dan ada juga yang memberi maklumat tentang saudara mara masing-masing yang terjejas akibat pandemik ini.Maklumat keluarga berkenaan beserta alamat tempat tinggal diambil.


Barangan Pek Kasih MLC

             Bermula 1 Jun 2021, ahli-ahli kelab mula menyumbangkan wang untuk dikumpulkan. Hebahan juga diwar-warkan kepada sahabat handai ahli kelab di aplikasi Facebook untuk memberi peluang kepada orang lain untuk turut menyumbang wang bagi projek ini. Sebanyak RM5658.20 berjaya dikumpulkan sehingga projek ini berakhir pada 27 Julai 2021. Menggunakan wang ini, sejumlah 96 keluarga telah dapat dibantu iaitu 29 keluarga di negeri Kedah, 4 keluarga di Pulau Pinang, 3 keluarga di Perak, 8 keluarga di Selangor, 5 keluarga di Kuala Lumpur, 4 keluarga di Pahang, 2 keluarga di Negeri Sembilan, 2 keluarga di Johor, 18 keluarga di Kelantan, 6 keluarga di Terengganu dan 15 keluarga di Sabah.

             Kaedah bantuan ialah dengan membeli barangan secara talian terus melalui Shopee dan dipos terus ke alamat keluarga penerima sumbangan berkenaan. Barangan yang dipos ialah barangan keperluan makanan rumah seperti beras, tepung, minyak dan sebagainya selain lampin pakai buang dan susu bayi mengikut keperluan penerima. Bagi penerima sumbangan yang tinggal berdekatan,barangan dihantar melalui perkhidmatan penghantar barang (runner). Manakala bagi penerima negeri Sabah, wang dimasukkan ke akaun penerima dan penerima akan mengambil gambar barangan yang mereka beli sendiri.


Pembelian online pek kasih MLC

             Besarlah harapan ahli-ahli Kelab MLC ini agar bantuan yang tidak seberapa ini dapat meringankan beban penerima sumbangan. Kerjasama daripada rakan-rakan ahli kelab juga sangat dihargai dan semoga mendapat ganjaran pahala yang tinggi di sisi Allah.

            Kelab MLC dengan 36 ahli ini dianggotai oleh doktor pakar, pegawai sains, juruteknologi makmal perubatan dan pembantu perubatan kesihatan di ADL, IPPT, USM. Kelab ini telah ditubuhkan seawal kewujudan Seksyen ADL di IPPT dan telah terlibat dengan pelbagai aktiviti dan projek kemasyarakatan. Antaranya ialah projek ‘Pek Kasih Ramadan’ iaitu projek dengan kerjasama Unit Hal Ehwal Islam (UHEIS) IPPT, USM. Projek ini dijalankan dengan membeli barangan keperluan makanan ketika bulan Ramadan dan dihantar kepada penerima-penerima yang memerlukan. Contohnya seperti golongan asnaf di sekitar penempatan masyarakat tempatan.

               Kelab MLC yang kini diketuai oleh naib pengerusi iaitu Encik Mohd. Najwan bin Mohd. Nasir sentiasa mengalu-alukan sebarang kerjasama oleh pihak lain untuk menjalankan apa-apa aktiviti yang boleh menyumbang pertolongan kepada masyarakat umum selain tugas hakiki iaitu menjalankan kerja ujikaji makmal perubatan yang dilakukan sekarang. Malah, sebilangan ahli kelab ini juga turut menyumbangkan tenaga untuk menjalankan ujian Covid-19 bagi membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

             Moga komuniti masyarakat setempat dapat dibantu daripada pelbagai segi demi kehidupan bermasyarakat yang lebih harmoni. Ahli kelab MLC sentiasa positif untuk aktiviti-aktiviti yang menyusul selepas kejayaan Projek Pek Kasih MLC ini. Moga bermanfaat untuk rakyat Malaysia.

Disediakan oleh:

Nazlina Mohamad Isa

Juruteknologi Makmal Perubatan 

Scroll to Top