Expert Column

Kesakitan dialami pesakit kanser selepas merebak ke tulang

Sharlina Mohamad, Siti Nazmin Saifuddin
Published : 16 December 2021

Penulis


Sharlina Mohamad dan Siti Nazmin Saifuddin

Kluster Perubatan Integratif,  Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), USM

Kanser merupakan salah satu punca utama kematian di seluruh dunia. Dalam kalangan negara-negara Asia sahaja, kes kanser dianggarkan meningkat daripada 1.6 juta pada tahun 2008 kepada 10.7 juta pada tahun 2030, dengan kanser paru-paru mencatatkan kes tertinggi bagi lelaki, dan kanser payudara bagi wanita.

Metastasis kanser dalam tulang menyebabkan kesakitan yang sederhana hingga sangat teruk kepada pesakit. Sakit kronik pada tulang ini perlu ditanggung oleh pesakit secara berterusan. Walaupun tulang bukanlah organ vital dalam badan manusia, namun terdapat pelbagai kanser seperti payudara, prostat, tiroid, buah pinggang, dan paru-paru, yang cenderung untuk bermetastasis ke beberapa bahagian tulang.

Kebanyakan kesakitan tulang malignan disebabkan metastasis pada tulang adalah bermula dari kanser payudara dan prostat. Pada permulaannya, kesakitan tulang disebabkan kanser ini dirasai dalam sela masa tertentu, namun kesakitan ini akan berkembang dengan cepat dan berterusan, yang diburukkan lagi oleh episod kesakitan yang tidak tertanggung.

Sebaik sahaja kesakitan kronik ini dialami oleh pesakit, keadaan akan menjadi semakin buruk apabila allodynia mekanikal berlaku. Allodynia mekanikal adalah keadaan apabila aktiviti atau rangsangan yang biasanya tidak menyakitkan dirasakan sangat menyakitkan. Contohnya pergerakan ringkas seperti batuk, memusingkan badan di atas katil, atau pergerakan anggota badan yang perlahan, akan menyebabkan kesakitan yang teruk.

Intervensi semasa 

Terdapat pelbagai kaedah yang digunakan untuk merawat kesakitan disebabkan kanser tulang ini, seperti rawatan menggunakan “bisphosphonate”, kemoterapi, pembedahan, sekatan saraf, imunoterapi, dan penyingkiran gen. Rawatan menumpukan pada program tiga langkah, yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Mengikut tahap kesakitan, pesakit akan diberikan analgesik anti-radang bukan steroid (untuk sakit ringan) dan/atau terapi opioid (untuk sakit sederhana dan teruk). Namun kebanyakan sakit tulang yang dialami kebanyakan pesakit masih tidak dapat dihentikan sepenuhnya, dan terdapat banyak kesan ubatan yang perlu dihadapi selepas rawatan menggunakan ubatan di atas, seperti toleransi morfin, sembelit, depresi respiratori disebabkan ubat opioid, serta ulser perut dan ketoksikan buah pinggang yang disebabkan oleh analgesik anti-radang bukan steroid. Penggunaan ubat-ubatan ini dihadkan oleh kesan-kesan sampingan ini.

Kajian berterusan diperlukan bagi membantu pesakit-pesakit kanser yang telah mengalami metastasis ke tulang ini mengurangkan kesakitan yang mereka alami dan memberi keselesaan buat mereka menjalani kehidupan. 

Scroll to Top