IPPT, BERTAM, September 8 2021 -
Sel pluripoten adalah sejenis sel tunjang (stem cell) yang mempunyai keupayaan untuk menjadi lebih daripada 200 jenis sel di dalam badan manusia termasuk sel saraf, otot, jantung, paru-paru, mata, hati, buah pinggang, dan lain-lain.
Buat julung kalinya saintis Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) berjaya mengkultur sel tunjang pluripoten manusia keluaran syarikat ATCC dan Gibco di makmal perubatan regeneratif di sini.
Ini merupakan kejayaan yang pertama seumpamanya dalam penyelidikan sel tunjang atau stem cells di Malaysia.
Profesor Madya Dr. Tan Jun Jie, 37, dan ahli pasukan sel tunjang IPPT telah memulakan projek tersebut pada tahun lepas, namun menempuh pelbagai rintangan dan cabaran disebabkan pandemik COVID-19.
Menurut Jun Jie, pengkulturan sel tunjang adalah satu proses yang rumit dan memerlukan persekitaran yang optimum bagi sel dapat hidup, membiak dan menjadi matang dengan sempurna.
“Jalur sel tunjang pluripoten yang diimport berada dalam keadaan sejuk beku di sepanjang perjalanan bagi memastikan ia dapat terus hidup,” katanya.
Tambahnya lagi, sel pluripoten adalah sejenis sel tunjang yang mempunyai keupayaan untuk menjadi lebih daripada 200 jenis sel di dalam badan manusia. Ini termasuk sel saraf, otot, jantung, paru-paru, mata, hati, buah pinggang, dan lain-lain.
“Maka penyelidikan sel tunjang pluripoten tidak dapat dinafikan adalah berimpak tinggi dalam bidang penghasilan sel ke arah memperbaiki organ-organ yang rosak dalam badan manusia,” katanya.
Kejayaan mengkultur sel pluripoten adalah sesuatu yang amat membanggakan kerana ia memerlukan pengetahuan dan kemahiran yang tinggi, teknologi yang mampan, di samping melibatkan perbelanjaan yang besar.
Selain dari jalur sel pluripoten ini, pasukan yang diketuai oleh Jun Jie telah berjaya mendorong sel pluripoten dari dua lagi jalur sel yang berasas dari sel darah tali pusat sumber tempatan dengan kerjasama Syarikat Cryocord Sdn Bhd.
Hasil dari penyelidikan tersebut, jelas Jun Jie, sel pluripoten yang dikultur telah berjaya diaruh menjadi sel-sel otot jantung, dan ini adalah sebahagian daripada teknologi membaiki sel jantung yang rosak akibat serangan penyakit jantung (heart attack).
Jelasnya lagi, usaha yang terbaharu adalah projek pembezaan sel pluripoten (pluripotent cell differentiation) kepada sel kornea mata dan sel saraf dopamin.
IPPT mempunyai pasukan sel tunjang yang terlatih dari Amerika Syarikat dan United Kingdom seperti Profesor Madya Dr. Badrul Hisham Yahaya (sel paru-paru), dan Profesor Madya Dr. Bakiah Shaharuddin (sel mata).
Pasukan ini disokong oleh saintis penyelidik lain dari bidang biobahan, biologi molekul, imunologi dan genetik.
Setakat ini, ahli pasukan ini telah berjaya memperoleh geran penyelidikan antara bangsa, industri, MOSTI, KPT dan USM bagi kesinambungan projek.
Tidak dapat dinafikan, projek penyelidikan sel tunjang tidak akan berjaya tanpa didukung oleh pemain industri dan institusi penyelidikan yang ternama.
Pasukan sel tunjang IPPT telah bekerjasama dengan pelbagai syarikat bioteknologi yang terkenal dalam bidang ini baik di dalam negara mahu pun di luar negara.
Kolaborasi telah terjalin di antara penyeldik IPPT dengan Syarikat Cryocord (M) Sdn Bhd dan Syarikat NisCELL yang berasal dari Jepun, sejak 6 tahun yang lepas.
Syarikat bioteknologi antarabangsa ALPS Global Holding, juga antara pendukung penyelidikan IPPT dengan menyumbang beberapa alatan canggih termasuk mikroskop fluorescen yang berteknologi tinggi.
Terkini, satu perjanjian telah dimeterai dengan syarikat WICELL dari Wisconsin, Amerika Syarikat yang menyumbang jalur sel pluripoten dari embrio manusia melalui kolaborasi dengan Dr. Nurul Ain Nasim Mohd Yusof, pakar sel tunjang dari Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Kementerian Kesihatan Malaysia.
Semoga penyelidikan sel tunjang di USM semakin berkembang maju dan berjaya menghasilkan teknologi yang berimpak tinggi terutama dalam bidang perubatan regeneratif di negara ini.