Expert Column

Masalah Pembelajaran Spesifick (Disleksia, Diskalkulia, Disgrafia): Apa Yang Perlu Anda Tahu?

Nur Arzuar Abdul Rahim
Published : 10 February 2022

Kanak-kanak yang mempunyai masalah pembelajaran wajar mendapat intervensi awal

Dr Nur Arzuar Bin Abdul Rahim
Jabatan Perubatan Klinikal, Intitut Perubatan dan Pergigian Termaju, USM

Masalah Pembelajaran Spesifick (Disleksia, Diskalkulia, Disgrafia)

Ada orang diluar sana menyangkakan anak yang ada disleksia ini cacat dari segi fizikalnya. Sebenarnya itu adalah tidak betul. Isu yang sebenarnya, ramai diluar sana kurang kenal atau tidak faham desleksia itu apa. Akhirnya menyebabkan mereka lewat mendapatkan intervensi pada anak mereka. Jika kita letak anak-anak yang ada masalah pembelajaran ini contohnya disleksia, diskalkulia dengan bersama-sama anak yang normal, kita akan dapati mereka tidak ada beza dari segi rupa paras, dari segi percakapan, kelincahan dan sebagainya. Oleh itu apa isu yang sedang dihadapi oleh anak-anak ini? Mereka ni sebenarnya ada sedikit kelainan berbanding anak-anak yang normal

Disleksia

Kanak- kanak disleksia adalah pemikir visual yang multidimensi kerana mereka berfikir dalam bentuk gambaran atau imej. Mereka sukar membaca dan memahami teks. Mereka lebih lambat mengenal perkataan. Oleh itu mereka sukar memahami nombor, huruf dan simbol dan berkataan yang ditulis. Disleksia merupakan kesukaran atau ketidakupayaan menguasai kemahiran membaca oleh seseorang individu. Namun kita kena ingat, keadaan ini tidak melibatkan kecerdasan akal fikiran mereka. Anak ini bukan “bodoh”, kerana ia tak ada kena mengena dengan intellegence. Anak-anak disleksia lemah dalam membaca,menghafal, mengingat, menulis dan mengeja. Mereka sukar mengucapkan kata-kata umum (yang sudah dan sering didengar). Mereka sukar mengulang kata-kata. Sukar mengingat nama-nama kawan. Sukar untuk mengambil kosa-kata baru.

Disleksia Pada peringkat Pra-sekolah

Pada peringkat umur ini kita akan dapati mereka tidak mampu mengenal huruf, tidak mampu mengenal warna , kadang-kadang sentiasa tersalah pakai kasut terbalik serta lambat bercakap. Namun, lazimnya adalah sukar bagi doktor perubatan untuk diagnos anak berkenaan ada disleksia disebabkan perkembangan setiap kanak-kanak berbeza. Kebanyakkan anak-anak yang ada disleksia ini akan nampak lebih jelas ketika mereka melangkah ke alam persekolahan. Apabila mereka masuk ke alam persekolahan mereka tidak mampu memcapai seperti kawan-kawan yang lain. Dalam kelas mereka tidak mampu membaca , tidak mampu kenal huruf dengan betul. Mereka juga akan mengelak untuk membaca dengan kuat di dalam kelas apabila diminta oleh guru untuk berbuat demikian.

Disleksia Pada Peringkat umur 9 – 12 tahun. 

Mereka boleh menulis dan boleh membaca, tapi kadang-kadang mereka akan menambahkan ayat-ayat seperti saya menjangkakan akan pergi ke sana. Mereka akan mengurangkan atau menambah contohnya menjangka “kan”. Mereka tidak mampu membaca perkataan yang panjang contohnya “mempertanggungjawabkan”. Mereka tidak mampu membaca perkataan tersebut secara berterusan. Pada kebiasaannya perkataan yang panjang perlu dipecah-pecah kepada perkataan pendek supaya mereka boleh membacanya. Mereka juga menjadi keliru dengan ayat atau konsonan yang hampir sama rupa atau hampir sama bunyi. Mereka sering keliru dengan sesuatu perkataan pada huruf-huruf tertentu contohnya “b” di anggap ‘p’ dan ‘p’ di anggap ‘q’. Contoh abjad yang sama bunyi yang mereka sering keliru adalah:  b/d/p ; j/g t/d ; m/n dan s/z . Manakala contoh abjad yang sama bentuk yang sering mereka keliru adalah:  m/w ; y/g ;  j/y ; e/c.

Adakah Disleksia ini sebenarnya bermasalah ? 

Sebenarnya yang menjadi masalah adalah apabila kanak-kanak tersebut tidak mampu nak “catch-up” pelajaran seperti kanak-kanak lain. Selepas itu, mereka biasa di cop sebagai pelajar yang lembap, malas, bodoh, yang akhirnya menyebabkan mereka merasa malu untuk ke sekolah, cepat berputus dan ada yang sampai hendak berhenti sekolah. Kebanyakkan kanak-kanak yang disleksia ini boleh dikenalpasti oleh para guru dan biasanya mereka akan memberitahu kepada ibu bapa untuk mendapatkan rujukan kepada pakar perubatan untuk dilakukan pemeriksaan dan di sahkan mengalami desleksia. 

Kanak-kanak ini akan diberikan rawatan rehabilitasi dan juga pembelajaran yang khusus untuk desleksia. Ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang disahkan disleksia digalakkan untuk menyertai support group untuk pelajar-pelajar disleksia. Disleksia bukan bermaksud kanak-kanak itu tidak mampu buat apa-apa, sebab kadang-kadang mereka ini sebenarnya seorang yang pandai dan bijak, cumanya bukan dari sudut membaca dan menulis. Kadang-kadang mereka mempunyai “handskills” yang bagus, pandai bersukan dan sebagainya. 

Apakah akibat dari Intervensi Disleksia yang lewat?

Umur yang kritikal untuk ibu bapa mengenali anak mereka berkemungkinan ada disleksia adalah  antara umur 5 sehingga 6 tahun. Walau bagaimanapun jika di kesan pada umur 7 tahun, intervensi yang perlu dilakukan perlu lebih intensif memandangkan kanak-kanak tersebut sudahpun mula bersekolah secara formal. Namun jika kanak-kanak tersebut baru perasan ada disleksia pada umur 10 tahun, kita boleh katakan sebagai terlewat dan intervensi menjadi sangat mencabar dan perlu dilakukan secara agresif dan intensif. Oleh yang demikian, ibu bapa perlu sentiasa prihatin jika mereka mendapati anak mereka pada darjah 1 masih tidak pandai membaca untuk segera mendapatkan penilaian yang sewajarnya, jangan sampai masuk darjah 2, darjah 3 masih lagi tidak tahu membaca dan dibiarkan. Ibu bapa dan penjaga perlulah prihatin dan segera dapatkan pertolongan. Early intervention is critical. Apabila kita lambat melakukan intervensi, kita perlukan “effort” sebanyak 4 kali ganda berbanding jika dilakukan seawal mungkin di peringkat pra-sekolah kerana otak kanak-kanak akan terus berkembang dan isi pembelajaran pelajar juga akan bertambah seiring dengan peningkatan tingkat persekolahan mereka.

Adakah Disleksia buleh dipulihkan?
Disleksia merupakan anugerah. Kanak-kanak disleksia mempunyai keupayaan yang berbeza dan akan kekal sehingga ke akhir hayat. Namun, dia boleh mengatasi kelainannya dengan strategi dan intervensi yang betul. Malah ada ramai disleksia yang dikategorikan sebagai seorang yang “genius” contohnya Albert Einstain, Leonardo da vinci dan jutawan kosmetik malaysia Dato Alif Syukri juga adalah disleksia.

Disgrafia
Kanak-kanak yang ada masalah pembelajaran disgrafia akan mengalami kesukaran dalam penulisan ataupun kesukaran pada kemahiran motor halus mereka. Mereka tidak dapat memegang pensel dengan postur yang betul. Mereka akan menulis dengan tulisan yang berlainan saiz serta sukar membentuk huruf. Mereka mudah terganggu semasa menulis dan mengambil masa yang lama untuk menulis. Berikut merupakan ciri kanak-kanak yang berkemungkinan mengalami masalah pembelajaran disgrafia:
a) Tulisan tidak konsisten
b) Kekok memegang pensel
c) Menulis dengan perlahan
d) Kesukaran membentuk huruf atau nombor
e) Sukar menulis dan berfikir pada masa yang sama

Diskalkulia
Kanak-kanak yang ada masalah pembelajaran diskalkulia pula akan mengalami kesukaran dalam melakukan pengiraan atau kemahiran aritmetik. Mereka berasa sukar untuk menyebut nombor dalam turutan yang betul (mengambil masa sangat lama untuk mengira), sukar menyelesaikan masalah matematik sama ada dalam bentuk ayat ataupun bilangan nombor, kerap melakukan kesilapan dalam pengiraan. Berikut merupakan ciri kanak-kanak yang berkemungkinan mengalami masalah diskalkulia

Ciri-ciri diskalkulia
a) Keliru dengan nombor dan simbol matematik ( recognize numbers + simbols)
b) Fluidity + flexibility with numbers (Number sense)
c) Sukar menyelesaikan soalan matematik
d) Sukar mengenalpasti corak dan urutan nombor ( difficulty visualizing – mental number lines )
e) Estimating – Mental math
f) Patern ( 1,2,3,4....)
g) Keliru dengan arah ( spatial relations) sukar baca peta
h) Tidak dapat memberitahu masa menggunakan jam analog

Secara kesimpulannya kanak-kanak dan remaja yang bermasalah pembelajaran akan menjadi dewasa. Cabaran mereka menghadapi kehidupan akan bertambah dengan bertambahnya tanggungjawab yang perlu dilakukan. Mereka memerlukan penjagaan asas (makan, pakaian, tempat tinggal) kasih sayang. Peranan ibu bapa dan guru-guru amat penting dalam membantu mereka. Oleh itu adalah penting untuk mereka mendapat intervensi awal bagi membantu mereka mengatasi cabaran ini.
 
Penulis Artikel
Nama penulis: 
Dr Nur Arzuar Bin Abdul Rahim
 
Afiliasi:
Jabatan Perubatan Klinikal, IPPT
Bidang kepakaran: Pakar Pediatrik 

Scroll to Top