Penerangan dan pendedahan HIRARC secara teori oleh Dr. Maisarah Nasution Waras
BILIK SEMINAR ARC, August 2 2023 -

Unit Persekitaran,  Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan IPPT (Unit OSHE IPPT), Pejabat Pengarah IPPT dengan kerjasama Bahagian Penyelidikan dan Jaringan (BPJ) telah berjaya mengadakan Bengkel Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC) Siri 1 yang bertempat di Bilik Seminar ARC. Bengkel ini telah dihadiri oleh seramai 25 orang staf yang terdiri daripada staf Seksyen Makmal Penyelidikan Berpusat (CRL), Seksyen Penyelidikan Haiwan (SPH) dan Pejabat Pentadbiran Bahagian Penyelidikan dan Jaringan (BPJ).

Bengkel ini dimulakan dengan sesi pengenalan dan pendedahan peserta kepada HIRARC dan Prosedur Kerja Selamat (PKS) oleh Dr. Maisarah Nasution Waras, Ketua Unit OSHE IPPT. Seterusnya peserta bengkel telah diberikan tugasan melalui sesi perbincangan dalam kumpulan tentang tatacara penyediaan Borang HIRARC yang dikendalikan oleh Encik Norhiman Ahmad dan Encik Mohd Sharqawi Omar. Bengkel ini diakhiri dengan sesi pembentangan tugasan dalam kumpulan bagi menjelaskan kepahaman peserta terhadap HIRARC dan PKS tersebut.

Sesi berkumpulan HIRARC oleh En.Norhiman Ahmad

Selaras dengan saranan universiti melalui Timbalan Naib Canselor (Jaringan dan Industri), tujuan bengkel HIRARC ini diadakan adalah bertujuan untuk membimbing para staf di IPPT supaya dapat mengenalpasti hazad bagi setiap proses atau kerja di tempat kerja masing-masing dan seterusnya berupaya melaksanakan penaksiran risiko untuk hazad tersebut. Selain itu, bengkel ini juga dapat membantu dalam memberi panduan kepada para peserta untuk mencadangkan langkah-langkah kawalan yang bersesuaian bagi mengawal risiko yang telah dikenalpasti tersebut. Hasil daripada tugasan kumpulan dalam melengkapkan borang HIRARC ini boleh digunapakai sebagai penanda aras bagi mewujudkan Prosedur Kerja Selamat di IPPT terutamanya bagi kerja-kerja yang telah dikenalpasti sebagai berisiko tinggi.

Menurut Dr. Maisarah, eksesais HIRARC yang diadakan ini juga adalah merupakan antara langkah-langkah yang telah dan sedang diambil oleh Pihak Pengurusan IPPT dalam melaksanakan tanggungjawab majikan bagi memastikan tempat kerja selamat dan sihat seperti yang tertakluk di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) 1994. Tambahan pula, hasil daripada perlaksanan HIRARC akan membolehkan para pekerja untuk mengetahui bahaya dan risiko sebenar yang dihadapi oleh mereka semasa bekerja. 

Semoga bengkel pertama yang diadakan ini dapat menjadi pemangkin kepada para peserta untuk menjadi mentor kecil dan berupaya untuk berkongsi pengetahuan yang diperolehi di tempat kerja masing-masing.  Di samping itu,adalah diharapkan langkah ini juga akan dapat meningkatkan kesedaran terhadap tanggungjawab bersama antara majikan dan pekerja dalam memastikan tempat kerja selamat dan sihat.

Teks oleh:

Dr Maisarah Nasution Waras, Encik Norhiman Ahmad, Encik Mohd Sharqawi Omar

Kredit photo:

Encik Norhiman Ahmad /Puan Syazwani Ismail


SDG 3 - Ensure healthy lives and promote well-being for all at all ages
SDG 11 - Make cities and human settlements inclusive, safe, resilient and sustainable
SDG 17 - Strengthen the means of implementation and revitalize the Global Partnership for Sustainable Development
Scroll to Top