Unit Paliatif dan Pertubuhan Paliatif USM hari ini telah menerima lawatan kunjungan dari CEO Yayasan Haji Zainudin (YHZ), Encik Iqbal Abdul Rahim yang membuat kunjungan ke Pusat Perubatan USM Bertam (PPUSMB) untuk mendapatkan penerangan berkenaan Projek Pembinaan Bangunan Paliatif di Kepala Batas, Pulau Pinang.
Photo By NORIZAN ISHAK
KUNJUNGAN CEO YHZ
Delegasi lawatan disambut baik oleh Dr. Imran Abd Khalid selaku Pengerusi Projek Pembinaan Bangunan Paliatif; Dr. Fitreena Anis Amran selaku Timbalan Pengerusi Pertubuhan Paliatif USM; Profesor Madya Dr. Rafidah Zainon, Timbalan Pengarah Pembangunan Projek Khas; Dr. Siti Nooraini Mohamad Yusof, Penyelaras Unit Paliatif PPUSMB yang juga merangkap bendahari Pertubuhan Paliatif USM bersama-sama ahli jawatankuasa Unit Paliatif dan Pertubuhan Paliatif USM. Turut hadir bersama, En Khairi Sulaiman selaku arkitek daripada Syarikat Utama Cipta Arkitek yang telah dilantik oleh pertubuhan bagi projek ini.
Photo By NORIZAN ISHAK
KUNJUNGAN CEO YHZ
Projek Pembinaan Bangunan Paliatif ini bermatlamat untuk menempatkan pesakit paliatif terutamanya pesakit kanser peringkat keempat yang menetap di wilayah utara semenanjung yang memerlukan rawatan perubatan sebelum dibenarkan pulang ke rumah. Melalui Projek Pembinaan Bangunan Paliatif ini, secara tidak langsung dapat mengurangkan kos rawatan di hospital bagi pesakit paliatif kerana bangunan paliatif yang bakal dibina ini berkonsepkan “charity” dan tidak menjana keuntungan (non-profit). Keadaan ini, sekaligus mampu meringankan beban para pesakit paliatif selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 3) untuk menggalakkan kesihatan dan kesejahteraan pesakit & penjaga serta Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 17) untuk perkongsian global melalui jaringan kerjasama badan bukan kerajaan, pasukan paliatif dan sukarelawan dalam meringankan beban psikososial pesakit dan penjaga.
Photo By NORIZAN ISHAK
KUNJUNGAN CEO YHZ
Kunjungan ini bertujuan untuk memberi penerangan berkenaan perkhidmatan penjagaan paliatif dan perkembangan perkhidmatan ini di PPUSMB serta Pulau Pinang. Bukan itu sahaja, melalui kunjungan CEO YHZ ke PPUSMB ini juga adalah untuk membincangkan tentang usaha Pertubuhan Paliatif USM dan Unit Paliatif PPUSMB untuk mengumpulkan dana bagi pembinaan bangunan paliatif di Kepala Batas serta mengetahui perkembangan terkini projek tersebut.
Antara hasil perbincangan yang telah dijalankan bersama-sama dengan CEO YHZ ini, yayasan telah berjanji dan bersedia dengan pledge untuk menyalurkan dana sebanyak RM 1.5 juta untuk Projek Pembinaan Bangunan Paliatif ini. Surat rasmi dan akaun kewangan tersebut akan diberikan dalam masa terdekat. Pihak yayasan juga meminta Pertubuhan Paliatif USM untuk menyiapkan tax exemption status dan juga Memorandum of Understanding (MOU) Pertubuhan Paliatif USM bersama Universiti Sains Malaysia untuk pelan pelaksanaan jangka panjang bangunan paliatif berkenaan. Dalam usaha untuk pengumpulan dana bagi projek ini, pihak yayasan juga mencadangkan agar Unit Paliatif dan Pertubuhan Paliatif USM membuat permohonan dana tambahan daripada beberapa syarikat terkemuka seperti CIMB, Maybank, Sunway dan syarikat-syarikat besar yang lain.
Semua delegasi yang hadir kemudiannya dibawa melawat ke lokasi tapak Projek Pembinaan Bangunan Paliatif di belakang bangunan PPUSMB.
Hadir sama adalah Dr. Mohamad Zulfadhli Abdullah, Pegawai Perubatan merangkap ahli jawatankuasa Pertubuhan Paliatif USM; Pn Norjalilah Umar, Ketua Jururawat Unit Paliatif merangkap setiausaha Pertubuhan Paliatif USM dan ahli jawatankuasa Unit Paliatif & Pertubuhan Paliatif USM yang terdiri daripada jururawat unit paliatif PPUSMB & MAKNA.
Teks disediakan oleh : Nur Aqilah Tajul Ashikin
Teks disunting oleh : Dr. Siti Nooraini Mohamad Yusof
Foto: Norizan Ishak
Pusat Media & Perhubungan Awam
Institut Perubatan dan Pergigian Termaju
Universiti Sains Malaysia
23 Oktober 2024