KEPALA BATAS, PULAU PINANG, 17 Oktober 2024 – Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) dengan kerjasama Bahagian Akademik dan Antarabangsa IPPT, Jawatankuasa Pembangunan Pelajar (JKPep) IPPT dan Unit Aplikasi, Pusat Pengetahuan, Komunikasi dan Teknologi (PPKT) IPPT hari ini telah menganjurkan Majlis Pelancaran dan Bengkel Latihan Sistem Pemantauan Pelajar Siswazah (GrAMS) kepada pelajar IPPT.
Photo By NORIZAN ISHAK
GrAMS PELAJAR IPPT
Majlis yang berlangsung di Bilik Seminar, Kompleks Penyelidikan Haiwan IPPT ini dihadiri lebih daripada 40 orang pelajar dan pensyarah.
Matlamat utama majlis ini adalah untuk melancarkan sistem penilaian dan pemantauan pelajar, iaitu GrAMS yang bertujuan untuk memantau kemajuan pelajar penyelidikan di IPPT. Sistem ini mempunyai kemampuan untuk mengenal pasti masalah atau kesulitan lazim yang dihadapi oleh pelajar dan pensyarah sepanjang tempoh pengajian sekaligus dapat memberikan kemudahan dan sokongan serta bantuan yang diperlukan mereka.
Photo By NORIZAN ISHAK
GrAMS PELAJAR IPPT
Majlis GrAMS ini dimulakan dengan Ucapan Pembukaan, Pengenalan JKPeP dan seterusnya Gimik Pelancaran GrAMS yang disempurnakan oleh Dr. Ida Shazrina Ismail selaku Timbalan Pengarah (Akademik & Antarabangsa) IPPT yang mewakili Pengarah IPPT.
Majlis diteruskan lagi dengan sesi ceramah yang disampaikan oleh Puan Anis Natasha zulkifli selaku Kaunselor, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA), USM yang bertajuk “From Overload to Overcome: Reboot Your Mind”.
Para pelajar IPPT turut diberikan pendedahan berkaitan teknik penggunaan GrAMS yang dikendalikan oleh Dr. Mohammad Syamsul Reza Harun selaku Pengerusi Program dan Pensyarah Jabatan Sains Bioperubatan IPPT.
Majlis ini rata-ratanya mendapat sambutan yang menggalakkan dan maklum balas yang sangat baik dalam kalangan pelajar di IPPT. Melalui majlis ini, para pelajar IPPT telah berjaya memperolehi ilmu dan pendedahan baharu berkaitan sistem penggunaan GrAMS serta teknik pengurusan tekanan.
Photo By NORIZAN ISHAK
GrAMS PELAJAR IPPT
Photo By NORIZAN ISHAK
GrAMS PELAJAR IPPT
Teks: Nur Aqilah Tajul Ashikin & Sharifah Fawziah Al-Gadri Syed Mahdzor
Disunting oleh: Dr. Asmida Isa & Dr Mohammad Syamsul Reza Harun
Foto: Norizan Ishak
Pusat Media & Perhubungan Awam
Institut Perubatan dan Pergigian Termaju
Universiti Sains Malaysia
17 Oktober 2024