Community

Kepentingan Ujian COVID-19; berupayakah Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), USM berperanan?

Published : 14 September 2020


IPPT, September 14 2020 -

Ramai yang tertanya-tanya tentang virus yang kini telah menjangkiti lebih dari 27 juta orang. Adakah virus ini bahaya kepada kita? Bagaimanakah untuk kita mengesahkan jika kita dijangkiti virus ini? Dari manakah datangnya virus ini? Bermula di ‘ground zero’ (pasar haiwan eksotik) Wuhan, Hubei negara China pada penghujung 2019, virus ini seterusnya menular sebagai epidemik di beberapa buah negara sehingga diisytiharkan sebagai pandemik global oleh WHO. Penularan jangkitan virus SARS-CoV-2 kali ini amat berbeza daripada apa yang dunia pernah alami ketika epidemik SARS dan MERS pada tahun 2002 dan 2012. Yang nyata ialah penularan virus daripada keluarga yang sama kali ini amat pantas dan sangat memberikan kesan dari segi ekonomi, psikologi dan sosial rakyat seluruh dunia.


Malaysia tidak terkecuali daripada kesan pandemik ini. Tindakan pantas dan tuntas oleh pihak berwajib dalam negara ini dengan panduan pakar-pakar tempatan dalam bidang ini  telah berjaya mengekang penularan jangkitan virus korona ini daripada menjadi lebih parah. Bagi penulis sendiri, pengalaman perintah kawalan pergerakan yang diperkenalkan adalah sesuatu yang baharu yang belum pernah dilalui sebelum ini. Ternyata pengalaman ini akan menjadi sesuatu yang akan diingati seumur hidup.Salah satu aspek penting dalam membolehkan perancangan langkah-langkah  bagi mengawal penularan, mengurangkan beban di fasiliti kesihatan dan mengekang fataliti ialah pengesanan jangkitan atau diagnosis. Bagi kes SARS-Cov-2 ini, diagnosis piawai yang diterimapakai di peringkat antarabangsa ialah ujian berasaskan penggandaan bahan genetik virus korona yang bersasar atau lebih dikenali sebagai kaedah RT-PCR. 


IPPT sebagai sebuah institusi perkhidmatan klinikal dan penyelidikan sememangnya mempunyai keupayaan untuk menawarkan perkhidmatan ini memandangkan kemudahan alatan dan fasiliti yang sudah tersedia. Menyedari hal ini, satu pasukan yang terdiri daripada penyelidik dalam bidang berkaitan, pakar perubatan, teknologis makmal (dari IPPT dan beberapa fakulti lain di USM) dan pihak kejuruteraan telah merangka pelan bagi pembentukan fasiliti yang bersesuaian dan dilengkapi dengan aspek-aspek teknikal  bagi membolehkan penawaran perkhidmatan ujian COVID-19 di IPPT. Usaha keras ini bermula seawal hujung bulan Mac 2020 apabila perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan di Malaysia.


Setakat artikel ini ditulis (7 September 2020), pihak Makmal Molekular COVID-19 di IPPT telah menjalankan lebih 500 ujian ke atas sampel-sampel pesakit. Kebanyakan  sampel-sampel ini adalah daripada hospital-hospital yang berdekatan dalam negeri Pulau Pinang dan juga daripada IPPT sendiri. Selain daripada ujian piawai berasaskan teknik RT-PCR, pihak IPPT juga  menawarkan ujian kit pantas yang mengesan antigen dan antibodi bagi SARS-CoV-2 ini. Sesungguhnya usaha keras pasukan Makmal COVID-19 IPPT ini merupakan satu sumbangan  institusi ini kepada komuniti dan universiti bagi mencapai objektif mengekang dan mengawal pandemik COVID-19. InsyaAllah usaha ini akan berterusan sehingga kita  bebas daripada jangkitan SARS-Cov-2 ini sepenuhnya.






#kita jaga kita#






Scroll to Top