KEPALA BATAS , June 30 2021 -
Tanggal 18 Jun 2021 merupakan tarikh yang amat bersejarah buat warga Universiti Sains Malaysia (USM) dan penduduk Kepala Batas kerana pada tarikh ini, dua buah pusat pemberian vaksin (PPV) di bawah kelolaan USM mula beroperasi. PPV@USM dan PPV sains@bertam merupakan PPV IPT yang ditubuhkan di bawah inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan persetujuan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan juga Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) pada 1 Jun 2021. Selaras dengan hasrat KPT bagi membantu Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dalam menyediakan akses yang lebih banyak kepada rakyat untuk divaksin, maka Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) telah menyahut seruan itu dengan pengoperasian PPV sains@bertam.
Kunjungan Naib Canselor USM ke PPV sains@bertam Gambar (dari kanan): Prof. Dr. Syed Azhar, Prof. Dr. Narazah, Prof. Dr. Faisal Rafiq dan Puan Lizawati.
PPV sains@bertam terletak di Jalan Bertam 2, berhampiran dengan Dewan Millenium Kepala Batas, Pusat Jagaan Damai Permai dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bertam. PPV sains@bertam merupakan PPV awam kategori 2 dan dijangka dapat memberikan vaksin kepada 400 orang sehari berdasarkan kapasiti dewan dan petugas yang ada. Pengoperasian PPV sains@bertam di ketuai oleh Prof. Dr. Syed Azhar Syed Sulaiman selaku Penasihat merangkap Pengarah IPPT, Dr. Noor Khairiah A. Karim sebagai Ketua Operasi, Dr Suria Emilia Suhana Othman Tan sebagai Penyelaras PPV dengan dibantu oleh barisan sekretariat dan petugas-petugas serta sukarelawan dalam kalangan satf dan pelajar IPPT dan USM. Bilangan petugas dan sukarelawan di PPV sains@bertam adalah seramai 100 orang sehari. PPV sains@bertam beroperasi 6 hari seminggu iaitu pada hari Isnin sehingga Sabtu (kecuali cuti umum), bermula pada pukul 9 pagi hingga 5 petang kecuali hari Sabtu bermula pada pukul 9 pagi sehingga 1 tengahari. Penerima vaksin di PPV sains@bertam akan mendapat notifikasi tarikh dan masa temujanji melalui aplikasi MySejahtera selewat-lewatnya dua hari sebelum tarikh temujanji mereka di samping akan dihubungi oleh petugas PPV sains@bertam sebelum tarikh temujanji.
Gambar penerima vaksin di kaunter pendaftaran dan kebenaran/persetujuan.
Bagi memastikan keperluan di PPV sains@bertam mencukupi, beberapa badan kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) serta tokoh-tokoh politik tempatan telah menyumbangkan beberapa peralatan perubatan serta keperluan lain PPV. Antaranya ialah organisasi Tzu Chi, CITF daerah, Dato’ Sri Reezal Merican (Menteri Belia dan Sukan merangkap Ahli Parlimen Kepala Batas), YB Dato’ IR Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang) dan YB Mohd Yusni Bin Mat Piah (Adun Penaga Pulau Pinang). Pihak Pengurusan PPV sains@bertam mengucapkan jutaan terima kasih di atas semua sumbangan yang di terima sehingga ke hari ini.
Sumbangan makanan dan minuman buat petugas dan penerima vaksin PPV sains@bertam daripada Pejabat TKM 1 Pulau Pinang.
Kunjungan YB. Mohd Yusni Bin Mat Piah ke PPV sains@bertam
Sehingga ke hari ini, PPV sains@bertam telah berjaya memberikan sebanyak 1,786 dos vaksin COVID-19 kepada orang awam
di Kepala Batas dan kawasan sekitarnya. Dijangkakan menjelang penghujung bulan Julai 2021, sebanyak hampir 10,000 dos
vaksin dapat diberikan kepada orang awam melalui PPV sains@bertam. Diharapkan agar pengoperasian PPV sains@bertam akan
dapat membantu kerajaan dalam mencapai matlamat mempercepatkan penduduk Malaysia memperoleh imuniti daripada COVID-19 ini.
Disediakan oleh:
Dr. Suria Emilia Suhana Othman Tan
Penyelaras PPV sains@bertam