Community

Klinik Senaman bantu kecergasan penghidap penyakit tidak berjangkit

Published : 29 July 2020


BERTAM, July 28 2020 -

Klinik Senaman, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, Universiti Sains Malaysia yang diwujudkan bertujuan membantu meningkatkan kecergasan pesakit dan sebagai usaha untuk mencegah penyakit tidak berjangkit seperti penyakit kencing manis dan darah tinggi di kalangan staf dan pelajar.

Menurut Ketua Perkhidmatan Senaman Klinikal, Dr. Hazwani Ahmad Yusof@Hanafi, Perkhidmatan Klinik Senaman yang pada mulanya beroperasi pada tahun 2017 ini telah diaktifkan semula pada 30 Jun 2020 selepas berpindah ke bangunan baru yang menempatkan gimnasium dan makmal Kluster Sains Gaya Hidup dan ruang kerja Seksyen Senaman dan Rehabilitasi.

“Sehingga Ogos 2020, perkhidmatan Klinik Senaman telah menerima seramai 25 pesakit dari kalangan staf IPPT yang kebanyakannya telah dikenalpasti menghidapi penyakit tidak berjangkit. Bilangan ini dijangka akan terus bertambah dari masa ke masa,” katanya ketika menghadiri Majlis Pelancaran Klinik Senaman yang diadakan di Makmal Kecergasan, Kluster Sains Gaya Hidup di sini hari ini.

“Adalah menjadi hasrat kami di Unit Perkhidmatan Senaman Klinikal untuk memperluaskan perkhidmatan ini dengan membuka Klinik Senaman ini kepada komuniti luar dalam masa terdekat”, tambahnya.

Antara objektif penubuhan Klinik Senaman adalah untuk melahirkan masyarakat yang mempunyai tahap kesihatan dan kecergasan yang baik, mewujudkan kesedaran tentang kepentingan aktiviti fizikal terhadap tubuh badan serta kesihatan diri, memberi peluang kepada masyarakat untuk mengikuti aktiviti senaman yang dianjurkan, membina, memupuk dan melahirkan masyarakat yang kuat fizikal dan jati diri serta dapat mewujudkan sikap daya saing di kalangan staf.

Majlis Pelancaran Klinik Senaman ini telah disempurnakan oleh Prof. Dr Syed Azhar Syed Sulaiman, Pengarah IPPT. Dalam ucapannya, beliau meminta agar setiap warga IPPT mengamalkan cara hidup yang sihat dengan melakukan aktiviti fizikal merangkumi semua pergerakan badan yang menggunakan tenaga dalam kehidupan seharian seperti bekerja, berekreasi, bersenam dan bersukan.

“Penyakit seperti sakit jantung, diabetes, tekanan darah tinggi dan obesiti mampu menyerang sesiapa saja dan pada bila-bila masa tanpa mengira jantina, usia atau latar belakang. Jadi, langkah terbaik untuk kita mengelakkan diri daripada menjadi antara yang berisiko mendapat penyakit-penyakit ini adalah mengamalkan gaya hidup sihat dengan menjaga pemakanan, bersenam dan tidak merokok,” katanya.

Majlis ringkas ini dihadiri oleh 50 orang warga IPPT termasuk pelajar dan pesakit Klinik Senaman. Majlis ini diakhiri dengan aktiviti “USMFit Walk” iaitu aktiviti berjalan sejauh 2 kilometer di dalam perkarangan kampus IPPT.

Majlis ini turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah Penyelidikan dan Jaringan, Dr Hasni Arsad dan Ketua-ketua Kluster.

Klinik Senaman beroperasi pada hari Selasa dan Khamis setiap minggu. Bagi sesiapa yang ingin mendapatkan perkhidmatan yang terdapat di Klinik Senaman perlu melalui proses saringan terlebih dahulu di Klinik Sejahtera. Bagi sebarang pertanyaan boleh hubungi talian hotline Seksyen Senaman dan Rehabilitasi IPPT di 04-562 2362.

Scroll to Top