Expert Column

Kanser kepala dan leher: kesedaran ke arah kualiti kehidupan yang lebih baik

Muhamad Yusri Musa
Published : 10 April 2023

Kanser lidah dalam proses rawatan brakiterapi
April adalah Bulan Kesedaran Kanser Kepala dan Leher, inilah masanya untuk meningkatkan kesedaran tentang tanda-tanda, gejala, dan faktor risiko kanser ini. Kanser kepala dan leher merujuk kepada sekumpulan kanser dalam kawasan kepala dan leher seperti mulut, tekak, peti suara, hidung, sinus, telinga, leher dan kelenjar air liur. Menurut Persatuan Kanser Amerika (American Cancer Society, 2022), kira-kira 65,000 orang di Amerika Syarikat akan didiagnosis dengan kanser kepala dan leher pada tahun 2023, dan kira-kira 14,000 akan mati daripadanya. Manakala di Malaysia, kumpulan kanser ini merupakan antara 5 kanser utama yang paling kerap berlaku dalam kalangan penduduk negara ini dan kanser nasofarinks mencatat bilangan tertinggi iaitu 4.6 peratus daripada keseluruhan kanser (Sung, H., et al.).


Beberapa faktor risiko yang biasa untuk kanser kepala dan leher adalah penggunaan tembakau (merokok), penggunaan alkohol, jangkitan human papillomavirus (HPV) dan Ebstein Barr virus (EBV), pendedahan kepada bahan kimia atau radiasi tertentu, dan kebersihan mulut yang buruk. Antara gejala (symptom) yang kerap dikaitkan dengan kanser ini ialah benjolan atau bengkak di leher atau muka, kesukaran menelan atau bernafas, serak atau perubahan suara, , sakit telinga atau kehilangan pendengaran, ulser mulut yang berpanjangan dan pendarahan atau sakit di dalam mulut.

Jika anda mempunyai mana-mana gejala atau faktor risiko, anda perlu berjumpa dengan doktor anda secepat mungkin. Pengesanan dan rawatan awal dapat meningkatkan peluang anda untuk dirawat untuk mencapai kesembuhan dengan kualiti hidup yang baik. Anda juga boleh mengambil langkah-langkah untuk mencegah kanser kepala dan leher dengan berhenti merokok atau mengunyah tembakau, berhenti pengambilan alkohol, mendapatkan vaksin terhadap HPV, melindungi diri anda daripada pendedahan cahaya matahari yang berlebihan dan mengekalkan kesihatan mulut yang baik. Ingat, April adalah Bulan Kesedaran Kanser Kepala dan Leher. Mari sebarkan berita, maklumat dan membantu meningkatkan tahap kesembuhan daripada kanser ini.

Di Pusat Perubatan USM Bertam (USM Bertam Medical Centre) pelbagai bentuk rawatan dan kepakaran disediakan untuk merawat pesakit-pesakit kanser kepala dan leher yang dirujuk ke sini. Diantara kemudahan yang disediakan ialah radioterapi, brakiterapi, kemoterapi, pembedahan, pembersihan dental (dental clearance), simulasi CT, pengimejan diagnostik, SPECT CT dan rawatan radio-iodin serta kemudahan sokongan berkaitan. Rawatan brakiterapi yang disediakan di PPUSMB merupakan antara yang terbaik di dunia melalui pengiktirafan yang diberikan oleh BrachyAcademy iaitu sebuah institusi antarabangsa yang berpangkalan di Amsterdam, Belanda (Universiti Sains Malaysia, 2022). PPUSMB merupakan satu-satunya pusat perubatan di Malaysia yang menawarkan teknik ini untuk rawatan kanser kepala dan leher dan mula ditawarkan sejak tahun 2018.

Sebagai kesimpulan, peningkatan kesedaran terhadap kanser kepala dan leher akan meningkatkan tahap pengesanan awal pesakit dan ini akan memberi peluang  untuk sembuh beserta kualiti hidup yang lebih baik.  

 

Dr. Yusri menyampaikan ceramah Kesedaran Kanser Kepala dan Leher di Hospital Kulim pada 6 April 2023

REFERENCES

1.     American Cancer Society (2022). Head and Neck Cancers. Retrieved April 10, 2023, from www.cancer.org/cancer/head-neck-cancer.html.
2.     Sung H, Ferlay J, Siegel RL, Laversanne M, Soerjomataram I, Jemal A, Bray F. (2021). Global Cancer Statistics 2020: GLOBOCAN Estimates of Incidence and Mortality Worldwide for 36 Cancers in 185 Countries. CA Cancer J Clin. May;71(3):209-249.
3.     Universiti Sains Malaysia (2022). BrachyAcademy. Retrieved April 10, 2023, from https://www.brachyacademy.com/centres/universiti-sains-malaysia-usm/

Scroll to Top