Collaboration

(IPPT) Sekali Lagi Menerima Kehadiran Pelajar Latihan Industri Dari Medan, Indonesia

Published : 03 February 2023

Gambar 1
PPUSMB, February 3 2023 -
Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) sekali lagi telah menerima kehadiran pelajar latihan industri dari Medan, Indonesia bermula 30 Januari sehingga 3 Februari 2023.

Kali ini seramai 27 orang pelajar tahun akhir dalam jurusan Sarjana Muda Pentadbiran Hospital (Bachelor in Hospital Administration), dan 6 orang pensyarah pengiring daripada Institut Kesehatan Helvetia (IKH), Medan, Indonesia telah mengikuti latihan tersebut bertempat di Pusat Perubatan USM Bertam (PPUSMB). 

Delegasi IKH diketuai oleh wakil dekan, iaitu Ibu Khairatunnisa, SKM, M. Kes dan ketua program studi, Ibu Sri Agustina Meliala, SKM, MKM. 
Pelajar tersebut telah didedahkan mengenai pengurusan sistem yang berkaitan 3 lapangan utama dalam pentadbiran hospital iaitu bidang pengurusan klinikal dan sistem kualiti, unit kewangan, termasuk perkhidmatan tuntutan insuran/ Executive Health Services (EHS) dan perkhidmatan kerja sosial, serta unit rekod perubatan berpusat di PPUSMB. 

Pada penghujung latihan tersebut, satu seminar internasional telah diadakan bersama oleh Bahagian Penyelidikan dan Jaringan (BPJ) IPPT, PPUSMB dan IKH pada 3 Februari 2023 bertempat di Dewan Auditorium SAINS@Bertam, disamping itu tayangan secara langsung atas talian melalui aplikasi Zoom.

Seminar yang bertemakan “Targetting Customers’ Satisfaction through Quality Hospital Management System” telah dihadiri oleh hampir 130 orang peserta secara fizikal dan atas talian, dan telah dirasmikan oleh Rektor IKH iaitu Dr. Ismail Effendy, M.Si yang hadir ke IPPT untuk lawatan rasmi. 

Turut hadir adalah Profesor Madya Dr. Hasni Arsad, Timbalan Pengarah Penyelidikan dan Jaringan, Dr. Noor Khairiah A. Karim, Timbalan Pengarah Klinikal, Kelestarian dan Piawaian, dan Dr. Ida Shazrina Ismail, Timbalan Pengarah Akademik dan Antarabangsa, serta Dr. Eshaifol Azam Omar, Ketua Jabatan Toksikologi selaku pengerusi bersama pihak penganjur seminar. 

Latihan industri tersebut diakhiri dengan majlis penutup dan penyampaian sijil kepada pelajar oleh Timbalan Pengarah Akademik dan Antarabangsa, Dr. Ida Shazrina Ismail.

Scroll to Top