Expert Column

Anak Lewat Bercakap: Bila Perlu Risau?

Nur Arzuar Abdul Rahim
Published : 27 June 2022

anak lewat bercakap

Nur Arzuar Bin Abdul Rahim
Jabatan Perubatan Klinikal, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT)
 

Semua bayi yang dilahirkan di Malaysia akan memiliki buku rekod kesihatan bayi. Buku tersebut terdapat pelbagai maklumat yang penting berkenaan bayi seperti rekod kelahiran, pertumbuhan bayi dan kanak-kanak yang merangkumi ukur lilit kepala, berat badan dan juga ketinggian. Perkara yang paling penting ialah senarai semak perkembangan kanak-kanak daripada seawal usia satu bulan sehingga ke 18 bulan. Dalam setiap senarai semak kanak-kanak ini, ada tersenarai semua domain ataupun area perkembangan kanak-kanak contohnya motor kasar, motor halus, sosial, pendengaran dan penglihatan. Kanak-kanak yang berusia 1 tahun sepatutnya mempunyai sekurang-kurangnya 1 patah perkataan yang mempunyai makna sebagai contoh “nak” atau “tak nak”. Namun sekiranya umur kanak-kanak telah mencapai usia 2 tahun, tetapi masih belum mencapai apa-apa maksud perkataan, kemungkinan anak tersebuat ada masalah pertuturan. Terdapat pelbagai faktor kanak-kanak mengalami lewat perkembangan pertuturan yang akan kita bincangkan dibawah. Ibu bapa boleh sentiasa merujuk carta perkembangan didalam buku rekod kesihatan bayi bagi memudahkan pemantauan perkembangan dan tumbesaran anak mereka.

Cabaran kanak-kanak Lambat Bercakap

Sebenarnya lambat bercakap dalam kalangan kanak-kanak ketika ini biasa berlaku. Secara relatifnya kes ini lebih banyak berbanding 10 tahun dahulu. Kenapa berlaku? Penyebab sebenar, kita tidak dapat pastikan, namun ada yang mengatakan, ia ada kaitan dengan banyaknya masa yang diluangkan oleh kanak-kanak bersama television atau gadjet dan yang paling penting ialah kurangnya stimulasi pertuturan dalam kalangan anak-anak. Kanak-kanak hari ini lebih banyak masa dirumah, tambahan pula kita baru sahaja melepasi zaman pandemik COVID yang telah mengganggu sistem persekolahan dan sebagainya. Keadaan ini akan merisikokan kanak-kanak untuk belajar bertutur dengan baik.

Kanak-kanak yang lambat bertutur pada umur 2 tahun atau 3 tahun tidak dapat melengkapkan ayat. Sesetengah mereka tidak dapat mengeluarkan patah perkataan. Mereka hanya mengeluarkan bunyi babels seperti “babababa” “ahhhh”. Kebiasaanya di tempat awam mereka akan menjerit untuk mendapatkan perhatian. Mereka akan jadi lebih sensitif atau mengalami masalah perhatian. Mereka akan lebih degil berbanding dengan kanak-kanak sebaya kerana mereka mempunyai kesukaran untuk memberitahu kehendak mereka atau apa yang diperlukan. Mereka akan kerap menangis atau merengek atau menjerit untuk mendapatkan apa yang mereka mahu. Cara terbaik untuk membantu mereka adalah dengan bersabar menghadapi karenah mereka.

Untuk mengenalpasti masalah pertuturan dalam kalangan kanak-kanak ini agak mencabar. Kenapa? Pertama, setiap kanak-kanak mempunyai “milestone” mereka sendiri. Ini bukan bermaksud, semua kanak-kanak mesti sama. Ada kanak-kanak yang boleh bercakap pada umur 1 tahun, kadang-kadang mungkin lambat sikit. Oleh itu ibu bapa perlu lebih berhati-hati untuk menilai perkembangan anak. Mereka perlu peka akan perkembangan anak-anak, supaya dapat dipantau dengan baik dan bawa berjumpa doktor sekiranya perlu.

Walaupun kita tidak boleh banding-bandingkan anak kita dengan anak orang lain, namun ia boleh menjadi “benchmark” atau “red flag”, contohnya apabila berkumpul bersama-sama anak orang lain yang sebaya yang sudah boleh bercakap, namun anak kita belum lagi boleh bertutur. Keadaan ini wajar menjadi tanda tanya, ada “something” yang kita kena pastikan kenapa, dan perlu dapatkan nasihat doktor. Dalam keadaan lain, guru di sekolah atau pra-tadika pun biasa melaporkan pada ibu bapa sekiranya mereka dapati murid ada masalah dengan pertuturan. Ini juga boleh memberikan kita signal yang anak kita berkemungkinan mengalami masalah pertuturan.

Tips Untuk Mengenalpasti Anak Kita Ada Masalah Pertuturan

Tips yang paling mudah adalah, jika anak kita sudahpun berumur 1 tahun 8 bulan atau 18 bulan namun, masih belum mempunyai perkataan yang pertama.Untuk pengetahuan semua, sebenarnya percakapan atau perbualan ini, kita boleh bahagikan kepada dua (2) iaitu verbal dan non-verbal. Verbal adalah saya bercakap- menggunakan patah perkataan manakala, non-verbal pula adalah “body language” atau bahasa badan. Ibu bapa tidak perlu risau, jika anak lewat bertutur namun mereka boleh tunjuk-tunjuk apa yang mereka mahukan atau ada bahasa badan lain seperti mimik muka dan sebagainya.

Ada kanak-kanak contohnya telah berusia 2 tahun dan lewat bertutur, bila kita cakap dengan dia, dia buat tidak kisah, buat hal sendiri dan tidak berminat dengan orang, dia tiada “eye contact”, sukar faham arahan mudah, tidak menunjukkan atau beri isyarat tentang perkara yang mereka mahu, atau hanya bercakap menggunakan huruf vocal seperti “ahh” “Ohh”. Jika ada tanda-tanda di atas, ibu bapa kena risau dan perlu dapatkan nasihat doktor. Oleh itu, ibu bapa boleh perhatikan bahasa badan atau “non-verbal” language anak, jika mereka lewat bertutur dan segera berjumpa doktor.

Memang ada garis panduan atau carta perkembangan bahasa dan pertuturan bagi kanak-kanak yang boleh dirujuk oleh ibu bapa. Sebagai contoh, bayi akan bertindak balas dengan suara berdekatan atau bunyi yang kedengaran. Keadaan ini patut ada pada usia 4 minggu, ibu bapa perlu risau jika bayi telah berusia 8-minggu, namun masih tiada respon. Bayi akan “babble” dengan merdu kepada diri sendiri atau orang lain. Respon ini patut ada diusia 8-bulan. Jika masih tiada diusia 10-bulan, ibu bapa perlu risau. Kanak-kanak akan bercakap secara sepatah-sepatah pada usia 13 sehingga 15 bulan. Pada usia 22-bulan pula, kanak-kanak sepatutnya boleh menggabungkan 2-3 perkataan dalam ayat dan pada usia 3 tahun ke 3.5 tahun, mereka patut boleh bertutur dengan bahasa yang bermakna.

Bercakap perkataan secara sepatah-sepatah pada usia 13 – 15 bulan dan pada usia 22 bulan kanak-kanak sepatutnya boleh menggabungkan 2-3 perkataan dalam ayat dan pada usia 3 – 3.5 tahun mereka patut bertutur dengan bahasa yang bermakna. “Phonation” atau proses bunyi percakapan kanak-kanak biasanya akan lebih lengkap apabila kanak-kanak berusia 4 tahun ke atas. Namun sebagai ibu bapa kita jangan terlebih risau dengan carta perkembangan ini, kerana ia hanyalah garis panduan sahaja. Setiap kanak-kanak tetap unik dengan perkembangan masing-masing. Carta ini adalah sebagai panduan untuk kita mendapatkan nasihat doktor jika anak kita tidak menunjukkan pencapaian seperti yang diharapkan.

Kanak-kanak yang dirujuk kepada saya bagi masalah pertuturan, pertama sekali saya kena pastikan, adakah kanak-kanak ini boleh mendengar atau tidak. Ramai juga ibu bapa yang beritahu saya, anak mereka boleh dengar , bila dipanggil nama, mereka akan pandang. Betul, mereka boleh mendengar, namun ada satu keadaan yang kita panggil “tone deafness”. Katakan orang panggil nama anak tersebut abang , tapi yang anak tersebut dengar adalah bambam, anak tersebut tetap akan pandang pada panggilan tersebut,tetapi apa yang dia dengar itu tidak tepat, dan apabila ibu bapa hendak anak tersebut ulang perkataan itu. Maka perkataan yang sebenar tidak akan keluar dengan betul. Keadaan ini juga boleh menyebabkan pertuturannya lewat. Walaupun kanak-kanak ini sudah pun melalui ujian saringan “hearing screening” masa lahir di hospital, tapi ia hanyalah ujian saringan dan tidak 100% tepat. Oleh itu ujian pendengaran tetap perlu dilakukan.

Banyak aktiviti yang ibu bapa boleh lakukan dirumah bagi membantu kanak-kanak yang ada masalah pertuturan yang agak lewat. Contohnya ketika anak itu sedang menunggu kita membancuh susu. Kita boleh berbual-bual dengan anak tersebut, “ini ibu bancuhkan susu, susu ini warnanya putih”. Kita galakkan anak kita bercakap. Anak tersebut akan mendengar percakapan kita, mereka melihat apa yang sedang kita lakukan.  Satu lagi contoh lain, apabila anak tersebut sedang bermain kereta pula, kita tegur mereka , ”Buat apa tu, sedang bermain kereta ya, warna apa tu? “. Apa yang telah kita lakukan adalah kita “saying things” kepada anak kita atau  “broadcasting” perkataan pertuturan kepada mereka. Mereka akan belajar. Inilah salah satu keadaan  bagaimana penggunaan gadjet di katakan telah menyebabkan masalah pertuturan yang lewat. Kanak-kanak belajar secara “imprinting”. Jika mereka nampak cartoon yang bercakap “funny things” atau menunjukkan aksi melompat-lompat, mereka dengan mudah akan tiru kerana mereka tidak dapat membezakan antara realiti dan fantasi. Di tambah lagi komunikasi gadjet hanyalah sehala, tidak seperti aktiviti perbualan antara ibu bapa dan anak-anak mereka.

Punca anak lambat bercakap

Punca sebenar kanak-kanak lewat bercakap ada banyak, mungkin kita boleh bermula punca sejak kanak-kanak itu lahir, contohnya dilahirkan pramatang atau mengalami kecederaan otak (tidak cukup oksigen) ataupun mengalami masalah bayi kuning yang sangat tinggi sehingga mendapat komplikasi pendengaran. Seterusnya masalah berkaitan genetik yang salah satu cirinya adalah masalah pertuturan ataupun masalah berkaitan psikologi seperti autisme dan ADHD (attention deficit hyperactive disorder). Mereka ini pun biasanya datang ke klinik dengan masalah pertuturan yang lewat. Apa yang penting bagi doktor perubatan yang melihat kes ini, adalah untuk memastikan sama ada kanak-kanak tersebut mengalami masalah pertuturan semata-mata, atau ada masalah lain yang berkaitan pertuturan.

 

Kadang-kadang sudah menjadi kebiasaan ibu bapa di luar sana mengajuk bahasa anak-anak kecil mereka yang niat asalnya untuk memudahkan atau kelihatan comel, contohnya “nak makan tak?” jadi “nak mamam tak?”..contoh lain...gelas di sebut geyas. Sedangkan anak-anak mahu belajar bahasa yang sedang kita tuturkan. Namun lain pulak jadinya. Selain itu, ibu bapa juga kena hati-hati jangan sesekali mengejek anak-anak mereka yang bercakap pelat. Apabila mereka bercakap pelat, kita gelak-gelakkan mereka. Apa yang berlaku adalah mereka faham situasi tersebut dan akan berhenti bercakap kerana berasa malu untuk bertutur, takut kena gelak. Jika ibu bapa hendak menegur, perlulah melakukan dengan cara yang positif. Jangan di sergah, jangan marah-marah kerana kanak-kanak amat sensitif.

 

Apakah rawatan atau terapi untuk anak-anak yang mempunyai masalah pertuturan

 

Pertama sekali, kita kena pastikan pendengaran anak tersebut normal, maksudnya anak tersebut dapat mendengar dengan baik. Kedua, kita kena periksa secara fizikal rongga mulut anak untuk lihat keadaan lidahnya dia pendek atau tidak, pergerakkan lidah normal atau tidak. Ada juga keadaan yang kita panggil sebagai “tounge tie (ankyloglossia). Ia merupakan keadaan lidah sejak dari lahir yang menyekat pergerakkan lidah kerana terdapat jalur tisu lebihan dibawah lidah yang menambat bahagian bawah hujung lidah ke lantai mulut atau kita panggil “lingual frenulum”. Keadaan ini boleh mengganggu proses penyusuan, kerana bayi sukar untuk menjelirkan lidahnya. Selain itu ia boleh mengganggu kanak-kanak untuk makan, bercakap atau menelan. Ketiga, kita kena pastikan kanak-kanak tersebut tiada masalah lain seperti attention defisit (AD) atau hyperaktif, autisme. Kanak-kanak yang mempunyai masalah attention defisit, mereka tidak boleh fokus atau beri perhatian. Apabila kita hendak melakukan terapi pertuturan mereka tidak boleh fokus. Pada kebiasaannya, apabila kita berbincang berkaitan terapi pertuturan ia merupakan “multidisplinary approach”. Sebagai contoh ada penglibatan juru pulih pertuturan “speech therapist” - untuk terapi pertuturan, ada penglibatan “occupational therapist” utk latihan fokus anak terbabit dan sebagainya.

 

Tips aktiviti yang boleh dilakukan untuk menggalakkan anak-anak bertutur di rumah

 

Elakkan bunyi TV yang kuat semasa berinteraksi dengan anak: Ia mengganggu proses pertuturan anak dan tidak dengar dengan jelas apa yang diterangkan kepadanya

Ajar anak bahasa isyarat : Untuk elakkan mereka kecewa kerana tidak memahaminya, galakkan anak-anak menggunakan isyarat yang mudah contohnya angguk tanda ya, geleng kepala tanda tidak

Luangkan lebih masa dengan anak: Luang masa untuk ajar anak berkomunikasi dan pastikan “eye contact” dengannya.

Selalu membaca bersama anak: Anak berpeluang untuk mendengar sebutan yang betul dan menambah kosa kata mereka ( vocabulary )

Lakukan aktiviti yang bantu kuatkan otot mulut anak: Contohnya mewarna lukisan menggunakan straw dan watercolour.

 

Pesanan saya sebagai satu kesimpulan, apapun keadaan pertuturan anak, ia sebenarnya berbalik kepada sistem pembelajaran mereka  di rumah. Jangan semata-mata berharap kepada guru di sekolah atau kawan-kawan mereka sahaja. Sebagai ibu bapa, kita kena banyak berborak dengan anak-anak, banyak berinteraksi dengan mereka, luangkan masa dan bermain dengan mereka dan kita jadi “best friend” untuk mereka. Terapi pertuturan sebenarnya bermula di rumah. Kita boleh bawa anak kita ke pusat terapi yang terbaik, betul ia sangat membantu, namum semuanya tetap bermula di rumah.


Penulis Artikel

Nama penulis:
Dr Nur Arzuar Bin Abdul Rahim
 
Afiliasi:
Jabatan Perubatan Klinikal, IPPT
Bidang kepakaran: Pakar Pediatrik



Scroll to Top