
Ucapan aluan dan perasmian oleh Asc. Prof. Dr. Muhammad Ridwan (Rektor UPI YPTK Padang dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Assosiasi Dosen Pengabdian kepada Masyarakat Indonesia (ADPI))
International Multidisciplinary Community Service Seminar 2025 yang diadakan pada 24 Jun 2025 bertempat di UPI Convention Center, Kota Padang, Indonesia, telah menjadi platform strategik dalam memperkukuh jaringan kerjasama akademik serantau serta memperluas sumbangan kepada pembangunan komuniti global.
Photo By Dr. Yosa Novia, Naib Pengerusi II ADPI
Penyerahan plak IPPT, USM yang diwakili oleh Dr. Nor Adlin Md Yusoff dan Dr Nurhuda Mohamad Ansor kepada Rektor UPI YPTK Padang
Seminar antarabangsa ini menghimpunkan tenaga akademik dari tiga institusi pendidikan tinggi – Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, Universiti Sains Malaysia; Universitas Putra Indonesia YPTK Padang; dan Universitas Siliwangi, Jawa Barat, Indonesia – dalam usaha memperkasakan inovasi rentas disiplin dan mempererat keterlibatan masyarakat melalui pendekatan ilmu yang holistik dan bersepadu.
Photo By Dr. Yosa Novia, Naib Pengerusi II ADPI
Ucaptama yang
disampaikan oleh Dr. Nik Nur Syazni mengetengahkan inovasi dalam
formulasi propolis bagi meningkatkan keberkesanan terapeutik terhadap
kanser payudara.
Universitas Putra Indonesia YPTK Padang merupakan sebuah universiti swasta di Sumatera Barat, Indonesia. Institusi ini ditubuhkan pada tahun 1985 melalui inisiatif Yayasan Perguruan Tinggi Komputer (“YPTK”) yang bertujuan untuk memperkasa pendidikan tinggi dalam bidang teknologi maklumat dan pengurusan. Pada tahun 2001, institusi ini secara rasmi diiktiraf sebagai universiti penuh dan sejak itu telah menawarkan pelbagai program akademik melalui enam fakulti utama iaitu Fakulti Ilmu Komputer, Ekonomi dan Bisnis, Teknik, Psikologi, Desain Komunikasi Visual serta Keguruan dan Ilmu Pendidikan.
Photo By Dr. Yosa Novia, Naib Pengerusi II ADPI
Ucaptama yang
disampaikan oleh Dr. Sharlina menumpukan kepada keberkesanan vitamin E
daripada minyak sawit dalam mengurangkan kesakitan dan mencegah
metastasis kanser payudara
Lima Pensyarah Kanan daripada Jabatan Toksikologi, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, Universiti Sains Malaysia, telah dijemput sebagai Penceramah Ucaptama (Keynote Speakers) dalam seminar di peringkat antarabangsa ini. Mereka telah membentangkan hasil penyelidikan dan kepakaran dalam pelbagai bidang, termasuk pembangunan ubatan serta rawatan inovatif bagi penyakit kanser dan diabetes mellitus, aplikasi nanoteknologi serta penerokaan potensi bahan semulajadi untuk meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan komuniti secara mampan.
Photo By Dr. Yosa Novia, Naib Pengerusi II ADPI
Ucaptama oleh Dr. Nor Adlin memfokuskan kepada kesan terapeutik cuka nipah berdasarkan bukti saintifik
Berikut adalah senarai penceramah dan tajuk pembentangan:
Dr Nik Nur Syazni Nik Mohamed Kamal – Nanoformulated Stingless Bee Propolis: Bridging Nature with Innovative and Sustainable Therapeutic Solutions
Dr Nurul Shahfiza Noor – Tiny Tech, Timeless Plants: Nanoparticles and the Future of Local Herbal Therapies
Dr Sharlina Mohamad – E for Ease: Palm Oil Vitamin E Alleviates Bone Cancer Pain in Breast Cancer Metastasis to Bone
Dr Nurhuda Mohamad Ansor – The Role of Phytoestrogens in Cancer Cell Migration: Dual Effects and Therapeutic Potential
Dr Nor Adlin Md Yusoff – Nipa Vinegar and Health Claims: Separating Myths from Evidence
Photo By Dr. Yosa Novia, Naib Pengerusi II ADPI
Ucaptama oleh Dr. Nurhuda memfokuskan kepada peranan dwifungsi fitoestrogen dalam mekanisme migrasi sel kanser
Seminar ini turut memberi ruang kepada sesi perbincangan strategik antara wakil Institut Perubatan dan Pergigian Termaju dan Universitas Putra Indonesia YPTK, yang merangkumi perancangan kerjasama akademik, kolaborasi penyelidikan dan pelaksanaan projek khidmat masyarakat di masa hadapan. Antara inisiatif yang dibincangkan termasuklah pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU), program pertukaran pelajar dan staf akademik, sangkutan penyelidikan, serta penglibatan dalam program khidmat kepada komuniti rentas sempadan yang akan memberi manfaat bersama kepada institusi dan masyarakat.
Photo By Dr. Yosa Novia, Naib Pengerusi II ADPI
Sesi bergambar
bersama delegasi akademik dan peserta seminar dari IPPT-USM, UPI YPTK
dan Universitas Siliwangi selepas selesai pembentangan dan perbincangan
strategik
Penganjuran seminar ini bukan sahaja menjadi pemangkin kepada hubungan dua hala antara institusi, malah mengukuhkan peranan universiti dalam menyumbang kepada pembangunan mampan sejagat melalui pendekatan multidisiplin dan kolaboratif.