SAINS@BERTAM, February 28 2023 -
Universiti Sains Malaysia (USM) akan meningkatkan lagi kolaborasi dengan pelbagai pihak untuk memperkasakan agenda masa hadapan.
Menurut Naib Canselor USM Profesor Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, melalui perkongsian pintar dengan kepakaran yang ada di universiti terkemuka dunia yang lain dan industri, universiti mampu dapat mencapai kecemerlangan bukan sahaja akademik tetapi juga penyelidikan dan bidang-bidang lain untuk membangunkan masyarakat dan negara.
Beliau berucap dalam majlis penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MoA) dengan Fakulti Perubatan, Universiti Osaka, Jepun dengan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) untuk meningkatkan jaringan dan kolaborasi penyelidikan, pertukaran pelajar, pertukaran penyelidik, penganjuran bersama simposium, persidangan antarabangsa, program pengajaran dan pembelajaran (P&P) antara kedua-dua universiti.
Yang hadir sama ialah Pengarah Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Profesor Dr. Tunku Kamarul Zaman Tunku Zainol Abidin yang menandatangani dokumen-dokumen persefahaman sebagai saksi.
Sesi fotografi bersama Osaka University
Hadir secara maya adalah Prof. Kamide Kei, Prof. Dr. Kazuki Fukuchi, Prof. Dr. Mai Kabayama dan Prof. Madya Dr. Dousatsu Sakata dari Osaka University.
Pada majlis yang sama IPPT juga turut menandatangani MoU dengan Mahidol University, Thailand untuk kerjasama penyelidikan serta mempergiatkan usaha promosi program penyelidikan, pendidikan dan latihan.
Sesi fotografi bersama Mahidol University
Mahidol University diwakili oleh adalah Professor Dr. Chartchalerm Isarankura-Na-Ayudhya, Prof. Madya Dr. Wijit Wonglumsom, Penolong Prof. Dr. Chotiros Plablueng dan Dr. Lertyot Treeratanapiboon yang hadir secara maya.
Naib Canselor turut menandatangani MoA bagi pihak IPPT USM dengan syarikat Nanjing Vazyme Biotech Co. Ltd. dari China dan Biotek Abadi Sdn. Bhd. untuk menjalankan program "Emerging Infectious Disease" (EID).
Sesi fotografi bersama Nanjing Vazyme Biotech Co. Ltd. dari China dan Biotek Abadi Sdn. Bhd
Kedua-dua industri tersebut akan memberi sumbangan sebanyak RM 100,000 dalam bentuk bahan-bahan penyelidikan kepada program penyelidikan EID.
Program penyelidikan EID yang diketuai oleh Dr. Ng. Siew Kit yang menjadi satu tujahan penyelidikan IPPT sebagai tindak balas kepada pandemik COVID-19 yang penuh dengan ketidakpastian dan ketidaktentuan. Program ini adalah sebagai persediaan menghadapi kemungkinan penyakit (Penyakit X) dengan mempercepatkan penyelidikan translasi untuk menyediakan penemuan, penyelesaian dan langkah pencegahan dalam menghadapi pandemik yang akan datang.
Sesi fotografi bersama Codon Genomics Sdn. Bhd
Pada majlis yang sama Naib Canselor turut menandatangani MoA dengan syarikat Codon Genomics Sdn. Bhd untuk menyokong usaha saintifik yang berpusat pada data dalam rawatan kanser payudara translasi dan aplikasi dalam klinikal di IPPT dengan memanfaatkan ekosistem data kanser payudara komprehensif yang dibangunkan oleh Codon Genomics Sdn. Bhd.
Nanjing Vazyme Biotech Co. Ltd. diwakili oleh En. Ong Wei Ching dan En. Muhammad Faisal Ikhwan Othman manakala En. Vincent Tan Cheah Fook dan En. Kenneth Low Ann Shyun mewakili Biotek Abadi Sdn. Bhd. Codon Genomics Sdn. Bhd. pula diwakili oleh En. Hoh Chee Choong serta Dr. Lee Wei Kang.
“Saya berharap persefahaman dan perjanjian yang dimeterai bersama universiti dan industri ini akan menghasilkan kerjasama yang membuahkan hasil kepada kedua-belah pihak” kata Abdul Rahman.
Naib Canselor turut meluangkan masa melawat pameran dan demonstrasi yang disediakan oleh pihak Nanjing Vazyme Biotech Co., Ltd. dan Biotek Abadi Sdn. Bhd. di Auditorium Sains@Bertam.
Yang hadir sama menyaksikan penandatanganan MoU dan MoA ini ialah Prof. Madya Dr. Badrul Hisham Yahaya, Prof. Madya Dr. Rafidah Zainon, Dr. Ng Siew Kit dan Dr. Hasmah Hussin koordinator IPPT yang terlibat dalam kolaborasi ini.
Teks disediakan oleh: Naziroh Shafii & Mahirah Mahyidin
Teks disunting oleh: Mohamad Abdullah
Foto: Norizan Ishak