Community

Produk Dental Aerosol Containment Equipment (DACE) Antara Inisiatif Mengekang Covid-19 pada Pasukan Barisan Hadapan

Published : 01 April 2021

Antara sumbangan kepada Pusat Pergigian Kanak-Kanak dan Kolej Latihan Pergigian Malaysia
PUSAT PERGIGIAN KANAK- KANAK DAN KOLEJ LATIHAN PERGIGIAN MALAYSIA , March 22 2021 -

Institusi Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Universiti Sains Malaysia (USM) telah menyumbang Dental Aerosol Contaiment Equipment (DACE) kepada Pusat Pergigian Kanak-Kanak dan Kolej Latihan Pergigian Malaysia yang bertempat di Jalan Sepoy Lines, George Town, Pulau Pinang. Pada 16 Mac 2021 pihak IPPT telah menyumbang sebanyak 22 unit DACE dan seterusnya menambah bilangan sumbangan pada 22 Mac 2021, menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak 44 unit. 

Produk ini dibangunkan menerusi projek di bawah peruntukan geran antarabangsa daripada IEEE Humanitarian Activities Committee (HAC) & IEEE Special Interest Group on Humanitarian Technology (SIGHT) yang diketuai oleh Dr. Fatanah Mohamad Suhaimi dan dibantu oleh Dr. Husniyati Roslan dari Kluster Sains Kraniofasial Dan Biobahan, IPPT. Penghasilan DACE ini turut melibatkan sukarelawan yang terdiri daripada staf makmal pergigian, jururawat pergigian, pegawai sains, pegawai penyelidik, pensyarah dan pelajar IPPT.

Menurut Dr Fatanah, selaku ketua projek bagi penghasilan DACE, inovasi ini bertujuan mengekang penularan wabak COVID-19 dalam kalangan kakitangan pusat pergigian tersebut. Alatan ini digunakan semasa prosedur pergigian dijalankan khususnya rawatan yang melibatkan AGP (aerosol generating procedure). DACE bertujuan menghalang percikan air liur pesakit dari terkena pada petugas pergigian ketika prosedur rawatan dijalankan.

Puan Naziah Jasin dan Puan Norayu Adin yang merupakan tenaga pengajar disitu menyambut baik penerimaan sumbangan ini kerana ia dapat membantu pelajar-pelajar serta kakitangan pergigian yang lain bagi mencegah penularan wabak Covid-19 berikutan jumlah pesakit yang hadir pada sesi rawatan yang tinggi. Dengan adanya DACE, ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan risiko jangkitan. Selain itu, hasil sumbangan ini dapat membantu pihak kolej untuk mengurangkan kos pembuatan alatan PPE.

Pihak IPPT berharap semoga sumbangan ini dapat memberi manfaat kepada petugas di Pusat Pergigian Kanak-Kanak dan Kolej Latihan Pergigian Malaysia, khususnya untuk memerangi ancaman wabak COVID-19 dikalangan petugas barisan hadapan. Semoga usaha ini akan dapat membantu mencegah penularan COVID-19 di negara ini dengan jayanya.

Scroll to Top