Expert Column

Perubatan Melayu Rentas Zaman

Muhammad Tarmizan Iqmal Tamin, Husnaida Abdul Manan
USM Expert :
HUSNAIDA BINTI ABDUL MANAN @ SULONG - https://experts.usm.my/cvitae/drhusna


Published : 02 October 2023

Set ramuan herba yang masih dikekalkan penggunaannya di masa kini dalam bentuk yang lebih moden.

Muhammad Tarmizan Iqmal bin Tamin, Dr Husnaida Abdul Manan@Sulong
Pelajar Sarjana (Mod Penyelidikan), Jabatan Perubatan Klinikal, IPPT, Pensyarah Pensyarah Perubatan, Jabatan Perubatan Klinikal
Institut Perubatan dan Pergigian Termaju IPPT, USM

Pegangan agama amat dititikberatkan oleh masyarakat Melayu. Catatan sejarah telah membuktikan bahawa, orang-orang Melayu telah menerima pelbagai kepercayaan sebelum kedatangan Islam termasuklah, Hindu dan Buddha [1]. Kedua-dua agama besar Hindu dan Buddha ini hadir akibat campur tangan sosioekonomi, silang budaya dan hubungan serta pertembungan dengan tamadun-tamadun seperti tamadun India. Dicatatkan juga bahawa sebelum itu orang Melayu mempunyai kepercayaan animisme [2]. Disebabkan konsep kepercayaan yang sama antara animisme dan Buddha maka masyarakat Melayu mudah menerima ajaran Buddha kerana tidak menyongsang daripada kepercayaan sebelum ini. Hal ini dapat dibuktikan dengan penemuan arca Buddha di Lembah Bujang sejak abad ke-6 Masihi manakala perubahan berlaku selepas abad ke-10 hingga ke-14 Masihi apabila penyerapan agama Hindu dalam alam Melayu dengan pembuktian candi berorientasikan keagamaan Hindu [3]. Dengan pembuktian batu bersurat di Terengganu menunjukkan Islam telah bertapak di semenanjung Tanah Melayu pada abad ke-14 sehinggalah sekarang [4].

Pelbagai perubahan rentas zaman telah berlaku dalam institusi kerajaan mahupun perubatan akibat kepercayaan animisme silam, pengaruh Hindu-Buddha hingga ke zaman Islam. Sungguhpun kedatangan Islam itu telah mencorak hampir keseluruhan nilai-nilai hidup masyarakat Melayu masa kini, amalan lama semasa pengaruh Hindu-Buddha masih lagi menguasai corak kehidupan dan pemikiran sesetengah orang Melayu [5]. Kepercayaan yang mendalam mengenai konsep politik berhubung Dewa-Raja misalnya sukar dihapuskan dalam waktu terdekat [4]. Misalnya di atas landasan kepercayaan kerohanian yang diwarisi turun temurun itu masih didapati di zaman hadirnya Islam kini amalan seperti membaca mantera atau jampi oleh golongan bomoh seperti penggunaan istilah-istilah Om, Betara Dewa dan Dewa Muda yang merujuk kepada bacaaan dalam agama Hindu-Buddha, manakala istilah seperti mambang dan semangat lebih merujuk kepada kepercayaan anismisme [6].

Istilah Melayu diertikan sebagai Bangsa Austranesia yang tinggal di Semenanjung Tanah Melayu dan seluruh Kepulauan Melayu yang merujuk kepada orang Melayu di Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina hingga ke Madagaskar [1]. Menurut undang-undang Malaysia, Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan mentakrif orang Melayu ialah orang yang berbahasa Melayu, berbudaya Melayu dan beragama Islam [7].

Kepentingan pengkajian manuskrip Perubatan Melayu

Keberadaan naskhah-naskhah manuskrip di alam Melayu adalah arkib penting yang menyimpan pengetahuan tentang peristiwa dan sejarah Melayu silam [8]. Kajian terhadap manuskrip seharusnya menjadi asas penting untuk memahami latar belakang dan perkembangan tamadun bangsa Melayu. Ini kerana manuskrip Melayu merupakan dokumentasi warisan bangsa yang mencerminkan ilmu dan kebijaksanaan masyarakat Melayu terdahulu. Jika usaha yang tekun dan berterusan tidak dilakukan untuk menjaga serta menyimpannya, bangsa Melayu berisiko melupai tamadun dan warisan ilmu bangsanya sendiri yang sepatutnya dipertahankan [9]. Dengan adanya pengkajian manuskrip, pelbagai intipati sejarah tamadun dapat dirungkai termasuk aspek perubatan Melayu yang diamalkan pada zaman dahulu. Kitab perubatan di alam Melayu dikatakan oleh sesetengah pengkaji terbahagi kepada dua iaitu Kitab Tib (khusus perubatan) dan Kitab Mujarobat (kitab campuran ilmu lain disamping ilmu perubatan). Kitab-kitab tibb seperti ini banyak terdapat di Perpustakaan Negara dan ada juga yang dibawa oleh penjajah keluar dari Tanah Melayu dan kini berada di luar negara seperti di Leiden, German, dan Afrika. Selain ilmu tib Melayu, manuskrip Melayu mengandungi pelbagai ilmu berharga lain, termasuk astrologi, ramalan, firasat sains, analisis mimpi, dan banyak lagi  [10].  Apabila melihat kepada manuskrip sedia ada, perubatan Melayu banyak menerangkan tentang jenis-jenis penyakit, kaedah-kaedah rawatannya, serta ubat-ubatan bersesuaian yang boleh digunakan untuk merawat penyakit-penyakit.

Perawatan dalam Perubatan Melayu

Penggunaan herba dan tumbuh-tumbuhan dari alam sekeliling sebagai satu kaedah rawatan adalah tidak asing lagi dalam Perubatan Melayu. Oleh kerana dekatnya bangsa Melayu dengan sumber alam, masyarakat Melayu seringkali mengamalkan perubatan berasaskan alam semula jadi yang begitu mudah didapati [11]. Ilmu perubatan berasaskan herba yang sangat bernilai ini kemudiannya diturunkan dari satu generasi ke generasi yang lain secara lisan dan amalan langsung. Selain perubatan berasaskan herba, Perubatan Melayu juga memiliki daya tarikannya tersendiri kerana cenderung memberi perawatan khusus ke atas setiap individu pesakit melaui kaedah-kaedah rawatan yang holistik seperti menggabungkan nasihat pemakanan, berurut, berbekam dan jampi. Rawatan-rawatan ini dapat memberi reaksi dan kesan yang berbeza antara satu pesakit dengan pesakit yang lain. Adakalanya, satu jenis rawatan sahaja memadai bagi menyembuhkan sesetengah gejala atau penyakit. Kini, telahpun banyak penulisan tentang hasil kajian berkaitan perawatan dalam Perubatan Melayu yang telah dilakukan para penyelidik tempatan sehingga sedikit sebanyak telah membuka minda golongan professional dalam bidang perubatan moden.


                                                                          
                           Gambarajah 1: Set ramuan herba yang masih dikekalkan penggunaannya di masa kini dalam bentuk yang lebih moden.
 

                                                                   Gambarajah 2: Ramuan alam semulajadi bagi ibu berpantang.

Penghargaan:
Penghargaan kepada “Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia bagi Skim Geran Penyelidikan Fundamental dengan Kod Projek: FRGS/1/2021/WAB/3/USM/03/1.

REFERENCES

[1] Ngadeni, N. (2018). Falsafah dan prinsip asas perubatan Melayu. Baytul Hikma.

[2] Hamid, I. (1991). Masyarakat dan budaya Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka.

[3] Ghani, M. F. (2018). Konsep Alam Melayu. Harakah Daily. https://harakahdaily.net/index.php/2018/06/16/konsep-alam-melayu/

[4] Pa, B. B. C. (2012). Institusi raja dan peranannya terhadap penyebaran Islam di Alam Melayu Nusantara. Membongkar Rahsia Pendidikan Islam. Brunei: Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.

[5] Daud, H. (2001). Mantera Melayu: Analisis Pemikiran. Penerbit Universiti Sains Malaysia. ISBN:9839700898.

[6] Ahmad, N. M. (2020). Definisi Melayu Dalam Perlembagaan Malaysia Dan Kesannya Terhadap Kefahaman Dan Amalan Ajaran Islam Di Malaysia: The Definition of Malay on Malaysian Constitution and Its Effect Towards Islamic Understanding and Practice in Malaysia. Sains Insani, 5(2), 9-16.

[7] Ming, D. C. (2008), Manuskrip Melayu: Sumber Maklumat Peribumi Melayu, Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, h. 8.

[8] Hussein, I. (1984), Sejarah Pertumbuhan Bahasa Kebangsaan Kita, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka, h. 33.

[9] Harun Mat Piah. (2006). Kitab Tib Ilmu Perubatan Melayu. Kuala Lumpur: Perpustakaan Negara Malaysia

[10] Ahmad, A. S. (2005). Warisan perubatan Melayu (Ed. ke-2.). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.



SDG 3 - Ensure healthy lives and promote well-being for all at all ages
SDG 4 - Ensure inclusive and equitable quality education and promote lifelong learning opportunities for all
PDF
Scroll to Top