Dr. Nur Arzuar Abdul Rahim
Jabatan Perubatan Klinikal, Insitut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT)
Apa itu Autisme
Autisme merupakan masalah berkaitan perkembangan otak kanak-kanak yang melibatkan 2 komponen utama iaitu kanak-kanak yang mengalami kesukaran bersosial dan berkomunikasi dan kanak-kanak tersebut juga mempunyai corak tingkahlaku , minat atau aktiviti yang berulang-ulang dan terhad (Early Autism Project (EAP) Malaysia, 2023). Selain itu kanak-kanak ini turut mengalami masalah berkaitan deria sensori dan turut mempunyai perlakuan yang sterotaip.
Terdapat pelbagai sebab kenapa diagnosis Autisme ini makin kerap kita dengar dalam kalangan masyarakat. Pertamanya kerana peningkatan kesedaran umum berkaitan keadaan ini yang menyebabkan para ibu bapa segera mendapatkan perawatan dan intervensi awal untuk anak mereka. Miskipun penyebab Autisme masih belum diketahui, kajian penyelidikkan yang dijalankan mendapati faktor-faktor risikonya melibatkan unsur genetik, persekitaran, interaksi genetik dan juga epigenetik. Terdapat juga faktor lain yang meningkatkan risiko Autisme seperti umur ibubapa yang telah lanjut semasa kelahiran bayi berkenaan, latar belakang masalah kesihatan ibu semasa mengandung seperti insiden jangkitan kuman ketika ibu mengandung atau masalah kencing manis. Kelahiran bayi pra-matang dan juga kurangnya berat badan bayi semasa lahir atau “low birth weight” turut meningkatkan risiko autisme. Vaksin seperti MMR sebenarnya tidak menyebabkan autisme.
Tanda-tanda Autisme
Kekurangan interaksi sosial dan emosi.
Secara umumnya kanak-kanak autisme tidak mengenali atau dapat memahami perasaan orang lain. Mereka tidak berminat untuk berkongsi pengalaman atau perasaan. Tidak mengadu kepada ibubapa walaupun sedang kesakitan atau kelihatan seolah-olah kuat tidak berasa sakit. Mereka tidak memberi sapaan apabila mula berjumpa sesiapa atau apabila hendak berpisah. Mereka tidak suka dipeluk atau memeluk orang lain. Mereka senang menggunakan tangan seseorang sebagai alat untuk mendapatkan sesuatu. Kadang-kadang mereka akan menyentuh atau mendekati orang yang tidak dikenali. Mereka juga bercakap dan berkata-kata namun bukan untuk berkomunikasi, tetapi sebaliknya lebih kepada menamakan sesuatu objek. Selain itu mereka juga tidak atau kurang bertutur secara dua hala dengan orang lain. Mereka juga tidak memahami apa yang sepatutnya dilakukan di dalam konteks sosial ataupun susah untuk menyesuaikan diri dengan jangkaan sosial. Kita juga boleh mendapati mereka tidak mengajuk perlakukan atau “role play” ibubapa contohnya aktiviti menyapu sampah.
Kesukaran Berkomunikasi bukan lisan (non-verbal communication)
Antara ciri yang paling kerap dilihat dalam kalangan kanak-kanak autisme adalah mereka kurang pandangan mata (poor eye contact) dengan orang lain ketika kita berkomunikasi dengan mereka. Mereka tidak menuding jari untuk menunjukkan sesuatu. Kadang-kadang mereka bercakap dengan cara yang ganjil dari segi intonasi, “pitch”, atau kekuatan bunyi suara. Kita juga boleh memperhatikan postur badan mereka atau cara membawa diri yang statik dan agak berlainan berbanding kanak-kanak sebaya.
Kesukaran membina dan memupuk tali perhubungan bersesuaian tahap umur
Kanak-kanak autisme sukar mempunyai kawan atau tidak ramai kawan. Mereka dilihat tidak berminat atau tidak tahu bagaimana nak berkawan. Mereka lebih suka menyendiri dan sukar bergaul dengan kanak-kanak lain. Ini menyebabkan mereka sering tersisih atau dipulaukan oleh rakan sebaya. Oleh sebab yang demikian, kita akan dapat memperhatikan mereka lebih suka berkawan dengan kanak-kanak yang lebih muda atau lebih tua darinya ataupun dengan orang dewasa. Apabila bermain pula, mereka tidak tahu bermain olok-olok dan jika bermain, cara bermain mereka juga agak terhad dan berulang. Mereka juga tidak bermain, menggunakan watak sosial atau “role play” contohnya bermain guru dan anak murid dan sebagainya.
Corak tingkah laku, Pertuturan, minat atau aktiviti yang berulang dan terhad, serta masalah deria sensori dan perlakuan sterotaip
Dari segi corak tingkah laku, kanak-kanak autisme mempunyai cara pergerakkan, pertuturan dan cara bermain yang berulang-ulang dan sterotaip. Mereka sering melakukan pergerakkan badan yang berulang-ulang dan sterotaip contohnya berpusing badan “spining”, berjalan ke hulu ke hilir, “rocking” atau berjalan berjinjit (tip toeing). Kadang-kadang mereka melakukan pergerakkan tangan yang luar biasa apabila mereka teruja, berperasaan gembira atau resah contohnya bertepuk tangan, mengepak-ngepak lengan atau mengibas-ngibas tangan “hand flapping”. Antara ciri lain yang sering diperhatikan adalah, mereka sangat patuh kepada rutin dan perbuatan harian “ritual” dan tidak fleksibel dan sukar diubah “rigidity”. Sebagai contoh, jika ibu bapa sering melalui jalan A untuk ke nurseri dan hari tersebut ibu bapa mengambil jalan pintas yang tidak biasa dilalui, maka kanak-kanak tersebut akan “mengamuk” kerana jalan yang salah dan diluar kebiasaan mereka. Kerap kali kita boleh melihat mereka gemar mengatur mainan atau barang-barang mereka dalam satu baris secara berulang kali. Penggunaan alat permainan berulang-ulangkali seperti memutarkan benda bulat contohnya tayar kereta mainan secara berulang-ulang. Mereka juga mempunyai minat yang sangat terhad dan fokus yang keterlaluan pada sesuatu yang mereka minat. Jika mereka gemar dengan sesuatu objek, mereka sentiasa akan memegang objek tersebut ke mana sahaja. Aktiviti dan minat mereka juga senang untuk dijangka kerana mereka hanya mahu melakukan aktiviti yang sama contohnya bermain dengan objek yang disukai sahaja.
Mereka juga mempunyai masalah deria sensori, sama ada terlalu sensitif atau berkurangan. “Echolalia” merupakan terma yang merujuk kepada perbuatan mengajuk pertuturan yang sama atau serta-merta atau mungkin dikemudian perbualan. Ibubapa atau penjaga boleh memperhatikan ciri echolalia pada kanak-kanak autisme. Selain itu, mereka biasa menggunakan bahasa sendiri yang tidak difahami oleh orang lain. Kadang-kadang mereka menggunakan loghat bahasa inggeris atau “accent” contohnya British accent or American accent.
Ciri-ciri lain yang kerap dilihat pada Kanak-kanak Autisme
Antara ciri-ciri lain yang sering dilaporkan oleh ibu bapa kanak-kanak Autisme adalah, mereka seperti tidak mendengar atau pekak dan tidak memberikan respon ketika dipanggil. Mereka mempunyai sejarah lambat bercakap atau tidak bercakap langsung pada usia 2 tahun. Selain itu daya tumpuan mereka juga kurang atau “poor attention span”. Mereka boleh menjadi terlalu aktif atau terlalu pasif. Mereka juga kerap menunjukkkan perangai “tantrum” tanpa sebab yang boleh menyebabkan ibubapa sukar membawa mereka keluar rumah. Adakalanya mereka bercakap sendirian atau gelak sendirian. Kadang-kadang ada dalam kalangan mereka nampak seperti sangat berani atau terlebih penakut. Mereka sukar diajar menggunakan gaya pengajaran biasa seperti kanak-kanak sebaya yang lain.
Tahap Kesukaran Kanak-kanak Autisme
Setiap kelainan atau kesukaran bagi kanak-kanak Autisme boleh di bahagikan kepada 3 tahap iaitu, tahap ringan, tahap sederhana dan tahap teruk. Bagi tahap ringan , aktiviti harian atau fungsi hariannya kurang terjejas, contohnya, mereka masih boleh bercakap menggunakan ayat, walaupun ayat pendek. Bagi tahap sederhana pula, kanak-kanak tersebut akan mengalami sedikit terjejas pada fungsi aktiviti hariannya, contohnya, mereka mempunyai interaksi sosial yang terhad. Bagi tahap yang teruk pula, fungsi aktiviti harian mereka terjejas dengan ketara walaupun mendapat sokongan, contohnya mereka tidak dapat bertutur langsung.
Masalah-masalah lain yang mungkin ada pada kanak-kanak Autisme adalah seperti masalah ADHD, masalah kekurangan daya intelek, masalah kelewatan atau kesukaran bertutut, masalah kesihatan mental seperti kemurungan atau masalah kesihatan yang melibatkan saraf (neurologi) seperti sawan atau epilepsi. Walau bagaimanapun tidak semua mereka mempunyai masalah ini. Setiap kanak-kanak Autisme adalah berbeza, tidak sama. Malah masing-masing mempunyai keunikkan diri mereka sendiri dari segi penampilan masing-masing.
Diagnosis Autisme
Ketika ini, tiada ujian perubatan khas seperti ujian darah, pengimejan dan sebagainya yang dapat digunakan untuk mengesahkan autisme. Diagnosis masalah autisme hanya dapat dilakukan secara pemeriksaan klinikal iaitu berdasarkan pemerhatian dan rekod tingkah laku komunikasi dan tahap perkembangan kanak-kanak. Ia biasanya dilakukan oleh pakar pediatrik umum, pakar pediatrik perkembangan kanak-kanak, pakar psikiatrik kanak-kanak dan remaja atau pegawai psikologi klinikal kanak-kanak. Apa yang ibubapa buleh lakukan adalah memantau perkembangan anak masing-masing menggunakan senarai semak perkembangan kanak-kanak yang ada dalam buku pemantauan kanak-kanak yang diberikan pada setiap anak-anak yang dilahirkan di hospital di Malaysia. Pengesanan awal sebenarnya amat penting bagi membolehkan rawatan dimulakan seawal mungkin. Intervensi awal amat penting kerana ia boleh membantu mengurangkan gejala autisme selain dapat menyokong perkembangan kanak-kanak paling optimum serta memberi mereka peluang untuk berfungsi dengan paling baik. Intervensi awal juga boleh membantu otak kanak-kanak ini berkembang kerana dipengaruhi dengan cara yang positif.
Secara kesimpulannya, adalah penting ibu bapa dan penjaga kanak-kanak untuk sensitif dengan tanda-tanda dan perkembangan yang dibincangkan diatas. Sebarang kekeliruan boleh segera merujuk kepada doktor perubatan untuk kepastian dan pemantauan. Intervensi awal amat penting kerana ia membantu perkembangan kanak-kanak.
1. Early Autism Project Malaysia Sdn. Bhd. (2023). Apa itu Autisme, Retrieved by 20 February 2023 from https://www.autismmalaysia.com/ms/apa-itu-autisme/