Muhamad Yusri Musa
Kluster Sains Onkologi dan Radiologi, Intitut Perubatan dan Pergigian Termasu, USM
Baru-baru ini negara kita telah dikejutkan dengan bencana banjir yang sangat dahsyat khususnya di sekitar lembah Klang dan beberapa daerah di Pahang bermula pada 17 Disember 2021 yang lalu dan berlarutan selama hampir seminggu. Malah kesan daripada kemusnahan akibat bencana itu telah berlarutan dan kelihatan dengan jelas sehingga ke hari artikel ini ditulis. Kita juga telah menyaksikan gerakan hebat rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang kaum, agama dan usia turun membantu puluhan ribu mangsa banjir yang terjejas teruk akibat bencana antara yang terburuk pernah direkodkan dalam sejarah. Namun gerakan bantuan ini juga telah mendedahkan pelbagai polemik serta kritikan kepada agensi terlibat akibat kelewatan bantuan penyelamatan sehingga menyebabkan sebilangan mangsa yang terkandas sehingga 48 jam sebelum diselamatkan ke pusat-pusat pemindahan ataupun ke lokasi selamat.
Artikel ini bertujuan untuk berkongsi prinsip atau strategi teras menghadapi bencana agar langkah-langkah serta tindakan yang diambil lebih tersusun dan berkesan. Lima prinsip asas dalam pengurusan semasa bencana adalah:
1. Rapid communication (komunikasi pantas)
2. Rescue (penyelamatan)
3. Recovery (pemulihan)
4. Repair (baikpulih)
5. Reassess (penilaian semula)
Rapid communication melibatkan rantaian komunikasi pantas bermula daripada amaran oleh agensi-agensi seperti Jabatan Meterologi (MetMalaysia) dan Jabatan Parit dan Saliran (JPS) melalui media-media cetak dan elektronik. Setakat ini kita boleh melihat dan terima makluman yang pantas dan hampir tepat sepenuhnya daripada kedua-dua agensi ini. Namun, tidak kurang pentingnya adalah untuk memastikan maklumat ini difahami oleh kesemua yang terlibat sama ada daripada agensi-agensi penyelamat dan juga ahli masyarakat terutamanya di kawasan yang terlibat.
Rescue merupakan fasa yang paling berbahaya. Tindakan penyelamatan sebaik-baiknya dilakukan oleh agensi-agensi penyelamat yang terlatih beserta dengan peralatan yang bersesuaian. Banjir yang berlaku baru-baru ini telah memberi pengajaran betapa pentingnya kesiap-siagaan dengan peralatan yang sesuai dan mencukupi agar mangsa-mangsa yang terkandas di bumbung bangunan atau terperangkap di tingkat-tingkat bangunan yang lebih tinggi dapat dipindahkan secara selamat secepat mungkin.
Recovery melibatkan mangsa-mangsa yang telah berjaya diselamatkan dan telah ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) yang perlu dibantu daripada segi keperluan logistik, keperluan asas, Psychological first aid (PFA) dan sebagainya. Mangsa bencana biasanya mengalami trauma sama ada secara fizikal dan mental dan perlu bantuan segera agar mereka dapat mengawal diri dan emosi untuk mengharungi hari-hari yang mencabar sepanjang proses menunggu bencana pulih. Bantuan seperti makanan, pakaian, ubat-ubatan, cadar ,selimut dan khemah antara bantuan yang diberi semasa fasa ini.
Repair atau baik-pulih merujuk kepada proses-proses yang perlu dilakukan agar mangsa dapat kembali ke rumah dan dapat mengharungi cabaran dan beban berat yang perlu ditanggung akibat kerosakan harta benda, hilang pendapatan, kerugian dan sebagainya. Bantuan serta sumber yang paling banyak diperlukan semasa fasa ini agar mangsa dapat kembali menjalani kehidupan normal secepat mungkin. Aktiviti seperti mencuci, membersih dan membuang peralatan rosak dan membaiki rumah-rumah yang rosak. Malah mangsa yang kehilangan rumah (total lost) perlu disediakan tempat tinggal sementara.
Akhir sekali, reassess iaitu penilaian semula terhadap perkara-perkara yang telah dan masih belum dilaksanakan, penggunaan sumber serta keperluan lain yang masih belum dipenuhi. Fasa ini melibatkan sokongan dan kerjasama semua pihak sama ada pihak berwajib (authorities), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), individu, kumpulan dan juga badan korporat untuk bekerjasama membantu kesemua mangsa dan institusi yang terjejas akibat bencana. Mungkin masih ada kekurangan atau perkara-perkara yang masih belum dialkukan ataupun belum sempurna perlaksanaannya. Ketika artikel ini ditulis juga, kita dapat melihat ribuan rakyat Malaysia membantu atas kapasiti masing-masing dengan pelbagai cara termasuklah agensi-agensi rasmi seperti majlis-majlis perbandaran dan kerajaan tempatan.
Kita doakan dan harapkan kerjasama ini dapat berterusan agar semua mangsa serta institusi yang terjejas dapat kembali pulih secepat mungkin.
Penulis:
Dr Muhamad Yusri Musa
Pensyarah dan Pakar Otorinolaringologi, Kluster Sains Onkologi dan Radiologi, Intitut Perubatan dan Pergigian Termasu, USM
Aktivis dan peserta pelbagai misi bantuan bencana dan kemanusiaan
(Pasca tsunami Aceh, Banjir besar Kelantan, Gerik, P.Pinang, misi Freedom Flotila ke Gaza dll)
Presiden, Islamic Medical Association of Malaysia (IMAM)