
Penerangan oleh Dr. Sharlina mengenai bahan toksik yang wujud dalam kehidupan seharian dan kesannya kepada kesihatan.
Seramai 5 orang Pensyarah Kanan dari Jabatan Toksikologi, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) – iaitu Dr Sharlina Mohamad, Dr Nurhuda Mohamad Ansor, Dr Nor Adlin Md Yusoff, Dr Nurul Shahfiza Noor dan Dr Nik Nur Syazni Nik Mohamed Kamal, bersama pensyarah dari Universitas Siliwangi, Jawa Barat, Indonesia, Santiana S.S., M.Pd., telah menyertai aktiviti khidmat masyarakat di sebuah Sekolah Tinggi Ilmu Tarbiyah (STIT) Syekh Burhanuddin Pariaman, Indonesia. Aktiviti ini merupakan sebahagian daripada pengisian International Multidisciplinary Service Community Program 2025 (IMSCP 2025), yang bertujuan untuk berkongsi ilmu dan kepakaran serta khidmat kepada masyarakat melalui pendekatan rentas disiplin.
Photo By Syahminal S.E., M.M.
Sesi interaktif bersama Dr. Nurhuda dan mahasiswa STIT yang membincangkan isu keselamatan penggunaan ubatan herba.
STIT Syekh Burhanuddin Pariaman merupakan sebuah institusi pengajian tinggi swasta Islam yang terletak di Kota Pariaman, Sumatera Barat. Institusi ini diasaskan atas semangat pendidikan dan perjuangan dakwah ulama tersohor, Syekh Burhanuddin Ulakan, dan berperanan penting dalam membentuk pendidik-pendidik berjiwa Islam yang kompeten dalam bidang tarbiyah serta pengajian agama. STIT ini turut menjalankan pelbagai program akademik dalam pendidikan Islam dan aktif dalam aktiviti sosial serta kemasyarakatan, sejajar dengan misi institusi untuk melahirkan sarjana Muslim yang unggul dari segi ilmu, akhlak, dan kepimpinan.
Photo By Syahminal S.E., M.M.
Ibu Santiana (Universitas Siliwangi)
menyampaikan tip kecemerlangan akademik dan suntikan semangat kepada
para pelajar agar terus gigih berusaha.
Program perkongsian ilmu ini diterajui oleh Ketua Pelaksana IMCSP 2025, Syahminal, S.E., M.M., yang juga Wakil Ketua IV Asosiasi Dosen Pengabdian kepada Masyarakat Indonesia (ADPI) bagi Bidang Pelatihan dan Pendampingan merangkap staf akademik STIT Syekh Burhanuddin Pariaman. Kehadiran delegasi IPPT dan Universitas Silawangi telah disambut baik oleh Ketua STIT Syekh Burhanuddin Pariaman Dr. Neni Triana, yang turut menzahirkan penghargaan atas kesudiaan mereka berkongsi ilmu dan pengalaman Bersama warga institusi tersebut.
Photo By Syahminal S.E., M.M.
Dr. Sharlina menerima sijil
penghargaan daripada Dr. Neni Triana sebagai pengiktirafan atas peranan
beliau sebagai Pensyarah Jemputan dan sumbangan ilmu kepada mahasiswa
STIT Syekh Burhanuddin Pariaman.
Program ini bertujuan untuk memupuk minat mahasiswa STIT Syekh Burhanuddin Pariaman terhadap bidang sains, di samping menyemai semangat kecemerlangan akademik, melalui sesi perkongsian ilmu dan motivasi kecemerlangan. Antara aktiviti utama yang dijalankan termasuk:
· Sesi Penerangan Asas Toksikologi – Pensyarah IPPT berkongsi maklumat penting tentang asas toksikologi dan kesedaran terhadap pendedahan bahan toksik dalam kehidupan seharian, termasuk impaknya terhadap kesihatan manusia.
· Manfaat Terapeutik Herba Tradisional – Mahasiswa STIT Syekh Burhanuddin Pariaman diberi pendedahan tentang potensi perubatan dan terapeutik tumbuhan ubatan tempatan, serta bagaimana herba boleh digunakan secara selamat dalam penjagaan kesihatan dan pencegahan penyakit.
· Sesi Motivasi Pelajar – Sesi ini disampaikan dengan penuh semangat dan beberapa tips menjadi pelajar cemerlang bagi memberi dorongan dan inspirasi kepada pelajar untuk terus berusaha dan belajar dengan tekun demi mencapai kejayaan dalam pendidikan dan kehidupan.
Mahasiswa STIT Syekh Burhanuddin Pariaman menunjukkan fokus dan minat yang tinggi serta terlibat secara aktif dalam sesi interaktif bersama para pensyarah yang terlibat. Program ini bukan sahaja menjadi platform untuk pemindahan ilmu, malah turut membuka ruang untuk pertukaran budaya dan membina jalinan yang erat antara komuniti akademik Malaysia dan Indonesia.
Photo By Syahminal S.E., M.M.
Kampus STIT Syekh Burhanuddin Pariaman
yang menempatkan mahasiswa dalam usaha melahirkan sarjana pendidikan
berkompetensi akademik dan berlandaskan keilmuan Islam.