Collaboration

Ke arah translasi gaya hidup sihat bersama komuniti: kolaborasi akademik dan industri bersama Kluster Sains Gaya Hidup, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju

Published : 06 July 2021

Persidangan maya bersama para pensyarah dari Kluster Sains Gaya Hidup dan dua rakan kolaborasi, Profesor Ken Nosaka dan Encik Kevin Zahri pada 18 Jun 2021.
IPPT,BERTAM, June 18 2021 -
Kluster Sains Gaya Hidup, di bawah Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, Universiti Sains Malaysia berbesar hati mengalu-alukan kerjasama kolaborasi bersama dua pakar dalam bidang sains senaman dan kecergasan, Profesor Dr Kazunori Nosaka dan Encik Kevin Zahri untuk sama-sama mengorak langkah ke arah kecemerlangan penyelidikan berkaitan gaya hidup sihat. Kolaborasi ini telah dirasmikan pada 1 Jun 2021 dan perbincangan bersama para pensyarah dari Kluster Sains Gaya Hidup telah diaturkan bersama kedua-dua pakar melalui persidangan maya bagi menentukan hala tuju kolaborasi. 

Profesor Ken Nosaka merupakan penyelidik tersohor dalam bidang sains sukan yang sekarang sedang menjawat jawatan sebagai pengarah Sains Sukan dan Senaman di Pusat Pengajian Perubatan dan Sains Kesihatan di Edith Cowan University, Australia. Beliau mempunyai latar penyelidikan dan penerbitan melebihi 280 artikel dalam jurnal berimpak tinggi yang mana banyak menekankan kepada kajian berkaitan senaman esentrik. Tidak hanya di arena penyelidikan, beliau turut terlibat dalam mentranslasikan kepakaran senaman dengan terlibat secara langsung dengan satu program komuniti yang diberi nama “Stay Sharp Program” sejak tahun 2016 yang telah memberi faedah kepada hampir 300 orang peserta sehingga kini.


 
Profesor Ken Kazunori Nosaka yang kini merupakan Pengarah Sains Sukan dan Senaman di Pusat Pengajian Perubatan dan Sains Kesihatan di Edith Cowan University, Australia.

Encik Kevin Zahri pula merupakan seorang ikon kecergasan dan gaya hidup sihat yang tidak perlu diperkenalkan lagi di Malaysia. Beliau amat dikenali melalui inisiatif membudayakan gaya hidup aktif dan pencegahan obesiti di media-media arus perdana dan media sosial tempatan. Bermula dengan program Jom Kurus yang telah mencatatkan kejayaan luar biasa dalam kalangan pesertanya, beliau terus mengorak langkah dengan mensasarkan program pembudayaan sukan dan kecergasan dalam komuniti dan generasi muda di Malaysia. 


 
Kevin Zahri bersama murid-murid sekolah rendah dalam program Bukan Soal Kurus (BSK) Sekolah 

Halatuju dan visi kedua-dua pakar ini dilihat seiring dengan misi dan visi Kluster Sains Gaya Hidup di Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, Universiti Sains Malaysia yang memfokuskan kepada pencegahan penyakit-penyakit tidak berjangkit yang banyak berpunca daripada gaya hidup sedentari dan tingkah laku boleh ubah yang lain. Oleh itu, kerjasama kolaborasi ini diharapkan dapat membawa manfaat kepada masyarakat setempat di Pulau Pinang khususnya dan masyarakat Malaysia amnya, serta seterusnya menyumbang kepada pengkayaan ilmu dalam bidang sains sukan dan gaya hidup sihat. 


Scroll to Top