Community

Program STEM Dihatiku Sekolah Kebangsaan Kepala Batas, Pulau Pinang dan IPPT

Published : 01 May 2024

Sijil Penghargaan
BILIK ANALITIKAL, MAKMAL CRL 1, IPPT, April 3 2024 -
Satu kerjasama di antara Sekolah Kebangsaan Kepala Batas, Pulau Pinang dan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) bermula 3 April 2024 bagi membantu pasukan cilik yang terdiri daripada pelajar tahun 6 menghasilkan produk inovasi daripada bahan terbuang.

Projek ini dinamakan ROSE (recycle oil to save environment). Pasukan yang terdiri daripada 4 orang pelajar Tahun 6 ini telah menghasilkan sabun daripada minyak masak terpakai. Kumpulan ini telah dibimbing oleh Dr. Rabeta Mohd Salleh daripada Jabatan Kesihatan Komuniti, IPPT dan beberapa orang guru S.K Kepala Batas yang diketuai oleh Guru Besar Tuan Norazrin Abdul Razak dan Penyelaras Program Cikgu Zyafydah Mohd Zin.

Minyak masak merupakan bahan asas dalam setiap isi rumah di dunia. Menggoreng merupakan salah satu teknik memasak yang paling popular dan digemari kerana mudah dan menghasilkan masakan yang rangup dan lazat. Kita disarankan menggunakan minyak masak dua kali sahaja kerana penggunaannya yang berulang akan memudaratkan kesihatan. Radikel bebas yang terhasil dalam minyak masak yang digunakan melebihi dua kali akan merosakkan sel-sel tubuh dan berisiko untuk mendapat penyakit merbahaya seperti kanser.

Proses menggoreng akan menghasilkan banyak minyak masak terpakai. Oleh kerana penggunaannya yang banyak, timbul isu pembuangan minyak masak terpakai. Salah satu cara terbaik menguruskan minyak masak terpakai adalah kitar semula. Pasukan ROSE S.K Kepala Batas telah mengambil inisiatif memilih minyak masak terpakai sebagai bahan inovasi kerana ianya sangat mudah didapati. Kempen mengumpul minyak masak terpakai telah dilakukan oleh pihak sekolah sejak tahun 2023 lagi.

Bahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkan sabun ialah minyak masak terpakai dan sodium hidroksida. Hanya dua bahan utama diperlukan untuk menghasilkan sabun yang mana ianya boleh juga dilakukan di setiap isi rumah. Pasukan ROSE telah membuat ekperimen penghasilan sabun ini di Makmal Penyelidikan Berpusat 1 dengan dibantu oleh Pegawai Sains Pn. Syazwani Ismail, dan Penolong Pegawai Sains En. Norhiman Ahmad dan Pn. Halianis Yusoff sebagai fasilitator.

Pasukan ROSE telah membuat ekperimen penghasilan sabun ini di Makmal Penyelidikan Berpusat 1 dengan dibantu oleh Pegawai Sains Pn. Syazwani Ismail, dan Penolong Pegawai Sains En. Norhiman Ahmad dan Pn. Halianis Yusoff sebagai fasilitator.

Projek ROSE ini selari dengan SDG 11 – Bandar Dan Masyarakat Yang Mampan. Pengurusan minyak masak terpakai ini melibatkan komuniti dan persekitaran. Kitar semula minyak masak terpakai dapat melestarikan persekitaran komuniti itu sendiri. Harapan kita usaha kecil projek ROSE ini dapat sama-sama menjadikan bandar dan komuniti yang mampu terus berkembang dan mencapai prestasi kehidupan yang baik. Program kitar semula minyak masak terpakai ini boleh dipromosikan supaya komuniti lebih prihatin tentang isu pembuangannya. Ia juga dapat menjana pendapatan tambahan jika usaha ini mendapat sokongan kerajaan dan komuniti setempat.

Tahniah diucapkan kepada S.K. Kepala Batas kerana telah berjaya meraih tempat kedua dalam pertandingan poster digital untuk projek ROSE ini. Sehingga artikel ini diterbitkan, pihak sekolah masih menunggu keputusan pertandingan video inovasi STEM.

 

Pasukan SK Kepala Batas


SDG 11 - Make cities and human settlements inclusive, safe, resilient and sustainable
Scroll to Top