Community

Klinik Neuro-Robotics & Cybernics Jalinan Usahasama USM Dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)

Published : 03 June 2022

Pesakit menjalani rawatan fisioterapi dengan menggunakan Robot Hybrid Assistive Limb di Klinik Neuro-Robotics & Cybernics, IPPT, USM.
BERTAM, June 2 2022 -

Menghadapi kesukaran bergerak seperti normal memang tak mudah, kebanyakan mereka yang mula datang menerima rawatan pemulihan dilihat sedih, buntu, kecewa, trauma, kerana diri tidak mampu berdikari seperti orang normal yang lain.

Namun begitu, siapa sangka, selepas beberapa sesi pemulihan di Klinik Neuro-Robotics & Cybernics, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM), mereka ini mampu tersenyum gembira kerana akhirnya boleh melangkah dan berjalan seperti mereka yang normal.

Mula beroperasi pada 1 Mac 2022, Klinik Neuro-Robotics & Cybernics, IPPT adalah satu-satunya unit rehabilitasi berpusat di hospital universiti utara semenanjung Malaysia yang dilengkapi dengan pelbagai peralatan robotik yang tercanggih bagi membantu proses rawatan rehabilitasi pesakit.

Di Klinik Neuro-Robotics & Cybernics, IPPT, rawatan rehabilitasi neurologi adalah menggunakan teknologi neuro-robotik terkini iaitu teknologi Cybernics yang ada pada robot Hybrid Assistive Limb (HAL).

Teknologi Cybernics akan mengesan ‘isyarat bio-elektrik’ yang dihantar dari otak ke otot pesakit seterusnya membina semula rangkaian ketersambungan saraf dan menjana semula fungsi otak-neuro-fizikal pesakit menyebabkan sistem muskuloskeletal, termasuk sendi pesakit akan bergerak dengan sendirinya.

Penubuhan Klinik Neuro-Robotics & Cybernics ini adalah usahasama antara USM dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Menurut Timbalan Pengarah Klinikal, Kelestarian dan Piawaian, IPPT USM, Dr Noor Khairiah A. Karim, para pesakit juga boleh mendapatkan perkhidmatan rehabilitasi yang lain di Klinik Neuro-Robotics & Cybernics seperti rawatan fisioterapi, pemulihan kecederaan saraf tunjang, pemulihan carakerja dan perkhidmatan prosthesis & ortosis. 

Dari berkerusi roda ke berjalan tanpa bantuan

Au Boon Choong, 55 tahun, merupakan antara salah seorang antara 36 orang pesakit yang telah menerima rawatan di Klinik Neuro-Robotics & Cybernics, IPPT, USM.

Beliau telah disahkan mengalami angin ahmar pada sebelah kanan tubuhnya pada April 2022, setelah mengalami kesakitan luar biasa ketika sedang berehat di rumah.

“Emosi sangat terganggu ketika itu kerana risaukan keadaan diri kerana saya sebatang kara. Sebagai pencarum berinsurans PERKESO, pihak PERKESO mencadangkan agar saya menjalani rawatan pemulihan di klinik ini kerana lokasinya adalah dekat dengan tempat tinggal saya. Syukur setelah lebih dua minggu di sini, keupayaan fizikal saya bertambah baik sekarang dan saya mampu untuk berdikari sendiri” katanya yang kini mampu untuk berjalan tanpa sebarang alat bantuan dan kembali aktif melakukan senaman aerobik.  


Au Boon Chong yang berterima kasih kepada USM dan PERKESO atas layanan dan peluang yang diberikan kepada beliau.??

Bagi Muhammad Adam Shahifudin, 21 tahun, pula, beliau sangat menghargai layanan mesra yang diberi oleh jurupulih perubatan anggota atau fisioterapi dan jurupulih perubatan carakerja profesional di Klinik Neuro-Robotics & Cybernics, IPPT, USM, kerana banyak membantu dirinya sepanjang menjalani rawatan sejak tiga minggu lepas.

 “Saya mengalami kemalangan jalan raya dan pernah terlantar tanpa sedar selama tiga bulan pada Mac 2021 dan menyebabkan saya sukar untuk berdiri, berjalan kerana otot mengecut dan semakin lemah. Malah pergerakan saya sangat terganggu kerana sentiasa perlu dibantu untuk bergerak”.

“Dengan bantuan PERKESO, saya dirujuk ke sini. Ianya seperti peluang kedua saya untuk mengecapi nikmat hidup dan memperbaiki diri. Banyak perkara yang dapat saya lakukan di mana sebelum ini saya betul-betul telah pasrah dan redha dengan nasib saya,” katanya yang kini sedang menerima rawatan di Klinik Neuro-Robotics & Cybernics, IPPT, USM.


Kini Adam semakin ceria dan mampu untuk membantu pesakit lain menerima rawatan rehabilitasi di IPPT, USM

Sementara itu, menurut Dr Hazwani Ahmad Yusof@Hanafi, Ketua Projek Klinik Neuro-Robotics & Cybernics, IPPT, USM, beliau berharao agar lebih ramai lagi pencarum berinsurans PERKESO dan pesakit awam yang diuji dengan masalah kesihatan fizikal dapat dirawat di Klinik Neuro-Robotics & Cybernics, IPPT, USM.

Dr Hazwani Ahmad Yusof@Hanafi (duduk dua dari kiri) bersama pasukan Klinik Neuro-Robotics & Cybernics, IPPT, USM IPPT, USM


Teks : Muhammad Akasyah Bin Baharum


Scroll to Top