Achievement

USM diiktiraf sebagai Pusat Pengajaran dan Latihan Brakiterapi Global pertama di Malaysia

Published : 29 May 2020


BERTAM, May 29 2020 - Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) telah diiktiraf oleh Nucletron Operations (Elekta), Veenendaal, Netherlands sebagai pusat pengajaran dan latihan brakiterapi global yang pertama di Malaysia untuk teknik brakiterapi ginekologi, hati, kepala dan leher, prostat dan esofagus dengan pengkhususan khas pada kanser hati primer dan sekunder dan juga kanser kepala dan leher.

Nucletron, yang beribu pejabat di Veenendaal, Netherlands merupakan sebuah syarikat dalam bidang onkologi sinaran yang menawarkan penyelesaian untuk meningkatkan kualiti rawatan pesakit kanser.

Menurut Pengarah IPPT, Profesor Dr. Syed Azhar Syed Sulaiman, pada bulan April 2020 yang lalu, IPPT USM telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Nucletron sekaligus menjadikan IPPT sebagai pusat pengajaran dan latihan brakiterapi global pertama di Malaysia yang akan mempromosi rawatan radioterapi dan brakiterapi secara berkala bagi pihak Nucletron. 

“IPPT akan berperanan membantu dari segi demonstrasi produk Nucletron serta menjadi tempat lawatan yang akan menerima pelawat dari dalam dan luar negara untuk produk Elekta brakiterapi dan juga teknik brakiterapi 3D.  Hal ini kerana IPPT dilengkapi dengan fasiliti rawatan kanser yang canggih dan terkini,” katanya.

Tambah beliau lagi, selain daripada memberi tunjuk ajar dan kepakaran dalam bidang brakiterapi, IPPT USM juga melakukan pemindahan ilmu dari semasa ke semasa dengan mengadakan bengkel klinikal untuk ahli onkologi-radiasi, ahli fizik perubatan, pakar bedah fraterniti, radiologis, pakar bedah otorinolaringologi, pakar bedah mulut dan maksilofasial (OMF) serta pakar bedah umum mengenai brakiterapi dan penggunaannya dalam rawatan kanser. 

Katanya lagi, “IPPT USM juga sedang merancang untuk menawarkan rawatan brakiterapi kolangiokarsinoma (pundi hempedu) yang merupakan satu cabang baru dalam brakiterapi.”

IPPT USM mempunyai Pakar Onkologi Radiasi iaitu Dr. Gokula Kumar Appalanaido yang pernah bertugas di Melbourne Prostate Institute, Australia. 

Beliau mempunyai pengalaman luas dalam prosedur brakiterapi prostat kadar dos rendah (LDR) dan kadar dos tinggi (HDR). Selain itu beliau juga pernah menjalani latihan brakiterapi ginekologi di Hospital Chulalongkorn, Bangkok.

IPPT USM adalah merupakan satu-satunya pusat rujukan kanser wilayah utara di bawah Kementerian Pengajian Tinggi yang menawarkan perkhidmatan rawatan kanser dan perubatan nuklear terapeutik serta diagnostik. 

Ia mempunyai kemudahan brakiterapi yang lengkap dan pasukan brakiterapi khusus yang terdiri daripada 2 ahli onkologi-radiasi, 6 ahli fizik, 3 ahli radiologi, 1 pakar bedah otorinolaringologi, 2 pakar bedah onco-plastik payudara, 1 pakar bedah hepatobiliari, 1 pakar urologi serta pakar pergigian khusus yang terlibat secara aktif dan membantu dalam prosedur brakiterapi. 

Perancangan rawatan brakiterapi di IPPT USM adalah berasaskan imej 3D CT atau melalui pemeriksaan Magnetic Resonance Imaging (MRI) dan ia diakui sebagai pusat kepakaran brakiterapi di rantau ini.

 Sumber: Dr. Mohd Zahri Abdul Aziz, Dr. Gokula Kumar A/L Appalanaido

Scroll to Top