Prof. Dr Syed Azhar Syed Sulaiman bersama fronliner yang sudah divaksin dos pertama
BERTAM, March 8 2021 -

Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, Universiti Sains Malaysia melaksanakan Program Imunisasi Covid-19, bertemakan "Lindung Diri, Lindung Semua" bermula hari ini. Program vaksinasi yang diadakan di Kompleks Klinikal ini adalah hasil kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Klinik Kesihatan Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

Menurut Dr. Suria Emilia Suhana Othman Tan, Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 IPPT, pemberian vaksin Covid-19 yang bermula hari ini hingga 16 Mac 2021 adalah bagi dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech.

“IPPT akan melaksanakan pemberian vaksin ini kepada semua petugas barisan hadapan seramai 244 orang secara keseluruhannya. Sesi pada hari berjalan dengan lancar tanpa sebarang komplikasi yang dicatatkan dan seramai 30 org staf telah menerima dos pertama hari ini termasuk Pengarah IPPT,” katanya.

Untuk makluman, penerima dos pertama vaksin perlu membuat janji temu untuk menerima dos kedua. Kesemua mereka menerima vaksin jenis Pfizer-BioNTech yang perlu diambil dalam dua dos dalam tempoh 21 hari.

Pengarah IPPT, Profesor Dr. Syed Azhar Syed Sulaiman ketika ditemui memanjatkan kesyukuran kerana program vaksinasi hari ini berjalan dengan lancar.

“Saya amat berharap agar kesemua staf IPPT akan mengambil vaksinasi ini demi kebaikan bersama untuk mencegah penularan virus Covid-19. Semoga selepas ini kita akan dapat kembali bertugas seperti dalam keadaan normal. Saya juga berharap agar kefahaman tentang vaksin ini lebih memberikan manfaat untuk semua kita demi keselamatan masyarakat Malaysia,” katanya.

Syed Azhar menjadi orang pertama menerima vaksin menerusi Program Vaksinasi di IPPT yang dijalankan hari ini. Sebelum proses vaksinasi dilakukan, mereka yang berkenaan akan diberikan taklimat khusus untuk penerima vaksin serta perlu menandatangani borang persetujuan.

Menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, fasa pertama dijadualkan bermula bulan Mac sehingga April untuk kumpulan barisan hadapan manakala fasa kedua dari April sehingga Ogos bagi warga emas berumur 60 tahun ke atas serta kumpulan rentan dengan masalah morbiditi, di samping orang kurang upaya (OKU). Fasa ketiga bermula Mei hingga Februari 2022 pula adalah untuk kumpulan berusia 18 tahun dan ke atas.

Scroll to Top