Institut Perubatan dan Pergigian Termaju,
Universiti Sains Malaysia telah menyampaikan sumbangan pakaian sempena
Aidilfitri yang bakal menjelang tiba kepada Anak-anak Yatim dan Asnaf di
Permata Al-Mahabbah Pulau Pinang. Sumbangan disampaikan oleh Y.Bhg Prof. Dr
Syed Azhar Syed Sulaiman, Pengarah IPPT.
Beliau
mengucapkan terima kasih kepada penjaga dan anak-anak di Permata Al-Mahabbah
atas kesudian untuk menerima kunjungan kedua daripada pihak penyelidik kami
dari IPPT USM bagi program ini.
“Saya amat
berharap semoga sumbangan yang diberikan pada hari ini sedikit sebanyak dapat
membantu dalam persediaan Aidilfitri anak-anak yatim dan asnaf di sini. Saya
juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada pasukan penyelidik IPPT USM
atas usaha murni ini yang sangat prihatin terhadap nasib anak-anak yatim ini,”
katanya.
Sumbangan pakaian
ini adalah hasil tangan daripada peserta Projek ‘Pemerkasaan Kumpulan B40 USM:
Projek Sehari Selembar Benang, Lama-lama Menjadi Kain’. Projek komuniti ini
melibatkan 75 peserta dari kumpulan B40 dan M40 yang berminat untuk mempelajari
kaedah jahitan baju tradisional dan moden.
Tujuan utama
projek komuniti USM ini adalah untuk memberi pendedahan kepada peserta B40 dan
M40 terhadap kemahiran menjahit yang mana sekaligus dapat meningkatkan sosio
ekonomi mereka di samping menambah pengetahuan dalam bidang jahitan.
Menurut ketua
projek, Dr. Rafidah Zainon, projek ini memberi pendedahan kepada peserta berkaitan kemahiran
menjahit baju tradisional dan moden serta seminar kemahiran digital dan seminar
keusahawanan secara percuma.
“Alhamdulillah, fasa pertama projek komuniti ini telah berjaya
menghasilkan 428 pasang pakaian untuk 428 anak yatim dan asnaf daripada 9 buah
rumah anak yatim dan asnaf di sekitar Pulau Pinang dan Kedah. Sasaran projek
ini adalah untuk menghasilkan 1000 pasang pakaian untuk anak yatim dan asnaf,”
katanya ketika ditemui dalam majlis tersebut.
Untuk rekod, projek
ini telah bermula pada Julai 2020 dalam situasi norma baharu dengan
pembelajaran secara atas talian dan penyerahan kit jahitan secara pandu lalu.
Projek ini diadakan secara berfasa dan dijangka bakal berakhir pada Jun 2022.