Achievement

Kumpulan FAST, IPPT Terus Cemerlang di ICQCC 2021: Terima Anugerah Par Excellence

Published : 01 December 2021

Kumpulan FAST
BERTAM, December 1 2021 -

Tahniah diucapkan kepada kumpulan FAST (For Advanced Staffing in Technology) dari Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) yang terus cemerlang dengan memperoleh penganugerahan tertinggi Par Excellence (pencapaian markah melebihi 80%) dalam 46th International Convention on Quality Control Circles (ICQCC) 2021 yang berlangsung di Novotel & HICC Hyderabad, Telangana, India. 


Kumpulan FAST merupakan satu-satunya kumpulan yang mewakili IPPT dan juga USM dalam pertandingan peringkat antarabangsa ini. 


Pada peringkat kebangsaan, kumpulan FAST telah berjaya memperoleh pencapaian tempat ketiga Anugerah Bidang Inovasi Penyampaian Perkhidmatan dalam Konvensyen Horizon Baharu Kumpulan Inovatif dan Kreatif anjuran Institut Pengurusan Kualiti, Universiti Utara Malaysia yang diadakan pada 25 dan 26 Oktober 2021 yang lalu. 


Terdahulu pada tahun 2019, kumpulan FAST telah bertanding dalam Regional Team Excellence Convention (RTEx) Northern Region 2019 dan berjaya memperoleh Anugerah Emas. 


Seterusnya, kumpulan FAST telah layak bertanding dalam Annual Productivity and Innovation Conference and Exposition (APIC) 2019 iaitu National Team Excellence Convention (NTEx) yang diadakan pada 5 hingga 7 November 2019 dan berjaya memenangi Anugerah Emas 5 Bintang dan 20 Kumpulan Terbaik Sektor Awam (Persekutuan) untuk produk inovasi yang dipertandingkan.



ICQCC 2021 dianjurkan oleh Quality Circle Forum of India (QFCI) selama empat hari, bermula 24 hingga 27 November 2021, dan telah berjaya mengumpulkan 904 pasukan dari 13 negara dengan jumlah peserta seramai 5,155 orang. 


Dari segi penyertaan, perwakilan Malaysia menduduki tempat ke-3 tertinggi selepas negara tuan rumah, India (629 pasukan) dan China (111 pasukan). 


Sebanyak 81 pasukan daripada 50 organisasi terdiri daripada 566 peserta mewakili Malaysia dalam konvensyen ini, dan peserta dari Malaysia berupaya untuk menyertai ICQCC 2021 ini secara maya walaupun tidak dapat hadir secara bersemuka akibat daripada pandemik global COVID-19 yang melanda negara. 


India telah menganjurkan ICQCC buat kali keempat dan tema konvensyen pada tahun ini iaitu “Quality Concepts Facilitating Societal and Economic Turnaround’ adalah bersesuaian dengan usaha yang dilakukan untuk memulih impak ke atas masyarakat, industri, ekonomi dan negara disebabkan pandemik global COVID-19. 


Di konvensyen ini, setiap kumpulan dari Malaysia telah berjaya mempersembahkan projek peningkatan kualiti sebagai perkongsian untuk dibawa pulang ke organisasi masing-masing dengan anggaran jumlah penjimatan kos keseluruhan sebanyak RM250 juta. 

Kumpulan FAST telah mempersembahkan projek bertajuk ‘Menurunkan Suhu Kulit Kepala Untuk Mengurangkan Rambut Gugur’ dengan mengetengahkan produk topi C-savior.


Kumpulan FAST dianggotai oleh seorang fasilitator iaitu Matron Law Kim Sooi dan enam orang ahli yang terdiri daripada pensyarah perubatan dan jururawat iaitu Dr. Noor Khairiah A. Karim (Ketua Kumpulan), Dr. Hasmah Hussin, SN Norsuraya Hassan, SN Norhaliza Abd Hamid, SN Suraya Hussain dan SN Ahmad Shakry Saidon. 


Projek inovasi FAST ini merupakan satu usaha untuk membantu pesakit kanser di IPPT, USM yang merupakan jumlah pesakit tertinggi menerima rawatan di institusi ini, topi C-savior berupaya untuk menyejukkan kulit kepala sebelum, semasa, dan setelah menjalani rawatan kemoterapi untuk mengurangkan kesan sampingan rawatan tersebut iaitu keguguran rambut. 


Pelaksanaan projek ini telah memberi impak ketara dan positif dari segi emosi dan fizikal kepada pesakit kanser, meningkatkan kecekapan dan mengoptimumkan kos dalam menangani kekangan sumber kewangan dan sumber manusia, memanfaatkan keupayaan teknologi terkini dan memperkenalkan pendekatan penyampaian perawatan baharu kepada kakitangan dan pesakit. 


Dengan kejayaan pelaksanaan projek ini, ianya juga berjaya mendukung usaha untuk mencapai kelestarian alam sekitar global dengan menggunakan bahan kitar semula dalam penghasilan topi C-savior ini.


Malaysia meneruskan kejayaannya dalam ICQCC 2021 dengan memperoleh keputusan yang memberangsangkan yang menyaksikan 75 pasukan termasuk FAST telah berjaya memenangi Anugerah Par Excellence dan 6 pasukan memperoleh Anugerah Excellent. 


Syabas diucapkan kepada kumpulan FAST! Semoga budaya inovasi akan terus berkembang ke seluruh IPPT dan USM.



Keputusan penuh perwakilan Malaysia boleh dilihat di laman Facebook MPC https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=266156822202434&id=100064243556944



Teks: Mahirah Mahyidin/Dr. Noor Khairiah A. Karim


Scroll to Top