PUSAT PERUBATAN USM BERTAM, June 21 2025 -
BERTAM, PULAU PINANG, 21&22 Jun 2025 – Pusat Perubatan USM Bertam (PPUSMB) iaitu di bawah Unit Imejan, Onkologi dan Radioterapi, Unit Perubatan Nuklear serta Jabatan Pengimejan Bioperubatan, Institut Perubatan & Pergigian Termaju (IPPT) telah menganjurkan kursus yang dijalankan selama dua hari bertajuk Practical and Theoretical Medical Physics Course (PTPMC): Radiotherapy Linac Calibration bertempat di Unit Onkologi dan Radioterapi PPUSMB. Program ini turut mendapat kerjasama dari Abex Medical System Sdn. Bhd. dan Persatuan Fizik Perubatan Malaysia (MAMP).
Program ini bertujuan memberi pendedahan menyeluruh dalam aspek teori dan praktikal berkaitan fizik perubatan khususnya dalam kalibrasi LINAC (Linear Accelerator) untuk rawatan radioterapi. Kursus ini menyediakan pendekatan praktikal dan teori bersepadu untuk penentukaran linac radioterapi berasaskan prinsip dos yang diserap kepada piawaian air dengan menggunakan protokol TRS-398.
Hari pertama kursus yang berlangsung di Bilik Seminar Animal Research Centre (ARC), IPPT memberi fokus kepada sesi teori manakala hari kedua kursus yang diadakan di Unit Onkologi dan Radioterapi, PPUSMB melibatkan sesi demonstrasi secara langsung bertempat di bunker LINAC.
Antara objektif pembelajaran kursus ini termasuklah memahami asas teori dos terserap untuk kalibrasi air, menggunakan protokol dosimetri rujukan bagi sinar foton dan elektron LINAC, serta pemilihan dan aplikasi kebuk ionisasi bersama faktor pembetulan kualiti sinar (kQ). Peserta juga didedahkan dengan proses kalibrasi silang kebuk, tafsiran sijil kalibrasi, serta pendekatan mengurangkan ketidakpastian pengukuran dalam amalan klinikal.
Kursus ini dibimbing oleh barisan pakar berpengalaman iaitu Dr. Akbar Azzi dari Universitas Indonesia; Faridah AH Addicoat dari Launceston General Hospital, Tasmania; Mohd Taufik Dollah, Agensi Nuklear Malaysia dan Prof. Madya Dr. Mohd Hafiz Mohd Zin, Ketua Jabatan Pengimejan Bioperubatan IPPT selaku Pengerusi program.
Melalui program ini, dapat dilihat sebagai salah satu inisiatif penting dalam memperkukuhkan kepakaran ahli fizik perubatan serta memastikan rawatan radioterapi diberikan dengan ketepatan dan keselamatan maksimum kepada pesakit.
Program yang berlangsung selama dua hari ini telah mendapat sambutan yang memberangsangkan dengan penglibatan seramai 20 peserta dan disokong ahli jawatankuasa program daripada Unit Onkologi dan Radioterapi PPUSMB dan Jabatan Pengimejan Bioperubatan IPPT.
Teks disediakan oleh: Cik Nur Aqilah Tajul Ashikin
Teks disunting oleh: Profesor Madya Dr. Noor Diyana Osman & Profesor Madya Dr. Mohd Hafiz Mohd Zin
Foto: Norizan Ishak
Pusat Media & Perhubungan Awam
Institut Perubatan dan Pergigian Termaju