Expert Column

Adakah darah yang didermakan selamat untuk pesakit?

Hairunnisa Arshad, Sharifah Azdiana Tuan Din
Published : 10 January 2024

Gambar Penyimpanan beg darah

Dr Hairunnisa Arshad, Dr Sharifah Azdiana binti Tuan Din,
Jabatan Perubatan Klinikal,  Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, USM

Pada keadaan yang tertentu, ada sesetengah pesakit memerlukan penambahan darah atau komponen darah. Ini dapat dilakukan melalui proses yang disebut sebagai transfusi darah. Sering menjadi pertanyaan kepada pesakit mahupun keluarga pesakit sebelum transfusi darah dijalankan, adakah darah yang didermakan ini selamat? Mari saya jelaskan.

Proses derma darah.

Sebelum proses derma darah dijalankan, para penderma darah akan mengisi borang terlebih dahulu. Di sini penderma akan menigisi butiran peribadi dan menjawab beberapa soalan yang berkaitan. Antara soalan yang perlu dijawab, adakah penderma darah sedang menerima rawatan untuk sebarang penyakit, sedang mengambil ubat untuk sebarang rawatan, sejarah operasi dan lain-lain. Setelah itu, tekanan darah, berat badan dan paras hemoglobin juga akan diperiksa sebelum penderma dibenarkan untuk menderma darah. Selain menyediakan darah yang selamat kepada pesakit, kami juga memastikan proses pendermaan darah adalah selamat untuk penderma darah.

Keadaan kulit pada lengan penderma darah akan diperiksa terlebih dahulu bagi memastikan tiada jangkitan kuman di sekitar kawasan yang akan dilakukan pendermaan darah. Setelah itu, disinfektan dilakukan menggunakan alcohol swab dengan tujuan mengurangkan risiko jangkitan kuman pada darah seperti Staphylococcus aureus.

Bagaimana proses darah di makmal?

Dari pusat pendermaan, beg darah akan dibawa ke makmal untul diproses. Beg darah yang telah dilabel dengan kumpulan darah A, B, AB atau O serta Rh positif atau negatif akan melalui ujian saringan penyakit berjangkit seperti Human immunodeficiency virus (HIV), Hepatitis B, Hepatitis C dan Syphilis. Sementara menunggu keputusan ujian saringan, beg darah tadi akan dikuarantin di dalam peti sejuk yang berasingan dengan beg darah yang sudah sedia untuk digunakan oleh pesakit. Setelah mendapat keputusan bagi ujian saringan, barulah beg darah dibenarkan untuk diberikan kepada pesakit yang memerlukan.

Beg darah juga akan diproses dan umumnya akan menghasilkan tiga produk iaitu packed red blood cells, platelets dan fresh frozen plasma.  Oleh sebab itu, lahirlah slogan yang selalu anda dengar “satu beg darah menyelamatkan tiga nyawa”.

Penyimpanan darah dan komponen darah.

Tahukah anda bahawa kuman mudah membiak pada suhu 20°C sehingga 45°C. Oleh itu, bagi memastikan kualiti darah dan komponen darah terjamin, ia akan disimpan di dalam peti sejuk khas di makmal Unit Perubatan Transfusi pada suhu yang optimum. Sebagai contoh, packed red blood cells akan disimpan pada suhu 2-6°C, manakala fresh frozen plasma disimpan pada suhu -18°C sehingga -25°C bagi mengelakkan pembiakan kuman.

Selain penyimpanan pada suhu yang optimum, pemeriksaan beg darah dan komponen darah secara fizikal akan dilakukan. Sebagai contoh, beg darah diperiksa untuk melihat adakah terdapat perubahan warna pada darah, adakah terdapat buih atau ketulan di dalam beg darah atau adakah terdapat kebocoran pada beg darah. Proses ini akan dilakukan dari semasa ke semasa.

Adakah darah itu serasi?

Apabila seorang pesakit memerlukan darah, lebih kurang 3-5ml sampel darah dari pesakit akan diambil dan diuji untuk memastikan kumpulan darah pesakit. Kemudian, beg darah yang bersesuaian dengan kumpulan darah pesakit akan diambil dari simpanan peti sejuk khas dan dilakukan ujian keserasian darah. Jika keputusannya adalah serasi, barulah beg darah tadi dilabel atas nama pesakit dan transfusi darah dapat dijalankan.

Rujukan

1.    Portal rasmi Pusat Drah Negara https://pdn.gov.my
2.    Portal rasmi World Health Organization https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/blood-safety-and-availability
3.    Dulong C, Brett K, Argáez C. Skin Preparation for Injections: A Review of Clinical Effectiveness, Cost-Effectiveness and Guidelines [Internet]. Ottawa (ON): Canadian Agency for Drugs and Technologies in Health; 2020 Mar. PMID: 33074639.










 


SDG 3 - Ensure healthy lives and promote well-being for all at all ages
Scroll to Top