Expert Column

Strategi Derma Darah di Asia Tenggara

Dr Fathiah binti Muhamad Zamani, Dr Husnaida binti Abdul Manan@Sulong
Published : 21 July 2025

Infografik tentang strategi derma darah di Asia Tenggara

Strategi Derma Darah di Asia Tenggara

Penulis: Dr Fathiah binti Muhamad Zamani

Pelajar Sarjana Perubatan (Perubatan Transfusi), Jabatan Perubatan Klinikal IPPT

Dr Husnaida binti Abdul Manan@Sulong

Pensyarah Perubatan, Jabatan Perubatan Klinikal, IPPT

Pernahkah anda terfikir, berapa besar impak satu beg darah yang didermakan? Jawapannya: Menyelamatkan tiga nyawa. Ya, satu beg darah yang anda dermakan boleh menyelamatkan sehingga tiga nyawa — mungkin seorang ibu yang mengalami tumpah darah selepas bersalin, seorang remaja yang sedang melawan kanser, atau mangsa kemalangan yang bertarung antara hidup dan mati akibat kecedaraan parah. Sebenarnya, setiap penderma adalah wira yang tidak didendangkan. Pendermaan darah bukan sekadar satu tindakan sukarela — ia adalah simbol keprihatinan dan empati sesama insan. Di setiap beg darah yang didermakan, tersembunyi harapan, kelangsungan hidup, dan peluang kedua buat insan yang memerlukan. Namun, realitinya masih terdapat hospital-hospital terutamanya di negara-negara  di Asia Tenggara terpaksa menunggu, merayu, dan bergantung kepada ‘keajaiban’ apabila stok darah telah kehabisan. Ini bukan salah sesiapa tetapi satu tanda menunjukkan bahawa rantau ini sangat memerlukan satu sistem yang lebih kuat, sehingga lebih ramai penduduknya berani berkata: “Ya. Saya mahu bantu.”  Bukan itu sahaja, bagi memastikan setiap hospital memiliki bekalan darah yang mencukupi, sistem perekrutan penderma darah perlu kekal konsisten, berstrategik, dan berasaskan nilai-nilai kemanusiaan sejagat. Waktu ini, rantau Asia Tenggara masih berdepan cabaran bekalan darah tidak mencukupi, khususnya semasa berlaku bencana alam, musim perayaan, dan ketika wabak pandemik. Walaupun pendermaan darah adalah keperluan yang kritikal terhadap kesihatan awam, kadar penderma darah rantau ini masih rendah berbanding negara-negara maju.

Mengapa kita masih terkebelakang?

Perekrutan penderma darah memainkan peranan sangat penting dalam memastikan bekalan darah yang mencukupi, selamat dan berterusan bagi memenuhi keperluan perubatan penduduk. Di Asia Tenggara, masih banyak negara yang berhadapan dengan masalah kekurangan bekalan darah secara kronik. Justeru, strategi perekrutan yang lebih berkesan sangat diperlukan. Strategi yang dapat disesuaikan mengikut konteks budaya, sosial, dan logistik setiap negara. Usaha memperkukuhkan perekrutan penderma darah bukan sahaja penting untuk kesihatan awam, malah merupakan satu keutamaan kemanusiaan rantau ini.

Strategi Berbeza, Matlamat yang Sama : Malaysia boleh belajar strategi dari negara-negara jiran

Negara-negara Asia Tenggara seperti Indonesia, Thailand dan Singapura sebenarnya telah mengorak langkah penting dalam memperkukuh usaha perekrutan penderma darah.Di Malaysia, pelbagai kempen kesedaran melalui televisyen, radio dan media sosial dilakukan. “Mobile unit atau Unit Bergerak di samping kempen menderma darah telah mensasarkan pelajar, staf universiti dan pengunjung di pusat membeli-belah. Inisiatif lain bagi menarik minat penderma darah adalah dengan menawarkan insentif seperti sijil penghargaan dan pemeriksaan kesihatan percuma1. Pun begitu, Malaysia masih berdepan cabaran termasuk kadar penderma darah kali pertama yang rendah, kesukaran menderma bagi pekerja yang sedang bekerja, serta akses yang terhad bagi yang tinggal di kawasan luar bandar2.


Di Indonesia, pusat derma darah mereka yang beroperasi 24 jam telah diwujudkan di kawasan bandar. Kerjasama aktif dengan institusi agama dan komuniti lokal telah menjadi kekuatan utama mereka. Negara ini juga menekankan kepentingan melatih para perekrut penderma darah (sukarelawan) dengan kemahiran komunikasi dan asas pendidikan kesihatan agar mereka dapat menangani kerisauan awam dengan cara yang lebih berkesan3.
Namun, tumpuan pendermaan darah yang sering berpusat di kawasan bandar ini telah mewujudkan jurang perkhidmatan. Turut berisiko menggalakkan pendermaan yang berasaskan ganjaran4 — suatu cabaran etika dan keselamatan yang memerlukan perhatian jangka panjang.


Menarik pula jika dilihat di negara seperti Thailand, mereka telah memperkenalkan pelan kutipan darah mengikut wilayah dengan penglibatan tokoh pemimpin komuniti sebagai duta penderma darah5. Strategi ini terlihat telah berjaya menanam kepercayaan di peringkat akar umbi masyarakat. Namun kekurangan “unit bergerak” untuk memperkuat kempen menderma darah dan kurangnya penggunaan media digital telah membataskan capaian kempen kepada golongan muda dan penduduk di kawasan pedalaman6.


Di Singapura, strategi perekrutan penderma darah memberi tumpuan besar kepada pendidikan awal dan penglibatan golongan belia. Antara inisiatif utama ialah pelaksanaan kempen kesedaran tentang kepentingan pendermaan darah di sekolah serta program "Youth Inspired" yang dirancang untuk memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan generasi muda. Usaha ini telah membuahkan hasil, seperti yang ditunjukkan oleh statistik tahun 2023, di mana 15% daripada jumlah penderma terdiri daripada golongan belia, manakala 22% adalah penderma kali pertama. Lebih membanggakan, 39% daripada jumlah keseluruhan penderma adalah penderma tetap, mencerminkan keberkesanan pendekatan jangka panjang Singapura dalam membina komuniti penderma darah yang konsisten dan bertanggungjawab7. Pendekatan ini menekankan pentingnya pendidikan awal, sokongan institusi, dan kempen berterusan untuk membentuk tabiat pendermaan darah secara berpanjangan dalam kalangan rakyat.

Secara keseluruhannya, walaupun setiap negara mampu mengadaptasi strategi mengikut konteks tempatan, mereka masih berkongsi cabaran utama dalam memastikan bekalan darah yang mencukupi dan selamat untuk semua.

Jurang yang Perlu Dirapatkan

Sebagai perbandingan, kadar penderma darah di negara-negara seperti Jepun dan Switzerland mencecah 70–113 penderma per 1,000 penduduk. Namun di Asia Tenggara, angka ini masih sekitar 4 hingga 12 penderma bagi setiap 1,000 penduduk8 — satu jurang yang sangat besar. Ini bukan kerana rakyat di rantau Asia Tenggara tidak baik hati. Sebaliknya, ramai yang tidak mengetahui cara untuk mula menderma, takut jarum, kesibukan bekerja dan tiada masa, atau tidak pernah diberitahu betapa pentingnya darah mereka yang didermakan. Di sinilah pentingnya pendidikan awam, sistem sokongan yang mesra penderma darah, dan kempen yang dapat menyentuh hati mereka. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menegaskan bahawa sistem yang paling selamat adalah yang bergantung sepenuhnya kepada pendermaan sukarela tanpa bayaran, kerana penderma seperti ini lebih konsisten, bertanggungjawab, dan bebas daripada risiko infeksi tersembunyi9. Justeru, negara-negara di Asia Tenggara perlu menggandakan usaha dalam mendidik masyarakat, membina kepercayaan awam, dan menyediakan kemudahan yang mudah diakses bagi memperkukuh jumlah penderma sukarela.

Membina Masa Depan yang Lebih Cerah: Cadangan Masa Hadapan

Secara umumnya, untuk memperkukuh sistem perekrutan penderma darah di rantau ini, empat pendekatan utama yang boleh disarankan:

i.Luas dan Mudah Diakses – Kemudahan pendermaan darah perlu diperluas ke kawasan luar bandar dengan memperkasa unit bergerak (mudah alih) yang cekap dan mesra pengguna.

ii.Digitalisasi Kempen – Golongan muda adalah tulang belakang masa hadapan. Platform digital dan media sosial harus dijadikan teras kempen agar mesej sampai ke hati bagi golongan ini.

iii.Pendidikan Peringkat Awal – Pendidikan tentang kepentingan pendermaan darah wajar dimasukkan dalam kurikulum sekolah bagi memupuk nilai empati dan tanggungjawab sosial sejak kecil.

iv. Insentif Seimbang – memberi ganjaran tidak salah, namun ia harus ditawarkan secara beretika dan tidak mengatasi aspek keselamatan serta keikhlasan dalam pendermaan.

Kesimpulan penting; “Satu Tindakan, Seribu Harapan”
Pendermaan darah bukan sekadar tindakan sukarela secara fizikal. Ia adalah manifestasi kasih sayang, empati dan kepedulian terhadap insan lain yang mungkin tidak pernah dikenali. Setiap titis darah yang diderma membawa potensi menyelamatkan nyawa. Kita selalu bertanya: “Apa yang boleh saya lakukan untuk membantu orang lain?” Jawapannya mungkin semudah ini: Menderma darah. Ia tidak memerlukan duit. Tidak perlu masa yang panjang. Tetapi impaknya? Ya. Menyelamatkan hidup seseorang. Dan yang lebih penting dapat memberi harapan kelansungan kehidupan.
Sebagai warga penduduk di Asia Tenggara, kita bukan sahaja berkongsi geografi, tetapi menjadi tanggungjawab bersama untuk membina sistem kesihatan yang lebih inklusif dan berdaya tahan. Marilah kita galakkan lebih ramai penderma menjadi sebahagian daripada gerakan kesedaran ini. Ini kerana apabila darah mengalir dari seorang penderma ke tubuh seorang pesakit yang memerlukan, yang mengalir itu sebenarnya adalah kehidupan, harapan dan kemanusiaan. Satu tindakan yang kecil. Suntikan satu jarum yang halus. Tetapi ertinya serta manfaat yang tidak terhingga.



Rujukan:

1.Pei, T. P., C. C. Tao, J. Abdul Rahman, and S. Mohd Noor. "Development and Validation of a Malaysian Blood Donor’s Satisfaction Questionnaire." Malaysian Journal of Medical Sciences 28, no. 3 (2021): 86–96.
2.Hairani, N., A. Rahman, M. Asri, M. Ali, M. Farhan, and M. Yusof. "Blood Donation Program in Malaysia: Government Initiatives towards Attracting Volunteer Blood Donors." International Journal of Engineering & Technology, 2018. http://www.nst.com.
3.Soedarmono, Y. S. M. "Donor Issues in Indonesia: A Developing Country in South East Asia." Biologicals 38, no. 1 (2010): 43–46. https://doi.org/10.1016/j.biologicals.2010.02.001.
4.Kasraian, L., and M. Maghsudlu. "Blood Donors’ Attitudes towards Incentives: Influence on Motivation to Donate." Blood Transfusion 10, no. 2 (2012): 186–190. https://doi.org/10.2450/2011.0039-11.
5.Lertpaisankul, S., N. Phetsree, T. Rodwihok, R. Phomsila, and S. Tadsomboon. "National Blood Centre, Thai Red Cross Society." Journal of Hematology and Transfusion Medicine 30, no. 1 (2020).
6.Satawedin, Patama. Public Relations Strategies and Blood Donation in Thailand: A Case Study of Blood Donors and Non-Donors. 2010.
7.Singapore Red Cross. "Blood Donors Honoured, and Youth Club Launched on World Blood Donor Day." Accessed July 18, 2025. https://redcross.sg/media-centre/press-releases/1458-blood-donors-honoured-and-youth-club-launched-on-world-blood-donor-day.html.
8.Khan, M. S., K. N. Islam, S. Rana, and N. K. Sarkar. "Knowledge, Attitude, and Practice of Blood Donation: A Cross-sectional Survey in Khulna City, Bangladesh." Public Health in Practice 7 (2024). https://doi.org/10.1016/j.puhip.2024.100488.
9.World Health Organization. Towards 100% Voluntary Blood Donation: A Global Framework for Action. Geneva: World Health Organization, 2010. https://www.who.int/publications/i/item/9789241599696.


Scroll to Top