Institut Perubatan
dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) telah berjaya
menghasilkan alat pelindungan diri untuk mencegah penularan wabak COVID-19 dikalangan
petugas pergigian di Malaysia. Produk yang dinamakan sebagai Dental Aerosol
Containment Equipment (DACE).
Produk ini
dibangunkan menerusi projek dibawah peruntukan geran antarabangsa daripada IEEE
Humanitarian Activities Committee & IEEE Special Interest Group on
Humanitarian Technology (SIGHT). Projek ini diketuai oleh Dr. Fatanah Mohamad
Suhaimi bersama Dr. Husniyati Roslan dari Kluster Sains Kraniofasial dan
Biobahan, IPPT.
Menurut Fatanah, DACE berfungsi seperti ‘personal protective equipment’ (PPE), dan
digunakan semasa doktor gigi merawat pesakit.
“Kebanyakan prosedur
pergigian yang dijalankan menyebabkan terhasilnya air liur dan percikan air
liur pesakit. Sebagai contoh sewaktu ‘drill’, banyak percikan akan terhasil.
Jadi fungsi DACE ini adalah sebagai pelindung supaya air liur tidak terpercik
kepada doktor dan jururawat yang menjalankan prosedur tersebut”, katanya.
Projek yang telah
diuji penggunaannya oleh beberapa orang pakar pergigian ini projek yang mereka
hasilkan ini telah disumbangkan kepada klinik-klinik pergigian di sekitar utara
semenanjung Malaysia. Seramai 20 orang sukarelawan yang merupakan staf IPPT
sendiri termasuklah Pensyarah Pergigian, Juruteknologi Pergigian, Jururawat dan
Pegawai Sains terlibat dalam projek ini.
Kumpulan ini telah
berjaya menyumbang sebanyak 27 unit DACE di tiga Pejabat Kesihatan Pergigian.
Antaranya ialah 20 unit di Pejabat Kesihatan Pergigian Kuala Muda/Sik dan 2
unit di Klinik Pergigian Pendang, Kedah. Manakala 5 unit lagi disumbangkan
kepada Klinik Pergigian Kepala Batas, Pulau Pinang.
Sumbangan ini
mendapat sambutan dan maklumbalas yang sangat baik daripada ketiga-tiga klinik
pergigian tersebut. Hal ini kerana, peralatan ini dapat membantu mereka untuk
mencegah penularan wabak COVID-19 dikalangan petugas pergigian yang mempunyai
risiko yang tinggi semasa menjalankan sesi rawatan.
Menurut Dr. Siti
Rohayu Hamidi, wakil dari Klinik Pergigian Kepala Batas, sumbangan ini akan
dapat mengurangkan risiko penularan wabak COVID-19 dikalangan petugas pergigian
di sini.
“Memandangkan Klinik
Kesihatan Kepala Batas merupakan salah satu klinik kesihatan yang menjalankan
ujian saringan pesakit COVID-19 dan menjadi tumpuan pesakit mendapatkan
rawatan, penggunaan produk ini amat berguna kepada petugas-petugas kami,”
katanya.
Selain itu, Dr.
Rubiah wakil dari Klinik Pergigian Pendang menyambut baik hasil sumbangan ini
kerana ia membantu mengurangkan kos penyediaan peralatan yang perlu ditanggung oleh
pihak klinik.
“Pihak kami amat
berbesar hati menerima sumbangan peralatan ini kerana ia dapat menjimatkan kos
perbelanjaan klinik untuk menghasilkan alat pelindungan diri bagi mencegah
penularan wabak COVID-19 di Klinik Pergigian Pendang ini selain menjimatkan
masa petugas kami,” katanya.
Pihak IPPT berharap semoga sumbangan ini dapat memberikan manfaat kepada petugas di klinik pergigian, khususnya untuk memerangi ancaman wabak COVID-19 dikalangan petugas barisan hadapan. Semoga usaha ini akan dapat membantu mencegah penularan COVID-19 di negara ini.