Community

Kumpulan IPPT di ruang pameran “STEAM & Career Day” di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Gambir, Pulau Pinang

Published : 18 September 2023

Pelajar menggemari aktiviti susun suai gambar yang diinovasikan oleh pihak Perpustakaan IPPT, USM
SMK BUKIT GAMBIR, GELUGUR, September 13 2023 -
Sebanyak 800 pelajar, daripada kalangan Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5, SMK Bukit Gambir telah mengikuti sesi pameran “STEAM & CAREER Day” yang diadakan pada Rabu (13 September) baru-baru ini di sekolah itu. Juga dijemput sebahagian peserta daripada SMK Sungai Nibong, SMK Dato’ Haji Mohamed Nor Ahmad dan SMK Penang Free. Pameran ini bertujuan untuk memupuk minat pelajar untuk meneruskan pengajian di menara gading dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Kesenian dan Matematik (STEAM). Pameran ini adalah kolaborasi antara pihak SMK Bukit Gambir dan Pusat Mobiliti & Kolaborasi Antarabangsa (IMCC), USM. Selain pameran dan aktiviti STEAM daripada pelbagai Jabatan daripada USM, pelajar-pelajar juga berkesempatan mengetahui tentang kursus pelajaran yang ditawarkan oleh USM dan kolej tempatan lain.

Kumpulan IPPT  telah diberikan satu ruang pameran “Bioperubatan” yang dikendalikan oleh Dr. Siti Hawa Ngalim (pensyarah kanan di Jabatan Sains BioPerbatan), Sunthara Murthi Anamalai (pelajar Kedoktoran IPPT), Nurul Asykin Mat Pauzi (pelajar Sarjana IPPT), Nurin Syazwani Hamizi (pelajar latihan industri daripada PP Biologi di IPPT) dan Dr. Morgane Rabineau (penyelidik jemputan di IPPT daripada INSERM/ Uni. Strasbourg, Perancis di bawah projek EU MSCA RISE BioTUNE). Seorang pensyarah IPPT lain, Dr. Kumitaa Theva Das juga terlibat sebagai penceramah jemputan di sana.

Sebagai permulaan, pelajar diperkenalkan dengan persamaan dan perbezaan antara sains kajihayat, perubatan, dan sains bioperubatan. Menggunakan sistem rangka sebagai contoh model sistem, pelajar juga diajari aplikasi dan teknologi perubatan yang ada seperti penggantian sendi lutut dan penggantian pinggul. Model implan ini telah dipinjamkan oleh pengusaha produk implan ortopedik tempatan, OSA Technologies Sdn. Bhd. Memandangkan kebanyakan pelajar yang ditanya ada datuk, nenek dan ahli keluarga yang seringkali mengadu sakit lutut terutamanya, mereka menunjukkan rasa simpati kepada pesakit dan sikap ingin tahu tentang teknologi implan. Malah ada yang cepat-cepat memilih untuk minum susu kotak daripada air minuman lain yang diberi selepas sesi pembelajaran dengan kakak abang di ruang pameran! Tidak lupa, kesemua model anatomi, sistem pembelajaran menyeluruh dan permainan susun suai gambar yang dipinjam daripada perpustakaan IPPT sangatlah disukai ramai. Kesemua 80 kertas soalan pilihan yang disediakan untuk pelajar yang berminat untuk dapatkan hadiah misteri juga habis dijawab – tanda masih ramai pelajar sekolah menengah ini berminat dengan subjek STEAM, umumnya. 

Dr Morgane Rabineau mengajari pelajar tentang bayi dan sains biologi



Memandangkan kekangan bahan STEAM di sekolah, diharap banyak lagi aktiviti menarik STEAM oleh pihak universiti dan industri dilaksanakan di sekolah untuk menarik minat pelajar ini terhadap STEAM dan menyambung pelajaran tinggi. Akhir kata, sanjungan tinggi buat cikgu-cikgu sekolah SMK Bukit Gambir (termasuklah Cikgu Azura dan Cikgu Nas)  yang tidak penat lelah setiap hari mengajar pelajar aktif ini. Kumpulan IPPT yang mengajar di ruang pameran selama 3 jam pun sudah hampir hilang suara, inikan lagi cikgu-cikgu sekolah. Mereka tentunya adalah hero sebenar!

                                             
Ruang pameran USM Bioperubatan semasa "STEAM & Career Day" di SMK Bukit Gambir, Gelugor


Kertas soalan pilihan yang pelajar perlu jawab dan lengkapkan untuk mendapatkan hadiah misteri


SDG 4 - Ensure inclusive and equitable quality education and promote lifelong learning opportunities for all
SDG 17 - Strengthen the means of implementation and revitalize the Global Partnership for Sustainable Development
Scroll to Top