Community

Pensyarah IPPT Sumbang Buku Warna & Aktiviti COVID-19

Published : 30 November 2021

Pelajar Pra Tahfiz Al Aminiah bersama buku yang diterima
PRA TAHFIZ AL AMINIAH, BANDAR PUTRA BERTAM , November 3 2021 -
Sekumpulan pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) telah berjaya menerbitkan senaskah buku aktiviti kanak-kanak bertajuk ‘Buku Warna & Aktiviti COVID-19’. Buku ini dihasilkan sesuai untuk kanak-kanak berusia seawal 5 tahun sehingga ke 12 tahun. Buku ini mengandungi maklumat berkaitan COVID-19 dengan menggunakan laras bahasa yang mudah difahami serta menampilkan pelbagai aktiviti menarik termasuk mewarna. 

Projek penghasilan buku ini melibatkan seramai enam pensyarah dari lima pusat pengajian iaitu Dr Amirah Azmi dari Pusat Pengajian Sains Matematik, Dr Goh Choon Fu dari Pusat Pengajian Sains Farmasi, Dr Nurul Sakina Mokhtar Azizi dari Pusat Pengajian Perumahan Bangunan Dan Perancangan, dan Profesor Madya Dr Garry Kuan dari Pusat Pengajian Sains Kesihatan. Manakala Dr Noorfatimah Yahaya dan Profesor Madya Dr Fatanah Mohamad Suhaimi merupakan pensyarah dari Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT). Projek ini merupakan salah satu inisiatif  yang dijalankan oleh peserta Program APEX Young Scholar USM. 

Pada 3 November 2021, pensyarah IPPT yang terlibat dalam penghasilan Buku Warna & Aktiviti COVID-19 telah menyumbang sejumlah buku kepada pelajar Pra Tahfiz Al Aminiah bertempat di Bandar Putra Bertam, Pulau Pinang. Sumbangan ini telah disampaikan kepada guru Pra Tahfiz Al Aminiah. Mereka menghargai dan menyambut baik sumbangan yang telah diberikan. Para pelajar didapati amat berminat dengan kandungan buku tersebut, khususnya aktiviti yang disediakan.


Pelajar Pra Tahfiz Al Aminiah melakukan aktiviti di dalam buku yang diterima

Menurut Dr Noorfatimah, Buku Warna & Aktiviti COVID-19 ini telah berjaya disiapkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama dijalankan di Malaysia. Walau bagaimanapun, terdapat sedikit kekangan dalam penerbitan buku ini kerana masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan. Selain sumbangan kepada pelajar Pra Tahfiz Al Aminiah sejumlah buku turut dibekalkan kepada beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk diedarkan kepada penerima vaksin. Sejumlah buku juga turut diberikan kepada anak-anak staf di IPPT.

Selain itu, Dr Fatanah turut menjelaskan bahawa tujuan buku ini dihasilkan adalah untuk memberi pendedahan dan pemahaman kepada kanak-kanak berkaitan COVID-19 secara santai di samping memuatkan pelbagai aktiviti untuk menguji pemahaman serta menarik minat kanak-kanak untuk membaca. Pihak IPPT dan kesemua penulis buku tersebut berharap agar sumbangan buku ini sedikit sebanyak dapat membantu memberi pemahaman mengenai COVID-19, khususnya kepada kanak-kanak.

Oleh: Profesor Madya Dr Fatanah Mohamad Suhaimi dan Dr Noorfatimah Yahaya
Scroll to Top