Biro Hal Ehwal
Wanita, Unit Hal Ehwal Islam, (HELWANIS) IPPT bersama HELWA USM dan Biro Wanita
Masjid Jamek Pongsu Seribu telah bersama-sama dengan pengurusan Darul Hanan,
Pulau Pinang hari ini bagi menyerahkan sumbangan
3 kek buah dan 42 bekas biskut raya sempena Hari Raya Aidil Fitri.
Rombongan yang
diwakili oleh lima orang diketuai oleh Ustazah Rohayati menyerahkan sumbangan
tersebut kepada penyelia Darul Hanan, Puan Nur Aswani Aziz pada jam 11.00 pagi.
Menurut Ustazah Rohayati selain menyampaikan sumbangan Hari Raya, program ini
dapat mengeratkan silaturrahim antara ketiga-tiga pihak dan memupuk kerjasama
yang lebih erat antara satu-sama lain.
“Walaupun kita tidak
dapat bersama-sama dengan penghuni Darul Hanan hari ini, inshaAllah jika
pandemik ini berakhir nanti kita akan dapat menjalinkan hubungan yang lebih
erat melaui pelbagai program untuk manfaat warga emas yang berada di sini’,
katanya.
Menurut Ketua Biro
HELWANIS IPPT, Dr. Husnaida Abdul Manan yang ditemani Setiausaha Biro Puan Nor
Hidayah Mhd Nasir dan Penyelaras Teknikal Biro Puan Azizah Noor, ini merupakan
kunjungan pertama kali pihaknya kerana baru sahaja ditubuhkan pada tahun ini di
bawah Unit Hal Ehwal Islam IPPT. Selain berpeluang mengenali staf pengurusan
Darul Hanan, pelbagai input dan maklumat dikongsikan oleh Puan Nur Aswani Aziz
yang memberi peluang pihaknya untuk turun menabur bakti melaui pelbagai cara kepada
warga emas di sini.
“Telah pun ada
kerjasama sebelum ini dengan warga staf IPPT dan inshaAllah akan diteruskan
lagi sebagai satu tanggungjawab kepada komuniti di sekitar IPPT”, jelasnya.
Turut hadir
menyampaikan sumbangan ialah Puan Azizah Akob, Pengerusi Biro Wanita Masjid
Jamek Pongsu Seribu.